Wednesday, 12 October 2016

MENYATAKAN KEESAAN ALLAH

MENYATAKAN KEESAAN ALLAH
Untuk menyatakan yang Allah itu benar-benar Esa, ianya bukan dengan sebutan kalimah syahadah, bukan dengan mengerjakan ibadah sembahyang, puasa, zakat, waima bukan dengan pekerjaan ibadah haji!
Menyatakan keEsaan Allah itu, adalah hendaknya dan sepatutnya sebelum melafaz kalimah syahadah, sebelum ibadah sembahyang atau sebagainya! Menyatakan Allah itu, bukan perkara untuk dinyatakan sesudah sembahyang atau bukan untuk dinyatakan di dalam waktu ketikatengah sembahyang, apa lagi di ketika sesudah sembahyang! Bagi menyatakan Allah itu, bukannya semasa di dalam berpuasa atau selepas berbuka puasa! Atau pun bukan di dalam masa ketika menyebut perkataan syahadah!
Ilmu makrifat itu, adalah ilmu menyatakan Allah (ilmu menyatakan keEsaan Allah), ilmu mengEsakan Allah dan ilmu menzahirkan Allah, dengan nyata dan senyata-nyatanya! Bukan ilmu hanya bercakap di bibir! Kita boleh menyebut perkataan syahadah (perkataan mentauhidkan Allah) sebanyak mungkin yang kita mampu menyebut, tetapi Islam itu bukan agama bunyi atau agama suara yang keluar dari lidah atau di bibir! Islam itu, adalah agama benar, agama nyata dan agama pasti! Kemusykilannya di sini, apakah kita telah nyata Allah, sebagai mana nyata dan lantangnya suara yang keluar dari kedua bibir mulut kita?
Ilmu makrifat itu, adalah ilmu yang tidak sekali- kali mengasingkan Tuhan dengan alam! Ilmu makrifat itu, adalah ilmu mengEsakan Allah, iaitu ilmu yang tidak menduakan Allah (tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu). Ilmu makrifat itu, adalah ilmu yang tidak mewujudkan Allah dengan wujud yang lain selain Allah Taala.
Ilmu makrifat itu, adalah ilmu yang tidak memandang bahawa Allah dan makhluk itu, dua wujud yang berbeza atau “dua yang bersifat wujud”. Dari kaca mata ilmu makrifat, barang siapa yang memandang, baranggapan atau beriktikad bahawa adanya wujud Allah dan adanya wujud alam makhluk, bersama-sama dengan wujud Allah, maka hukumnya adalah syirik. Jikalau Allah lain dan makhluk lain, maka terputuslah seluruh kesedaran batinnya terhadap Allah Taala dan terputus juga kesedaran rohaninya terhadap makhluk. Tetapi JANGAN pula hendaknya DISATUKAN MAKHLUK DENGAN ALLAH!
Allah dengan makhluk itu, bercerai tidak dan bersatu tiada, ini adalah terjemahan mengikut suluhan bahasa makrifat dan bahasa rohani yang tidak sama sekali difahami atau dimengerti oleh akal, apa lagi oleh ahli ilmu feqah. Allah dan makhluk itu, bercerai tidak dan berpisah tiada!
admin Sheikh al-Islam

No comments:

Post a Comment