Thursday, 31 December 2015

tasawuf&tazkirah


PENGARUH DAN KESAN KESUFIAN DAN AHLI TAREQAT KEPADA DUNIA ISLAM
Sejarah telah membuktikan bahawa ahli-ahli tasawuf dan tareqat telah memainkan peranan yang besar dan penting dalam dunia Islam bukan saja pada aspek pembinaan kerohanian BAHKAN mengambil bahagian yang aktif dalam ketamadunan, peradaban, keilmuan, pendidikan,penyebaran Islam, pemerintahan, kebudayaan, ekonomi dan sebagainya HATTA mereka juga mengambil bahagian dalam jihad fi sabilillah melawan musuh Islam dan penjajah.
Bidang tasawuf telah melahirkan golongan umat Islam yang bukan sahaja lengkap dan sempurna pada pegangan Tauhid dan Syariatnya, tetapi mereka juga mempunyai kekuatan dalaman yang utuh, iaitu sentiasa MENYUCIKAN HATI DARIPADA SELAIN ALLAH yang kuncinya adalah merendam hati dengan berzikir kepadaNya dan berpuncak pada peleburan keseluruhan jiwa dalam kebesaran Allah.
Sesetengah penentang Tasawuf pula berpendapat bahawa bagaimana mungkin memegang panji-panji jihad di mukabumi ini jikalau asyik tenggelam dengan berzikir dan beribadah? Sedangkan sejarah Islam jugalah yang mampu membuktikan bahawa tokoh-tokoh sufilah yang sering tampil ke saf paling hadapan dalam perjuangan membela kebenaran Islam.
Seorang sultan yang bernama Nuruddin Mahmud al-Zinki (lahir 1118M), seorang sufi bermazhab Hanafi, memimpin angkatan dalam pembebasan Baitul Maqdis.
Beliau merupakan seorang sultan yang mempunyai ilmu yang luas sehinggakan beliau diberi izin untuk meriwayatkan hadis-hadis. Keperibadian Nuruddin memaparkan beliau sebagai seorang pemimpin ummah berwibawa. Dalam majlisnya, tidak dibicarakan hal-hal kecuali hal ilmu, agama dan jihad. Pelbagai sumbangan yang dilakukan oleh beliau semasa pemerintahannya antaranya menubuhkan universiti tertua di dunia iaitu universiti al-Azhar.
Lembaran sejarah juga telah membuktikan bahawa Salahuddin al-Ayyubi seorang pemimpin dan penakluk Jerusalem yang berjaya mengalahkan musuh Islam dalam perang Salib, ternyata beliau adalah seorang ahli sunnah wal jamaah yang merupakan pengamal kesufian dan beraqidah Asya'irah.
Beliau telah mendirikan banyak madrasah dan khanqah/zawiyyah(organisasi tareqat dan kesufian) yang menyelia perjalanan aktiviti tareqat dan tasawuf di Mesir. Khanqah terkemuka ialah Khanqah Sa`id al-Su`ada yang didirikan pada zaman Bani Mamluk oleh Sultan Salahudin al-Ayyubi pada tahun 1173 M di Mesir. Dalam khanqah itu hidup tiga ratus darwish, ahli suluk, guru sufi dan pengikut mereka, serta menjalankan banyak aktiviti keagamaan.
Khalifah-khalifah di zaman keagungan empayar Othmaniyyah terkenal sebagai Ruhbanun Fillail wa fursanun binnahar, iaitu “beribadat kepada Allah umpama rahib di malam hari dan siangnya berjuang laksana singa”, demikian peranan yang telah dimainkan oleh Sultan Muhammad al-Fatih (lahir 1432M) penakluk kota Konstantinopel(Istanbul) adalah merupakan seorang ahli sufi bertareqat Naqshabandi, berpegang teguh dengan kitab al-Ghazali dalam bidang tasawuf dan beraqidah Maturudiyyah.
Kemunculan beliau sebagai penakluk Konstantinopel telah difirasatkan didalam hadis Rasulullah SAW, sabdanya “Sungguh Konstantinopel akan ditaklukkan. Sebaik-baik pemimpin adalah penakluknya dan sebaik-baik pasukan adalah pasukannya”. (H.R. Ahmad). Ternyata pujian Rasulullah SAW ini tertuju kepada Sultan Muhammad al-Fatih, seorang ahli sunnah wal jamaah yang berguru kepada seorang Syaikh tasawuf, Syeikh Aaq Syamsuddin seperti yang telah ditulis oleh Imam Syaukani dalam kitabnya al-Badru al-Thali.
Khan Ghazan pula ialah seorang ahli sufi daripada Tariqah An-Naqsyabandi telah berjaya mengislamkan kerajaan Monggol yang sebelum itu orang Monggol telah menjarah Baghdad dan membunuh beribu-ribu umat Islam dengan kejamnya. Malik bin Dinar juga seorang ahli sufi yang terkenal telah berjasa dalam mengembangkan Islam di Malabar, Gujerat di India, Maldive dan kepulauan-kepulauan yang berdekatan dengan bantuan murid-muridnya. Yusuf Din As-Sindi pula berjasa dalam mengislamkan negeri Multan dan Kashmir. Pemimpin-pemimpin Tariqah Al-Qadiriyyah, As-Syaziliyyah dan lain-lain pula membantu dalam perkembangan Islam di barat, tengah dan selatan Afrika.
Di Dagestan(Rusia), Syeikh Syamil An Naqsyabandi dengan Masyaikh yang lain telah menentang kemasukan tentera kafir Russia yang datang untuk menjajah pada tahun 1813M. Di India, Syeikh Ahmad Syahid, Liyakat Ali dan Syeikh Mahmud Deobandi adalah antara Masyaikh yang telah memainkan peranan menentang Inggeris di India. Syeikh Umar Mukhtar yang merupakan Syeikh Tariqah Sanusiyyah memerangi penjajahan Itali di Libya, Afrika Utara.
Di Alam Nusantara sendiri sarat dengan kisah-kisah perjuangan jihad fisabilillah yang diketuai oleh Masyaikh dan ulamak-ulamak Tariqah demi menentang penjajahan dan usaha kristianisasi Barat. Contohnya dalam Kesultanan Banten, pengaruh Tariqah Khalwatiyyah yang diketuai oleh Syeikh Yusuff Taj Al-Khalwati telah menggerakkan perang sabil orang-orang Islam menentang Belanda dari tahun 1680-1683M . Kemudian beliau melebarkan sayap dakwahnya sehingga ke Afrika Selatan dan sehingga kini di Cape Town masih terdapat peninggalan amalan tasawuf dan tareqat yang masih diamalkan oleh Cape Malay. Dalam Kesultanan Palembang, dibawah pimpinan Sultan Mahmud Badruddin yang mengikuti Tariqah Samaniyyah telah menjadi pendokong utama menentang serangan penjajah Belanda dalam tahun 1811-1822M
Di Minangkabau, pengikut Tariqah Naqsyabandiyyah dan Syathariyyah telah membuat perjuangan menentang penjajahan Belanda. Sunan Gunung Jati, salah seorang ahli Wali Songo pula terkenal dengan jihad melawan tentera Portugis di Pasai. Raja Haji Fisabilillah, Haji Abdul Karim, Teuku Chik di Tiro, Tokku Paloh dan ramai lagi adalah pengikut-pengikut Tariqah yang tercatat dalam sejarah Nusantara sebagai para pejuang agama yang terunggul dalam menentang penjajahan kuffar Barat. Sejarah mencatatkan bahawa selama Tokku Paloh masih hidup, Barat tidak berani untuk menjajah Terengganu sama sekali.
Sejarah juga menunjukkan bahawa penjajah-penjajah Barat amat gerun dengan keberanian serta semangat sakti yang dipamirkan oleh orang-orang Tariqah. Merekalah yang sering menjadi kubu utama bagi masyarakat Islam menahan dari sebarang bentuk cabaran yang cuba mematahkan kekuatan Islam.
Tariqah menjadi satu saluran berkesan untuk menggerakkan perjuangan agama kerana para pengikutnya mempunyai hubungan hablumminallah(hubungan dengan Allah) yang mendalam serta hablumminannas(hubungan dengan manusia) yang baik, penuh hikmah dan berkasih sayang, mempunyai sifat taqwa dan tawadhuk yang tinggi, tulus dan tidak mudah dijual-beli . Selain itu ahli-ahli Tariqah selalunya mempunyai semangat perkumpulan yang cukup kental yang dibina atas asas semangat persaudaraan agama serta ikatan istimewa diantara guru (Masyaikh) dan murid.
Kesimpulannya, ahli tasawuf dan tareqat sentiasa tampil disaf hadapan dalam membela dan memperjuangkan Islam pada setiap zaman dan tempat. Dikhuatiri bahawa mereka yang menentang kesufian dan tareqat adalah dari golongan yang terbentuk dari acuan Barat atau terbina dari legasi penjajah dan orientalis yang berniat buruk terhadap ajaran intipati dan kekuatan jatidiri Islam.
Pada artikel akan datang, inshallah kami akan bawakan sejarah secara terperinci kedatangan ahli sufi terawal membawa Islam ke alam Melayu Nusantara dengan penuh hikmah dan kasih sayang serta sumbangan dan jasa mereka dalam membentuk ketamadunan,keilmuan dan pengamalan agama dirantau ini.πŸšΆπŸ’˜πŸ’”πŸŒΉ✨🌹

No comments:

Post a Comment