WASIAT TERAKHIR SYEIKH
ABDUL QADIR AL-JAILANI
ABDUL QADIR AL-JAILANI
Ketika wali Allah ini sakit yang membawa kematiannya, puteranya yang bernama Syeikh Abdul Wahab berkata kepadanya, “Berikanlah satu nasihat kepadaku sebelum ayah meninggal dunia untuk ku jadikan pegangan.”
Ia berkata kepada puteranya, “Takutlah kamu kepada Allah dan janganlah kamu takut kepada selain Dia. Janganlah kamu berharap kepada siapa pun selain kepada Dia saja, dan mintalah segala keperluanmu kepada-Nya.
Janganlah kamu bergantung kepada siapa pun selain kepada Dia saja dan tumpukanlah kepercayaanmu kepada-Nya saja. Bertauhidlah kepada-Nya. Semua orang setuju tentang hal ini”.
Lalu katanya lagi, “Apabila hati itu telah benar-benar bersatu dengan Allah, maka tidak ada lagi yang dirasakan tinggal di dalamnya kecuali Allah dan tidak ada yang datang kepadanya dari diri manusia”. Sambungnya lagi, “Aku ini ibarat isi tanpa kulit”.
Selanjutnya ia berkata, “Orang lain datang berkunjung kepadaku. Berilah mereka ruang untuk duduk dan hormatilah mereka. Di sini ada manfaat yang besar. Janganlah kamu sesakkan tempat mereka itu”.
Terdengar juga ia berkata, “Selamatlah dan sejahteralah kamu berada di dalam rahmat dan kasih sayang-Nya. Semoga Allah melindungi aku dan kamu serta melimpahkan rahmat-Nya kepada aku dan kamu. Aku memulai sesuatu dengan nama Allah dengan tiada henti-hentinya”.
Sehari semalam, ia terus berkata, “Celakalah kamu! Aku tidak takut kepada siapa pun, sekali pun kepada malaikat maut. Wahai malaikat maut, bukanlah kamu yang aku takuti, melainkan Dia Yang menolongku dan Yang memberi kurnia kepadaku”.
Kemudian, iapun diam. Ini terjadi pada malam hari kembalinya Syeikh ke rahmatullah. Aku diberitahu oleh putera-puteranya, Abdul Razaq dan Musa bahawa syeikh telah mengangkatkan tangannya lalu meluruskannya dan terdengar perkataannya, “Selamatlah dan sejahteralah kamu berada di dalam rahmat Allah.
Bertaubatlah dan masuklah ke dalam barisan-Nya. Tidak lama lagi aku akan datang kepada-Mu”. Syeikh berkata, “Tunggu!”. Kemudian, ia pun kembali ke rahmatullah.
No comments:
Post a Comment