INFO UNDANG-UNDANG
Individu bawa senjata untuk keselamatan diri boleh dipenjara? Jom baca
Ramai yang menyangka menyimpan atau membawa senjata seperti pisau kecil atau kayu untuk tujuan keselamatan adalah perkara biasa tanpa menyedari perbuatan itu boleh menyebabkan mereka merengkok dalam penjara.
Individu yang memiliki, membawa atau menyimpan senjata walaupun hanya sebilah pisau kecil tanpa sebab sah dan alasan munasabah termasuk alasan untuk melindungi diri, boleh didakwa di bawah Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan boleh juga disebat, jika didapati bersalah.
Seseorang individu yang memiliki apa-apa senjata yang disenaraikan sebagai senjata berjadual seperti pisau, parang, pedang, kerambit, tombak, buku lima, kapak kecil dan sebagainya tanpa sebab yang sah boleh didakwa di bawah akta tersebut.
Akta ini menyenaraikan senjata yang tidak boleh dibawa oleh orang awam, kerana ianya berbahaya. Senjata-senjata ini tersenarai di bawah Jadual 2, iaitu (secara ringkasnya):
‘Flick knife’ – Pisau yang mengeluarkan bilah secara automatik melalui kuasa pusat putaran atau dengan menekan butang, spring dan sebagainya pada gagang pisau.
‘Gravity knife’ – Pisau yang mengeluarkan bilah dari gagang atau sarung melalui tekanan graviti.
Alat sebatan/libasan (whip) – Diperbuat daripada rantai basikal atau motosikal, atau seumpamanya.
Semua jenis buku lima (knuckleduster).
Semua jenis bilah yang boleh disembunyikan (concealed) atau alatan lain yang berupaya digunakan untuk menghiris atau menikam.
‘Bearing scraper’ – Pisau dengan tiga mata yang tajam dan hujung yang runcing.
Kapak kecil.
Senjata yang dikaitkan dengan agama atau kepercayaan – Sebarang pedang, keris, parang atau pisau yang padanya tertulis atau terukir sebarang perkataan, ayat atau gambaran yang berkaitan dengan sesuatu agama atau kepercayaan.
Sebarang jenis pedang atau parang yang kebiasaannya digunakan sebagai senjata dan bukan untuk tujuan pertanian, kegunaan rumah atau taman bercucuk tanam.
Lembing dan mata lembing.
Panah-silang (crossbow).
Senjata elektrik – Patrolite, Stun Gun, Taser, Control Club atau peralatan seumpamanya, yang berkuasa bateri atau dari apa-apa juga sumber tenaga.
No comments:
Post a Comment