Wednesday, 12 October 2016

asal hakikat

KRONOLOGI DAN PERKEMBANGAN TASAWUF DAN TARIQAT
Pada artikel sebelum ini, telah disentuh golongan sufi terawal di zaman Rasulullah SAW iaitu ahli suffah yang menjalankan kehidupan zuhud dan ilmu di samping membantu Rasulullah SAW menjalankan urusan pentadbiran negara, samada domestik atau luar negara. Di antaranya ialah Salman al-Farisi, Abu Hurairah, Abu Zar al-Ghiffari, Abu Said al-Khudri, Abdullah bin Mas’ud, Saad bin Abi Waqqas, Uqbah bin Amir, Tamim ad-Daari dan lain-lain.
Pada peringkat ini, nama tasawuf dan tariqat belum muncul kerana kedua-duanya masih bersepadu dalam kehidupan mereka.
Dalam lain makna, walaupun pada masa dahulu tidak ada istilah-istilah seperti Usuluddin, Usul Hadis, Usul Feqah, Usul tafsir, Rijal, Nahu, Sorof, Balaghah, Tauhid, Aqidah, Tasawuf, Tariqat dan sebagainya, namun hakikatnya kesemua ilmu-ilmu Islam ini adalah berasal daripada Rasulullah SAW sendiri yang diwujudkan dalam bentuk BERSEPADU, iaitu tanpa dipisah-pisahkan di antara satu dengan yang lain.
Ajaran Rasulullah SAW dalam bentuk sepadu itu telah diikuti dengan penuh kesetiaan dan dedikasi oleh para sahabat baginda RA dan sebilangan besar dari kalangan umat Islam di zaman tabi'in dan tabi'ut-tabiin. Mereka masih mengamalkan Islam yang kamil atau sempurna, dan syumul atau menyeluruh. Mereka semua ini termasuk dalam "Khairul Qurun" (generasi terbaik hidup dalam 300 tahun pertama Hijrah) seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: "Sebaik- baik manusia adalah (yang hidup) di zamanku, kemudian orang-orang setelahnya, kemudian orang-orang setelahnya". (Bukhari, no. 2652, Muslim, no. 6635)
Tokoh-tokoh sufi di zaman "tabi'in" (generasi yang mengikut sahabat) yang meneruskan kesinambungan peranan ahli suffah ialah Imam Hasan al-Basri (lahir 21H), Uwais al-Qarni (wafat 35H), Ali Zainal Abidin as-Sajjad (lahir 36H), Muhammad al-Baqir (lahir 54H), Ja'far as-Sodiq (lahir 80H), Sufyan as-Sauri (lahir 97H), Ibrahim bin Adham (lahir 96H), Abdullah bin Mubarak (lahir 118H), Malik bin Dinar (wafat 126H), Syaqiq al-Balkhi (wafat 194H), Daud at-Ta`i (165H), Rabiatul Adawiyah (wafat 185H), Alqamah bin Marsad (wafat 120H), Rabi' bin Khaisam, Haram bin Hayyan, Abu Muslim al-Khaulani, Amir bin Abdullah dan lain-lain.
Tokoh-tokoh sufi pada zaman tabiut tabi'in (generasi yang mengikut tabi'in) pula ialah Hatim al-Asim, Abu Yazid al-Bustomi (lahir 252H/ 874M), Siri as-Saqti, Junaid al-Baghdadi (lahir 208H/ 830M), Bisyr al-Hafi, Fudhail bin Iyadh, Zun Nun al-Misri (lahir 174H/ 796M), Ali al-Uraidhi (lahir 129H/ 751M), Ahmad al-Antoki, Zuhair al-Marwazi, Abul Abbas at-Tabari dan lain-lain.
Bagaimana pun pada ketika itu istilah TARIQAH, iaitu AMALAN AHLI SUFI masih belum timbul lagi. Bermakna dalam teori atau ajaran Tasawuf sendiri terkandung amalan Tariqah. Teori (Tasawuf) dan Amali (Tariqah) menjadi satu perkara yang sepadu, dikerjakan oleh ahli-ahli sufi dengan tidak dipisah-pisahkan di antara satu dengan yang lain.
Itulah sebabnya di zaman Imam Junaid Al-Baghdadi dan Imam Abu Yazid Al-Bustami, dua orang tokoh ulamak Tasawuf/ Tariqah yang besar, mereka hanya dikenali sebagai ulamak Tasawuf sahaja dan tidak dikenali sebagai ulamak Tariqah kerana amalan Tariqah pada masa itu terkandung dalam bidang Tasawuf sendiri.
Tetapi apabila umat bertambah jauh dari zaman-zaman dan kurun-kurun yang mulia, Ilmu Tasawuf sendiri telah dipisah-pisahkan dari amalannya. Kesibukan masyarakat Islam dalam mengejar duniawi telah menyebabkan Ilmu Tasawuf hanya tinggal teori sahaja dan dijadikan sebagai suatu pembahasan ILMU AKHLAK semata-mata.
Maka dalam kurun ke 4-6 Hijrah muncullah pula alim-ulamak sufi yang giat menyusun amalan-amalan Tasawuf berasaskan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah yang dapat dipraktikkan kembali oleh umat Islam supaya hati yang berkarat dapat disucikan kembali dan hubungan dengan Allah SWT dapat diperbetulkan semula. Dari sini timbullah istilah TARIQAH yang digunakan sebagai menunjukkan suatu bentuk madrasah untuk menyepadukan teori dan amali tasawuf secara bersepadu semula sebagai jalan penyucian hati mengikut kaedah-kaedah yang dipeloporkan oleh seseorang Syeikh Tariqah sebagai penyusunnya.
Contohnya Syeikh Imam Abu Ahmad Badruddin adalah penyusun Tariqah Chistiyyah, Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani adalah penyusun Tariqah Qadiriyyah, Syeikh Abdullah Asy-Syathari adalah penyusun Tariqah Syattariyyah, Syeikh Bahauddin An-Naqsyabandi adalah penyusun Tariqah An-Naqsyabandiyyah, Syeikh Abu Yazid Al-Bustami adalah penyusun Tariqah Taifuriyyah Imam Muhammad Faqih Muqaddam penyusun Tariqah Alawiyyah/ Ba'lawi dan sebagainya.
Perlu difahami juga bahawa keempat-empat imam mazhab adalah merupakan pengamal kesufian dalam diri mereka. Maka sememangnya keempat-empat Imam Mujtahidin itu berguru kepada guru yang kamil ilmu dan amalannya, bahkan mereka juga menjadi guru dan pengamal Tasawuf/ Tariqah.
Contohnya Imam Abu Hanifah berguru dari Imam Ja'far as-Sadiq. Imam abu Hanifah sendiri merupakan guru kepada ulama Tasawuf/ Tariqah yang ternama seperti Syeikh Ibrahim Adham, Syeikh Fudhail bin Iyadh, Syeikh Daud At-Ta`i dan Syeikh Bishr Al Hafi . Imam Malik berguru kepada Imam Jaafar as-Sadiq, seorang ahlul-bait Rasulullah SAW yang merupakan guru Tasawuf/Tariqah yang terkemuka. Imam Ahmad bin Hanbal pula pernah berguru kepada Syeikh Maaruf Al Karkhi, manakala Imam Syafie pula berguru kepada seorang guru sufi bernama Syeikh Salim Ar Ra’i .
Dengan sebab itu Allah SWT telah mengangkat darjat Imam-Imam Mujtahidin ini, bukan sebagai ulamak sahaja tetapi sebagai Aulia’ Allah pada darjat WALI ABDAL, NUJABA’ dan AUTAD. Malahan Imam Syafie sendiri telah sampai kepada martabat WALI QUTUB. Demikianlah yang telah disebutkan oleh pengikut-pengikutnya dari golongan Fuqaha seperti Imam An-Nawawi .
Bahkan tidak terdapat ulamak-ulamak yang agung dan hebat pengetahuannya melainkan mereka telah berguru kepada ulamak-ulamak Tasawuf/ Tariqah. Contohnya Imam Al-Ghazali yang sudah bergelar Hujjatul Islam, seorang pensyarah di universiti tetapi berguru kepada Syeikh Abu Ali Al-Farmadi seorang tukang kasut yang pakar tasawuf. Al-Imam An-Nawawi adalah gurunya seorang wali Allah bernama Syeikh Yassin Al-Muzaiyan.
Seperti yang disebutkan sebelum ini bahawa istilah Tasawuf dan Tariqah hanya muncul pada akhir kurun kedua Hijrah, bermakna dalam zaman kemunculan keempat-empat Imam Mazhab Feqah iaitu Imam Maliki, Hanafi, Syafie dan Hanbali, bidang Tasawuf/ Tariqah masih bersifat sepadu, iaitu tidak dipisahkan dengan ilmu-ilmu serta amalan-SAW dan para amalan Islam yang lainnya sebagai mana yang dibuat oleh Rasulullah sahabat baginda.
PERKEMBANGAN ILMU TASAWUF
1. Sejarah tasawuf bermula dengan kewujudan golongan ahli zuhud (ascetists) iaitu ahlus suffah di zaman Nabi s.a.w. Antara sahabat Nabi yang demikian adalah Salman al-Farisi. Di zaman tabiin, Hassan al-Basri (720 Masihi) juga mengikut cara zuhud. Bermakna tasawuf itu zuhud dan zuhud itu tasawuf.
Ibrahim bin Adham (777M) dan Rabiatul Adawiyah (801M) pula adalah ahli zuhud yang terkenal di zaman mereka. Pada peringkat ini tasawuf itu lebih kepada kehidupan ZUHUD yang bercampur di dalamnya konsep mujahadah dan kecintaan.
2. Kemudian wujud Tasawuf Falsafah, bermula semenjak zaman Zun Nun al-Misri (859M). Beliau memperkenalkan konsep makrifat dan maqamat yang mana ahli sufi perlu melalui peringkat-peringkat makam dalam perjalanannya kepada Allah ta’ala.
Abu Yazid al Bustami (875M) pula memperkenalkan doktrin fana’ fi’l-tauhid. Beliau bukan sahaja merupakan seorang tokoh sufi yang agung, merupakan seorang ahli teologi, falsafah dan puitis yang cemerlang.
Bagaimanapun Syeikh Junaid al Baghdadi (910M), mengetengahkan pendapat adalah lebih baik untuk menenggelamkan zouq dalam hikmah bukan menenggelamkan hikmah dalam zouq (merasa dengan deria batin dan mata hati).
Abu Talib al-Makki (wafat 129H/ 996M) muncul dengan kitabnya Qutul Qulub telah merintis penulisan ilmu tasawuf zahir dan batin secara terperinci dan teratur. Ia dijadikan antara kitab rujukan terawal oleh para ulama tasawuf yang datang setelahnya.
3. Kemudian muncul Tasawuf Akhlak atau Tasawuf Sunni dengan bangkitnya Hujjatul Islam, iaitu Syeikh Abu Hamid al-Ghazali@ Imam Ghazali (1111M) merupakan penyelamat kepada ilmu tasawuf di tengah-tengah kecelaruan umat Islam yang dibanjiri fahaman-fahaman teologi yang bersifat spekulatif, atau agak-agakan, yang menggunakan akal semata-mata tanpa panduan dalil-dalil naqal, iaitu bersumber dari ahli falsafah Greek dan Yunani. Imam al-Ghazali berjasa dalam meningkatkan martabat tasawuf dalam kerangka ortodoks, dengan memperseimbang serta mengharmonikan di antara ilmu aqliyah dan naqliyah, syariat dan hakikat.
4. Kemudian Tasawuf Makrifat Hakikat oleh Imam Muhyiddin Ibnu Arabi (1240M), dikatakan seorang ahli falsafah sufi yang teragung, menerangkan sejarah dan aspek-aspek tasawuf secara lengkap dan menyeluruh. Pada peringkat ini ilmu tasawuf telah amat matang, menyentuh kepada tahap ketauhidan dan makrifat ketuhanan yang amat tinggi.
5. Imam Abdullah bin Alwi al-Haddad (lahir 1044H/ 1634M) telah muncul dengan memberi suntikan dan nafas baru kepada dunia tasawuf dengan menggabungkan tasawuf teori dan amali akhlak zahir dan batin dengan seimbang dan pendekatan yang lebih sesuai untuk zaman mutakhirin.
Kesimpulannya, tasawuf dan tariqat telah melalui suatu proses yang cukup panjang, melalui fasa demi fasa sehingga mencapai kematangannya dalam bidang kerohanian dan kebatinan.

No comments:

Post a Comment