Friday, 20 November 2015

Tazkirah


Ulangkaji ringkas mengenai Iman, Islam dan Ihsan.

Ketiga-tiga perkataan di atas telah pun menjadi lumrah penggunaannya di kalangan kita, sama ada perkataan Iman, Islam atau Ihsan sentiasa membasahi lidah kita kerana menyebutnya. Islam seseorang itu tidak akan menjadi lebih cantik dan sempurna, sekiranya tidak memahami secara sepadu ketiga-tiga konsep tersebut.

Iman semestinya perkara utama yang perlu difahami kerana keimanan itu terhasil atas sebab seseorang itu mengenali Allah (makrifatullah), manakala Islam pula melengkapkan dengan melaksanakan tuntutan iman dengan melibatkan fizikal seperti mengucapkan dua kalimah syahadah, bersolat, mengeluarkan zakat dan seumpamanya dan Ihsan pula memurnikan lagi ibadat dengan melakukannya dengan ikhlas , iaitu membuat sesuatu semata-mata kerana Allah, ianya berperanan sebagai pelengkap kepada ketiga-tiga prinsip tersebut.

IMAN:

Maksud iman itu “ Membenarkan dengan hati (mengaku di hati), mengikrarkan (menyebutkannya) dengan lisan dan mengamalkan dengan anggota badan.

”Membenarkan dengan hati:

bermaksud mempercayai dan mengakuinya di hati atas segala apa yang dibawa dan disampaikan oleh Rasulullah.s.a.w. khususnya tentang keesaan dan kekuasaan Allah serta segala yang disebutkan di dalam Rukun Iman. (segala apa yang disebutkan di dalam al Quran)

Mengikrarkan (mengakui) dengan lisan (lidah):

Iaiatu dengan mengucapkan dua kalimah syahadah dan mengucapkan atau membuat pengakuan melalui lidahnya terhadap kebenaran semua Rukun Iman dan Rukun Islam.

Mengamalkan dengan anggota badan, bermaksud melaksanakan segala tuntutan seperti bersolat, berpuasa, mengeluarkan zakat dan seumpamanya kerana ibadat ini memerlukan penglibatan anggota badan atau fizikal.

Dalam melakukan ibadat semestinya melibatkan tiga unsur tersebut di atas (Iman,Islam dan Ihsan) , contohnya bersolat, seseorang itu melakukan solat disebabkan tercetus keinginan untuk melakukannya, cetusan itu datangnya daripada hati yang telah beriman kepada Allah (iman), solat itu pula salah satu daripada Rukun Islam (Islam) dan perlu dilakukannya dengan melibatkan anggota badan dan juga hati, solat itu akan menjadi ibadat yang sempurna sekira dilakukan dengan ikhlas iaitu menyedari Allah sedang melihatnya ketika sedang menunaikan solat tersebut (Ihsan).

Demikianlah juga ketika melakukan ibadat yang lain sama ada ibadat itu wajib atau sunat , kualiti tersebut perlu dikekalkan.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah". (Surah Al.Anfal : 2)

ISLAM:

Islam dari segi bahasa Arab bermakna sejahtera, aman dan harmoni, manakala maksud Islam dari segi istilah ialah menyerah diri kepada Allah Taala dengan melaksanakan suruhan dan meninggalkan laranganNya.

Islam merupakan pelaksanaan kepada keimanan dan juga pelengkap kepada keimanan yang telah tersemat di dalam hati, keimanan tidak akan sempurna tanpa pelaksanaan secara fizikal terhadap apa yang dipercayai, ianya akan merupakan cakap tidak serupa bikin sekiranya tanpa penglibatan fizikal.

Sebagai contoh di dalam hati mempercayai dan meyakini bahawa al Quran itu sememangnya diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad.s.a.w. segala kandungan adalah benar dan di dalamnya terkandung berbagai suruhan dan larangan, di antara suruhanNya ialah bersolat, berpuasa dan menunaikan fardu Haji, untuk melengkapkan kepada kepercayaan atau keimanan kepada Allah itu, maka segala suruhan tersebut dilaksana dan ditunaikan.

IHSAN:

Ihsan adalah umpama suatu penambat dan ikatan erat dan kemas kepada segala amalan yang dibuat atau ditunaikan, ianya tidak akan terburai dan terlerai sekiranya amalan itu disertai dengan ihsan, teras ihsan ialah ikhlas, manakala ikhlas itu ialah beribadat semata-mata kerana Allah.

Maksud ikhlas ini perlu difahami secara istilahnya yang hakiki, kalau tidak ianya akan membawa maksud yang tidak menyentuh apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah.s.a.w.

Ihsan yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud, " Apakah itu Ihsan?, Sesungguhnya kamu beribadat kepada Allah seumpama kamu melihatNya, jika kamu tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu" (Hadis Riwayat Bukhari / Muslim).

Segala ibadat yang kita lakukan akan menjadi lebih bermakna dan bernilai lagi serta tidak akan menjadi sia-sia sekiranya ibadat itu dibuatatau ditunaikan dengan ikhlas seperti disebutkan di atas, untuk mendapatkan ikhlas sepanjang tempoh melakukan amalan itu kita perlulah menyedari bahawa Allah sedang melihat kerja buat kita itu, cara itu kita tidak akan memasukkan unsur lain ke dalam niat dan tujuan murni yang telah diqasadkan.

Malah sepanjang hidup kita diperhatikan Allah tanpa sedikit pun terlalai dan leka, semuanya akan direkodkanNya di dalam buku amal manusia.

Diulangi lagi bahwa:

Iman, Islam dan Ihsan perlu dilaksanakan serentak serta disepadukan di dalam penghayatan ketiga-tiga nya tersebut.

Sekian dahulu...

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment