RAHSIA KEKUATAN TAUHID
Syekh Abdul Qadir Al-Jailani mengatakan:
Wahai engkau yang mengabdi dengan tulus kepada Tuhan, tanpa melakukan kemusyrikan terhadap-Nya, engkau harus mendekati pintu Tuhanmu dan mengambil posisimu di sebelah-Nya.
Engkau tidak boleh mencuba lari manakala datang nasib yang malang. Apabila engkau telah mengambil posisimu di pintu-Nya, dan malapetaka mengancam untuk menyusulmu dari belakangmu, engkau harus berpegang kuat-kuat pada pintu itu, sebab dengan demikian malapetaka itu akan terusir darimu oleh kekukuhan tauhidmu dan sifat benarmu yang menggetarkan.
Kerana itu, manakala nasib malang mengancam akan menyusulmu, engkau harus mempraktikkan kesabaran dan ketabahan, sambil membaca firman-Nya: “Dan Allah mengukuhkan mereka yang beriman dengan ucapan yang kukuh dalam kehidupan di dunia dan di akhirat (QS Ibrahim (14) : 27). “Maka Allah akan memelihara kamu dari neraka. Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui,” (QS Al-Baqarah (2) : 137).
Engkau juga harus sering-sering mengucapkan kata-kata (Nabi SAW): “Tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung (la hawla wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azhim).”
Engkau harus sering-sering memohon ampun (istighfar), mensucikan (tasbih) Tuhan, dan mengingat-Nya dengan ketulusan yang jujur (siddiq). Jika engkau melakukan ini semua, engkau akan aman dari tentera bencana dan bala tentara diri-diri rendah (nufus), hawa nafsu (hawa) dan syaitan.
Betapa sering aku berusaha membuatmu menyedari, tetapi tetap saja engkau tidak memahami masalahnya..“Barang siapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka sungguh dia adalah orang yang terbimbing lurus (QS Al-A‛raf (7) : 178)
“Barang siapa dibiarkan sesat oleh Allah, maka sungguh tidak ada pemandu baginya (QS Al-A‛raf (7) : 186). “Dan barang siapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka tidak ada orang yang akan dapat menyesatkannya (QS Al-Zumar (39) : 37).
Nabi kita Muhammad SAW tetap berharap bahawa mereka yang telah tersesat dapat menerima petunjuk yang benar, dan beliau sangat menginginkan hal ini sehingga Allah mewahyukan kepada beliau: “Sesungguhnya engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau cintai, tetapi Allah-lah yang membimbing siapa yang dikehendaki-Nya (QS Al-Qashash (28) : 56).
Ketika itulah beliau SAW berkata: “Aku telah diutus untuk menawarkan petunjuk, tetapi (penerimaan) petunjuk itu tidak ada kaitannya denganku. Dan Iblis menyediakan godaan, tetapi penyimpangan dari jalan yang benar tidak ada kaitannya dengan dia.”
Adalah keyakinan yang kuat dari orang-orang yang mengikuti kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya SAW bahawa pedang tidaklah memotong kerana sifatnya, tetapi bahawa Allah-lah yang memotong dengannya; bahawa api tidaklah membakar kerana sifatnya, tetapi Allah-lah yang menggunakannya untuk membakar; bahawa makanan tidaklah menghilangkan rasa lapar kerana sifatnya, tetapi Allah-lah yang menggunakannya untuk menghilangkan rasa lapar kita; bahawa air tidaklah menghilangkan rasa haus kerana sifatnya, tetapi Allah-lah yang menghilangkan rasa haus kita dengannya.
Begitu pula dengan semua material dalam berbagai bentuknya. Allah adalah yang mengendalikan dan menggunakannya, sementara objek- objek tersebut hanyalah alat di tangan-Nya, yang dengannya Dia melakukan apa pun yang dikehendaki-Nya.
Ketika Ibrahim a.s, sahabat khusus Allah, dilemparkan ke dalam api besar yang berkobar-kobar, dan Tuhan tidak menghendaki dia terbakar hangus oleh panasnya, maka Dia memperlakukan kepadanya keadaan dingin dan damai. Kita tahu, dari hadis sahih yang telah sampai kepada kita, bahawa Nabi SAW pernah mengatakan: “Pada hari kiamat nanti, neraka akan berkata: “Lewatlah, wahai orang beriman, sebab cahayamu telah memadamkan kobaran apiku!”
Seorang budak mungkin perlu dipukul dengan tongkat, tetapi anggukan kepala saja sudahlah cukup untuk mengatakan kepada seorang merdeka apa yang diminta darinya.
Syekh Abdul Qadir Al-Jailani dalam Kitab 'Jala Al-Khathir'
No comments:
Post a Comment