KISAH ALI BABA & 40 PENYAMUN
Maha Karya Agung P.Ramlee
Maha Karya Agung P.Ramlee
Ali Baba Bujang Lapok boleh dikatakan sebagai filem komedi terbaik P.Ramlee. Keistimewaan filem ini terletak kepada jenakanya yang bersahaja dan mengandungi kritikan sosial yang tajam, ini membuatkan filem ini lain daripada filem jenaka yang lain. P.Ramlee memilih mod rekonstruksi, dengan membikin semula kisah Ali Baba Dan 40 Penyamun. Di tangan P.Ramlee filem ini keluar dengan lmrah kisah asalnya. Suntikan elemen semasa dan penggunaan set dan prop yang bercampur membuat kita tertanya-tanya apakah zaman kisah ini sebenarnya., Ada telefon, kipas angin, skuter, kalendar bercetak dan sebagainya. Ini sebenarnya sebuah parodi kehidupan dan semuanya disatukan P.Ramlee di dalam filem ini.
Dipaparkan satu kehidupan di sebuah negeri yang diberi nama Baghdad (sudah tentu nama ibu negara Iraq). Wajah penduduknya seiras penduduk Malaya, tetapi berpakaian dan mengamalkan gaya hidup seperti orang Arab. Mereka juga bertutur dalam Bahasa Melayu dengan pelat Arab. Kota Baghdad di dalam filem ini digambarkan mengalami masalah yang rumit. Pelbagai perkara negatif diamalkan secara terbuka di kota ini. Misalnya perjualan hamba dan pemerdagangan orang. Masyarakatnya juga gemar mempercayai tilikan nasib daripada seorang tabib yang menipu dan bertujuan mengaut keuntungan semata-mata. Kota yang pentadbirnya misteri dan tidak didedahkan di dalam filem ini. Undang-undang dan peraturan-peraturan di kota ini semuanya pelik-pelik belaka. Sindiran tajam P.Ramlee ialah apabila candu dan ganja boleh dijual secara terbuka, tetapi belacan terpaksa dijual secara senyap-senyap kerana bimbang dirampas pihak berkuasa. Ini kita dapat lihat semasa babak di antara Marjina dan Penjual Belacan.
"Jual candu ada lesen, jual ganja ada lesen tetapi jual belacan tak ada lesen. Saya smuggle dari Malaya."
Ini satu kritikan tajam yang ditujukan kepada penguatkuasa undang-undang pada ketika ini yang mungkin dilihat P.Ramlee berdepan masalah. Segala macam perkara-perkara salah boleh dibuat secara terang-terangan, tetapi perkara baik-baik terpaksa dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Ini jelas menunjukkan bahawa melakukan kebaikan ialah satu jenayah di kota ini. Filem ini juga langsung tidak melibatkan sebarang sosok anggota keselamatan atau pengkuatkuasaan seperti polis, walaupun pelbagai jenayah dan penipuan berlaku secara berleluasa. Ini selanjutnya menimbulkan persoalan besar mengenai siapa sebenarnya yang menerajui, mentadbir dan menjaga keselamatan kota yang penuh muslihat ini. Lebih menghairankan, penduduk kota ini membuka jalan untuk segala penipuan berlangsung secara berterusan kerana mereka sering mengambil jalan mudah untuk cepat kaya dan melanggar segala hukum termasuk berjudi dan mempercayai skim cepat kaya seperti tikam nombor ekor yang dianjurkan oleh Sarjan.
Parodi kehidupan yang disebut sebelum ini dapat dikesan pada beberapa babak penting di dalam filem ini. Misalnya ketika Ali Baba datang ke rumah Kassim Baba dan dia mahu meminjam satu gantang gandum, Kassim Baba bersetuju memberi pinjam, tetapi perlu dipulangkan semula sebanyak dua gaantang. Kassim Baba seolah-olah seperti bank yang memberi pinjam dengan kadar bayaran balik lebih tinggi lengkap dengan riba. Selain itu, Kassim Baba juga meminta Ali Baba untuk menandatangani dokumen perjanjian.
Kassim Baba walaupun dilihat sebagai seorang kaya yang kedekut dan gilakan harta dan wang, namun dia masih memiliki perikemanusiaan dengan menjaga hambanya, Marjina dengan baik. namun, sikap kedekut Kassim Baba begitu ketara apabila isterinya Aloya menyebut Kassim Baba tidak membayar bil air dan menyebabkan perkhidmatan air terpaksa dipotong. Selain itu, Kassim Baba juga memiliki rekod di pajak gadai yang memberi maksud dia mungkin seorang kaya, tetapi hidupnya tidak selalu senang. Pintu bilik Kassim Baba juga menampakkan motif ukiran seperti zaman Firaun dan ini menjadi petanda sikap negatif yang ada pada Kassim Baba. Kasim Baba juga seperti suka menunjuk-nunjuk kelebihan sendiri walaupun sebenarnya ada perkara yang dlakukannya hanya sia-sia misalnya mengupah pekerja untuk mengangkat bebanan yang sebenarnya bukan besi tetap kayu itu.
Berbeza dengan Kasim Baba, Ali Baba pula hidup bersama-sama isterinya Norsiah di rumah usang yang kelihatan terpencil. Ali Baba merupakan cerminan kemiskinan yang berlaku dalam masyarakat. P.Ramlee cuba menjelaskan bahawa tidak semua kemiskinan itu berlaku kerana kurang nasib baik, tetapi ada juga kemiskinan yang berlaku atas dasar malas. Seperti Ali Baba, dia merupakan seorang miskin yang malas. Hidupnya hanya berharap kepada peminjaman gandum dengan Kasim Baba. Ali Baba tidak mahu berusaha, bekerja atau membantu isterinya. Segala kerja rumah dilaksanakan oleh isterinya seorang diri. Sikap Ali Baba yang malas ini diterjemahkan oleh P.Ramlee sebagai di antara punca utama kemiskinan dalam kalangan masyarakat. Apa yang Ali Baba tahu hanyalah mencipta alasan, tetapi gagal dan tetap tidak mahu berusaha. Misalnya dia ada menyebut kepada isterinya yang dia bukan tidak mahu bekerja tetapi tulang-tulangnya telah reput. Selepas isterinya merajuk Ali Baba bergerak ke dalam hutan dan mencari kayu-kayu yang boleh dipotongnya. Namun, kita dapat melihat betapa pemalasnya Ali Baba apabila dia memotong pokok yang terlalu besar dengan kapak yang kecil. Selepas dengan hanya beberapa kali percubaan, dia putus asa dan terus berbaring. Di dalam filem ini, P.Ramlee bukan sahaja menyindir orang kaya yang kedekut dan gilakan wang, tetapi juga orang miskin yang malas dan gagal berusaha gigih untuk mengubah nasib diri. Ali Baba hanya bergantung kepada nasib semata-mata dan kebetulan dia bertemu dengan gua tempat 40 penyamun tinggal dan dari situasi itu, nasibnya berubah menjadi kaya.
Kini kita ke bahagian yang paling menarik untuk dikupas sepanjang filem Ali Baba Bujang Lapok ini. Bahagian berkenaan ialah tentang 40 penyamun yang diketuai oleh P.Ramlee yang hanya dikenali sebagai Chief atau ketua. Bentuk organisasi dan cara bekerja kumpulan 40 penyamun ini menyamai organisasi asas sesebuah kerajaan di mana-mana negara di dunia. Misalnya memiliki ketua untuk menguruskan organisasi mereka. Ketua ini akan memberi arahan dari semasa ke semasa dan semua 40 penyamun ini akan melaksanakana arahan berkenaan dengan baik dan teliti. Jika mereka tidak melakukan kerja dengan baik, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti yang berlaku kepada Sarjan dan Momotaro San. Mereka didapati bersalah kerana disangka meletakkan tanda pangkah yang salah dan akibatnya mereka telah dihukum duduk didalam penjara yang ada di gua yang menjadi markas 40 penyamun.
Kumpulan ini juga memiliki pakaian seragam dan akan berbaris sebelum melaksanakan apa-apa tugasan. Mereka dipuji sebagai memiliki disiplin yang tinggi. Mereka akan diberikan bonos dan dalam kes Momotaro San dia diberi bonos setengah bulan gaji kerana berjaya merompak banyak wang emas, manakala seorang perompak yang lain pula dipotong gaji setengah bulan kerana merompak kasut buruk. Di sini Chief sebenarnya perlu memotong gaji penyamun berkenaan untuk menampung kos memberi bonos kepada Momotaro San. Selain itu, terdapat juga pelbagai kemudahan untuk semua penyamun berkenaan dan di antara yang paling mudah dilihat di dalam filem ini ialah perubatan percuma. H.M.Busra memainkan perana sebagai doktor yang merawat penyamun yang sakit. Namun, doktor ini kelihatan agak garang dan mahu dilayan dengan baik.
Kumpulan 40 penyamun ini juga dibenarkan melaksanakan kerja lebih masa dengan arahan dan persetujuan daripada Chief. Mereka tidak dibenarkan untuk melakukan kerja lebih masa sesuka hati. Apa yang lebih menarik sistem pembayaran gaji mereka juga mengikut waktu yang telah ditetapkan dan setiap daripada penyamun ini akan menerima gaji selepas menandatangani pernyata yang diberikan oleh Chief. Ternyata urusan kewangan berjalan dengan teratur dan cukup berperaturan. Penyamun dibenarkan untuk membuat pinjaman, namun potongan gaji akan dikenakan setiap bulan seperti yang terjadi kepada Sarjan yang hanya menerima gaji berjumlah 30 Dirham walaupun penyamun lain menerima 150 Dirham. Ini kerana Sarjan telah membuat pinjaman dan potongan gaji telah dilaksanakan terhadap gajinya.
Lebih menggelikan hati dan membuatkan kita terfikir adakah P.Ramlee sedang menyentuh perihal sebuah Kerajaan ialah apabila Chief menerangkan mengenai peraturan waktu bekerja yang baru kepada Sarjan.
"Sekarang kita sudah pakai undang-undang baru. Satu hari lapan jam kerja. Hari Sabtu setengah hari, hari minggu holiday. Faham?"
Lebih menarik, semasa hari gaji yang jatuh pada hujung minggu, 40 penyamun akan keluar bersuka ria dan semasa ini kita dapat melhat mereka memakai pelbagai jenis pakaian yang melambangkan pelbagai jenis latar belakang masyarakat. Ini menunjukkan kepelbagaian dalam keanggotaan 40 penyamun itu. Kumpulan 40 penyamun ini pula sering dihubungi oleh orang-orang kaya yang meminta bantuan untuk merompak rumah mereka bagi membolehkan mereka lari daripada membayar hutang (dialog sebenarnya lari dari bayar income tax, perhatikan gerak bibir Sharif Dol dan P.Ramlee) dan seorang lagi orang kaya meminta agar 40 penyamun menculiknya kerana tidak tahan dengan perangai isteri yang suka meminta dibelikan barangan sama seperti apa yang jiran-jirannya peroleh. Kumpulan 40 penyamun ini dilihat menjadi tempat aduan umum, khususnya golongan kaya.
P.Ramlee juga seolah-olah cuba menunjukkan Kumpulan 40 Penyamun ini turut terlibat di dalam urusan ekonomi melalui jawapan Chief apabila ditanya tentang perniagaan yang dijalankan oleh kekasihnya.
"Kanda meniaga import. Kanda tak pernah eksport. Lain orang eksport. Kanda Import."
Secara nyatanya, import bemaksud membawa sesuatu barang atau perkhdimatan itu masuk ke dalam negara dan memang benar, 40 penyamun menjalankan perniagaan import kerana mereka membawa masuk barang ke dalam gua persembunyian mereka. Semasa 40 penyamun berjaya menangkap Kasim Baba yang sedang leka mencuri di dalam gua, Chief telah memanggil salah seorang penyamun yang berpakaian seperti hakim dan menanyakan tentang hukuman yang sesuai dijatuhkan terhadap Kasim Baba. Nampaknya 40 penyamun ini turut memiliki sistem kehakimannya sendiri. Hakim berkenaan dengan yakin menjatuhkan hukuman bunuh walaupun perbicaraan tidak langsung dijalankan. Mereka juga turut mengumumkan cuti umum khas sempena menghormati kematian Kasim Baba dan ini dilakukan selaras dengan permintaan terakhir Kasim Baba.
Di dalam filem ini juga ada terdapat watak lelaki Cina yang dikenali sebagai Apek. Lelaki ini yang telah membantu menjahit mayat Kasim Baba dan peniaga ini ketika berbual dengan Sarjan kelihatan cukup gembira dan berbangga mendapat kerakyatan di Kota Baghdad. Apabila ditanya dia menjawab sudah 80 tahun tinggal di negeri ini namun umurnya baru 50 tahun. Tetapi menurut Apek bapanya telah tinggal di sini sudah 30 tahun jadi menunjukkan dan merasakan dirinya ialah sebahagian daripada negeri ini. Dia juga menganggap dirinya memiliki hak yang sama dengan warga tempatan lain di negeri ini ketika meleraikan pengeseran di antara pelanggan (warga tempatan) di hadapan kedai kasut miliknya.
"Tak usah gaduh. Gua pun local citizenship."
Sebelum dan selepas mencapai kemerdekaan, isu kerakyatan jus soli menjadi isu penting dan P.Ramlee menonjolkan isu berkenaan di dalam filem ini dengan cukup cemerlang. Beliau meletakkan bagaimana seorang Cina yang telah lama menetap kelihatan telah menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat sehingga dapat membuka perniagaan sendiri.
Pada babak penghujung filem ini Chief menyamar sebagai saudagar yang sudah bertaubat dan berpura-pura menjadi saudagar minyak. Namun niatnya untuk mengahacurkan keluarga Ali Baba. Sebagai seorang yang telah bertaubat Chief mengenakan jubah dan berkopiah. Penyamaran sebegini adalah berkesam kerana manusia akan tersentuh hati jika pakaian yang dipakai itu terkait dengan soal agama. Ketika berpelukan dapat dilihat bahagian belakang badan Ali Baba menghadap kamera dan Chief memperlihatkan mukanya yang jahat. Ini sebenarnya memberikan petanda bahawa sesuatu yang buruk bakal berlaku kepada belakang badan. Ternyata permainan petanda seperti itu amat menarik di dalam filem ini dan yang menjadi mangsa tikaman belakang badan ialah Chief yang ditusuk pisau oleh Marjina. Tikaman dari belakang oleh Marjina juga memberikan maksud sebenar bidalan 'tikam belakang' yang sering disebut orang. Chief yang cuba menikam belakang telah berjaya ditikam terlebih dahulu.
Inilah yang dimaksudkan dengan parodi kehidupan P.Ramlee meletakkan kehidupan kita seolah-olah ditadbir oleh 40 penyamun. Manakala 40 penyamun ini pula diandaikan seperti sebuah kerajaan. Memiliki disiplin dan organisasi yang elok, menyusun pergerakan dengan baik dan memiliki aturan pentadbiran yang sistematik walaupun hakikatnya penyamun, persis sebuah kerajaan yang dapat kita lihat di mana-mana di seluruh dunia pada hari ini. Parodi sebegini merupakan satu parodi yang bijak. Sindiran dan kritikan yang dikeluarkan memerlukan proses penghadaman yang bersesuaian untuk kita fahami maksud dan tujuannya. Ali Baba Bujang Lapok berada pada kelasnya yang tersendiri.
No comments:
Post a Comment