Wednesday, 2 September 2015

Tazkirah


BAGAIMANA MENCARI KETENANGAN YANG MENENANGKAN

"Kenapalah jiwa aku serabut?"
"Tak tenang... stress... stress...stress !"

Bermacam-macam keluhan suara hati dan lisan yang dapat kita dengar dan rasai dalam menggambarkan betapa mahal dan bernilainya sebuah ketenangan dan betapa inginnya jiwa ini melangkah lari dari keserabutan dan kekacauan rohani dan jasmani.

NIKMAT KETENANGAN :
Berapa ramai yang masih tercari-cari akan ketenangan khususnya ketenangan rohani. Rumah bertingkat-tingkat, kereta berkilat-kilat, duit berlipat-lipat atau isteri berempat-empatpun bukanlah jaminan total untuk mendapat sebuah ketenangan. Bahkan kadangkala ia menjadi salah satu punca dan musuh perosak ketenangan dan keharmonian rohani.

Hal ini terjadi kerana kebanyakan perkara tersebut secara amnya dikuasai oleh nafsu ammarah yang sentiasa membaluti roh kejernihan jiwa. Nafsu sentiasa mengarahkan kepada perkara yang memusnahkan ketenangan.Jadi tidak hairanlah mereka yang dikuasai nafsu songsang akan mudah teragut ketenangan dari jiwa mereka. Sering disebut 'jiwa kacau', nur ketenangan seolah-olah malap dan hampir padam di hati dan wajah mereka.

Cuba kita renung dan fikir kehidupan para alim ulama’ dan orang soleh yang betul-betul menyerah diri dan bergantung kepada Tuhan sekalian alam. Cahaya ketenangan terserlah dari mereka bahkan adakalanya aura tersebut terasa terpancar di sekeliling mereka hinggakan jika kita melihat wajah dan mendengar tuturkata mereka terasa bagaikan diselimuti gebar ketenangan dan kedamaian. Jiwa yang gersang terasa bagai disimbah salju yang menyejukkan jiwa yang resah.

الَّذِينَ آَمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.( Arra’d:28)

CONTOH :
Cuba kita fikir sejenak, dikala kita membaca ayat-ayat Allah dalam Alquran beserta kefahaman dan penghayatan yang mendalam, ataupun ketika kita melihat ayat-ayat kauniah (ciptaan alam) tentunya secara tidak langsung akan terbit satu perasaan yang kita terasa nyaman dan lapang...cubalah…!

Mengapa ketika manusia menghadapi tekanan emosi atau keserabutan fikiran, mereka akan mengasingkan diri mencari kesunyian dan ada yang mencari ketenangan di sebalik alam seperti di tepi pantai, di dalam taman sambil mendengar kicauan beburung, di tebing sungai yang mengalir dan seumpamanya, ini kerana suara-suara alam ini (makhluk Allah) sentiasa menuturkan tasbih dan zikir pujian kepada Sang Penciptanya. Sebab itulah apabila kita mendengarnya jiwa akan diuliti rasa ketenangan.

KETENANGAN HAKIKI :
Carilah ketenangan hakiki untuk diri. Jauhkanlah diri daripada kemurkaan Allah Ta’ala. Hindarkanlah maksiat kepada Allah kerana ia akan menggugah ketenangan jiwa. Nur Ilahi akan jauh dari pelaku maksiat dan kolam ketenangan akan tercemar dengan noda dan dosa.

Banyakkanlah istighfar beserta doa, pohonlah keampunanNya sentiasa selagi usia masih bersisa.
Jangan kita putus asa daripada rahmat Allah. Banyakkanlah bergaul dengan orang-orang soleh dan menghadiri majlis-majlis zikir dan ilmu.

Jauhilah sifat-sifat mazmumah yang menjadi racun kepada benih ketenangan seperti hasad dengki, buruk sangka, fitnah dan sifat seumpamanya. Basahilah lidah dengan zikrullah selalu nescaya ia akan terbit menjadi anggota yang mengarahkan kepada ketaatan kepadaNya.

Allah telah berfirman dalam al Quranul Karim :

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ (27) ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً (28) فَادْخُلِي فِي عِبَادِي (29) وَادْخُلِي جَنَّتِي (30
Maksudnya: "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan Segala nikmat Yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurgaKu! "(Alfajr : 27-30)

Wallahu a'lam...

No comments:

Post a Comment