Pelitup muka Tajuddin berharga RM1,699?
Sinar Harian
Ogos 20, 2021 07:50 MYT
Apa yang membuatkan pelitup muka itu unik ialah ia dilengkapi teknologi pembersihan udara. - Foto The Star Online
PELITUP muka ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sekali lagi menjadi perhatian.
Bukan sahaja dalam kalangan pengamal media yang berhimpun di lobi Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) baru-baru ini, malah ia turut menjadi bualan warganet di media sosial.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Twitter, pelitup muka yang dipakai Tajuddin adalah produk di bawah rangkaian LG PuriCare dan dijual pada harga RM1,699.
Apa yang membuatkan pelitup muka itu unik ialah ia dilengkapi teknologi pembersihan udara, sekali gus memastikan pengguna menerima udara bersih.
Pun begitu, warganet masih menghentam Tajuddin kerana beliau didakwa tidak tahu menggunakan pelitup muka tersebut dengan betul.
Ramai kurang senang apabila melihat pelitup muka dipakainya kerap 'terlondeh' dan menerusi satu rakaman video, jelas kedengaran seorang wartawan meminta beliau membetulkan pelitup muka canggih tersebut sebelum ditemubual.
Komen-komen di Twitter pula ada yang meminta Tajuddin 'tape' sahaja pelitup muka tersebut di wajahnya, malah ada yang lebih sinis menganggap ia sebagai perhiasan 'cosplay'.
Ada juga yang berseloroh;"Dia masih buka? Tak handsome, sila pakai balik."
Tidak kurang ada juga warganet menganggap Tajuddin tidak serik selepas dua kali dikompaun atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Umum mengetahui, Tajuddin dikompaun selepas didapati tidak memakai pelitup muka ketika berada di ruang legar Parlimen.
Sebelum ini, Tajuddin yang juga bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan sama semasa mengadakan sidang media selepas melawat lokasi dua tren LRT bertembung dalam terowong berhampiran KLCC pada 25 Mei lalu.
No comments:
Post a Comment