BICARA KLASIK : "DIALOG KASAR TAPI BERISI" DALAM FILEM P.RAMLEE
Bagi peminat filem klasik Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, semestinya tidak asing dengan bahasa yang agak kasar dalam dialog yang dipaparkan. Setiap dialog yang diungkapkan dengan bahasa kasar, hakikatnya mempunyai maksud tersirat yang tersendiri.
Kali ini Brader paparkan beberapa dialog popular yang kedengarannya agak kasar. Jika amati betul-betul, dialog seumpama ini disampaikan oleh P.Ramlee kepada sesetengah individu yang terdapat dalam masyarakat.
Pertama, "Kecik-Kecik tak nak mampos, dah besar menyusahkan orang..!!!" Ungkapan dialog daripada director Ahmad Nisfu dalam filem Seniman Bujang Lapok. Dialog ini adalah ditujukan kepada individu yang suka menyusahkan orang lain. Terutama kepada keluarga sendiri dan masyarakat. Lebih baik mati daripada hidup menyusahkan orang lain.
Kedua, "Tua kutuk tak sedar diri...!!!" Ungkapan dialog daripada Abdul Wahib dalam filem 3 Abdul kepada bapa mertuanya yang penipu dan jahat. Dialog ini adalah ditujukan kepada golongan tua yang tidak sedar diri. Sudah tua tapi tidak mahu insaf, malah masih berbuat dosa dan maksiat. Memang tidak sedar bahawa rumah sudah kata pergi, kubur sudah kata mari.
Ketiga, "Alangkah baiknya jikalau kau diciptakan sebagai haiwan, bukannya manusia." Ungkapan dialog daripada Kassim Selamat kepada ibu mertuanya yang zalim, dalam filem Ibu Mertuaku. Dialog ini ditujukan kepada individu yang berhati busuk, penuh dengan hasad dengki dan sifat sombong. Hakikatnya, orang sebegini sifatnya lebih teruk daripada haiwan.
Nampak tak, apa yang ingin disampaikan oleh P.Ramlee walaupun dengan dialog kasar. Ia menyelitkan sindirian, nasihat dan kritikan masyarakat yang tersendiri. Mungkin ada yang tidak sedar akan perkara ini.
Malah mungkin ada pula beranggapan ia adalah bahasa kasar yang tidak elok apabila didengari semata - mata. Padahal ia adalah bahasa kasar yang berisi, samada disampaikan secara humor mahupun serius. Itulah hebatnya karya P.Ramlee.
No comments:
Post a Comment