Tuesday, 4 October 2016

ANAK KUNCI MENGENAL ALLAH

ANAK KUNCI MENGENAL ALLAH
Mengenal diri itu adalah “Anak Kunci” untuk Mengenal Allah..
Para Arifbillah (orang yang mengenal Allah) mengatakan:
MAN ‘ARAFA NAFSAHU FAQAD ‘ARAFA RABBAHU (Siapa yang kenal dirinya akan Mengenal Allah)
Firman Allah Taala:
Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al Quran itu adalah benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu? (QS. 41:53)
Tidak ada hal yang melebihi diri sendiri. Jika anda tidak kenal diri sendiri, bagaimana anda hendak tahu hal-hal yang lain? Yang dimaksudkan dengan Mengenal Diri itu bukanlah mengenal bentuk zahir anda, tubuh, muka, kaki, tangan dan lain-lain anggota anda itu, kerana mengenal semua hal itu semata-mata tidak akan membawa kita mengenal Allah.
Dan bukan pula mengenal perilaku dalam diri anda iaitu apabila anda lapar anda makan, apabila dahaga anda minum, apabila marah anda memukul dan sebagainya. Jika anda bermaksud demikian, maka binatang itu sama juga dengan anda. Yang dimaksudkan sebenarnya mengenal diri itu ialah:
Apakah yang ada dalam diri anda itu?
Dari mana anda datang?
Ke mana anda pergi?
Apakah tujuan anda berada dalam dunia yang fana ini?
Apakah sebenarnya bahagia dan apakah sebenarnya derita?
Sebahagian daripada sifat-sifat anda adalah bercorak kebinatangan. Sebahagian pula bersifat Iblis dan sebagian pula bersifat Malaikat. Anda hendaklah tahu sifat yang mana perlu ada, dan yang tidak perlu. Jika anda tidak tahu, maka tidaklah anda tahu di mana letaknya kebahagiaan anda itu.
Kerja binatang ialah makan, tidur dan berkelahi. Jika anda hendak jadi binatang, buatlah itu sahaja. Iblis dan syaitan itu sibuk hendak menyesatkan manusia, pandai menipu dan berpura-pura. Kalau anda hendak menurut mereka itu, lakukan sebagaimana kerja-kerja mereka itu. Malaikat sibuk dengan memikir dan memandang keindahan Ilahi. Mereka bebas dari sifat-sifat kebinatangan.
Jika anda ingin bersifat dengan sifat Kemalaikatan, maka berusahalah menuju asal anda itu agar dapat anda mengenali dan menuju pada Allah Yang Maha Tinggi dan bebas dari belenggu hawa nafsu. Sebaiknya hendaklah anda tahu kenapa anda dilengkapi dengan sifat-sifat kebinatangan itu.
Adakah sifat-sifat kebinatangan itu akan menakluki anda atau adakah anda yang menakluki mereka? Dan dalam perjalanan anda ke atas martabat yang tinggi itu, anda akan gunakan mereka sebagai tunggangan dan sebagai senjata.
Langkah pertama untuk mengenal diri ialah mengenal bahawa anda itu terdiri dari bentuk yang zahir, iaitu tubuh; dan hal yang batin iaitu hati atau Roh. Yang dimaksudkan dengan “HATI” itu bukanlah daging yang terletak dalam sebelah kiri tubuh.
Yang dimaksudkan dengan “HATI” itu ialah satu hal yang dapat menggunakan semua kekuatan, yang lain itu hanyalah sebagai alat dan kaki tangan nya sahaja. Pada hakikat hati itu bukan termasuk dalam bidang Alam Nyata (Alam Ijsam) tetapi adalah termasuk dalam Alam Ghaib. Ia datang ke Alam Nyata ini ibarat pengembara yang melawat negeri asing untuk tujuan berniaga dan akhirnya akan kembali juga ke negeri asalnya. Mengenal hal seperti inilah dan sifat-sifat itulah yang menjadi “Anak Kunci” untuk mengenal Allah.
Sedikit idea tentang hakikat Hati atau Ruh ini bolehlah didapati dengan memejamkan mata dan melupakan segala hal yang lain kecuali diri sendiri. Dengan cara ini, dia akan dapat melihat tabiat atau keadaan “diri yang tidak terbatas itu”. Meninjau lebih dalam tentang Roh itu adalah dilarang oleh hukum. Dalam Al-Quran ada diterangkan;
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit”. (Bani Israil: 85)
Imam Al Ghazali
Kitab 'Kimyatus Sa’adah'

No comments:

Post a Comment