MAKRIFAT TOK KENALI KELANTAN : Hukum Qalbi Yang Keenam Adalah “Munajat
NUKILAN HJ SAARI MOHD YUSOF (PEWARIS KETIGA ILMU MAKRIFAT TOK KENALI KELANTAN)
6) Munajat
Soalan:
Apakah maksud, makna atau erti munajat?
Jawapan:
Maksud, makna atau erti munajat itu, adalah berpandang-pandangan, tilik-menilik atau pandang-memandang. Persoalannya di sini, apakah yang dipandang dan apakah yang memandang?
Untuk mengerjakan hukum qalbi dalam bidang munajat itu, setelah menyerah diri zahir (di peringkat ihram) dan terlihat diri yang batin (di peringkat mikraj), maka tibalah masanya diri batin memandang dirinya sendiri (batin melihat batin).
Lebur sudah istilah diri zahir dan karam sudah istilah diri yang batin, maka hanya tinggal batin memandang batin, batin melihat batin dan batin sahaja yang menilik batin, maka jadilah ia istilah pandang-memandang, tilik-menilik dan lihat-melihat (munajat). Inilah yang dikatakan peringkat sembahyang (solat) dalam berkeadaan peringkat munajat. Sudah tidak timbul lagi zahir atau batin. Di sinilah yang dikatakan wajah bertentang wajah (mata bertentang mata). Tidak ada lain lagi yang tertilik melainkan yang tertilik itu, adalah diriNya sendiri (batin sahaja yang mengenal batin).
Solat (sembahyang) melalui hukum qalbi (munajat) itu, adalah solat orang yang sudah tidak lagi terpandang kaki yang berdiri, tidak lagi terpandang tangan yang bertakbir dan tidak lagi terpandang mulut yang membaca, melainkan yang berdiri, yang bertakbir dan yang membaca ayat-ayat suci itu, adalah kerana adanya roh (hidup atau hayat).
Mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan sebagainya itu, adalah anggota yang menumpang di atas sifat roh. Jika tidak ada roh, semuanya tidak boleh bergerak. Bergeraknya semua anggota itu, adalah kerana adanya roh (semua anggota menumpang roh).
Roh itulah sebenar-benarnya yang menggerakkan anggota, tanpa roh siapalah jasad. Oleh itu, bermula dari hari ini, saat ini dan di ketika ini, marilah kita bersembahyang dengan hukum qalbi (munajat), kerana dalam peringkat ini, solat kita, tidak lagi bergantung harap kepada anggota zahir, melainkan bergeraknya anggota zahir itu, adalah di atas dasar bergeraknya roh. Maka, rohlah yang mengerjakan anggota jasad dan rohlah yang sebenar-benar bersolat. Anggota zahir itu, adalah semata-mata pak turut.
Jika kita katakan anggota jasad yang bersembahyang atau bersolat, cuba kita tanya kepada diri kita sendiri, bilakah anggota jasad mengenal Allah? Anggota jasad tidak pernah bertemu atau berjumpa Allah. Sedangkan yang pernah berjumpa atau bertemu Allah itu, adalah roh. Makanya rohlah yang layak mengenal Allah dan dialah yang layak menyembah Allah, bukannya jasad tubuh badan. Peringkat ini adalah peringkat:
“Faainama tuwallu fasamma wajuhullah”, yang bermaksud “Mana dihadapkan mukamu, di situlah Allah”.
“La maujud Illallah”, yang bermaksud “Tidak ada yang wujud itu, selain Allah”.
No comments:
Post a Comment