Tuesday, 13 June 2017

Hamba Allah Yang Arif


Hamba Allah Yang Arif
Hamba Allah yang arif itu tidak dikatakan memperolehi makrifat selagi ia tidak mengenal Allah dari segala sudut dan arah ke mana sahaja ia menghadap. Maka makrifatnya hanya kepada satu arah tujuan sahaja iaitu ke arah Yang Haqiqi itu sendiri.
Hamba Allah yang arif tiada lagi di dalam batiniahnya perasaan ‘akunya’ lagi serta perasaan memiliki sesuatu sebagai haknya atau miliknya. Jika ia masih mengatakan pengakuan ‘aku ini hamba, Engkau itulah Tuhan’, belumlah lagi layak memasuki pintu mihrab kaum ariffin. Maka itulah Hamba Allah yang arif diperhiaskan oleh Allah dengan sifat pendiam atau sedikit sangat bicaranya dalam suasana pergaulan seharian, selalu mengelak dari membahasakan dirinya ‘saya’ sesama sesiapa saja yang sedang berbicara dengannya, apa yang terzahir dari lisannya bukan lagi dari nafsunya kecuali Haq Allah yang berkata-kata melalui lidahnya.
Lantaran itulah para sufi mengatakan hamba Allah yang arif itu tidak lagi mempunyai jiwa perasaan kerana seluruh batiniahnya telah berada di Alam Lahut dan terlepas dari alam kemakhlukan. Diri hamba Allah yang arif itu telah diliputi seluruhnya oleh Nur Allah yang dinamakan juga sebagai Nur Muhammad dan menjadi wadah bagi Allah untuk menzahirkan Sifat dan Af’alNya sebagai KhalifahNya yang bergelar Insan al-Kamil yang bertakhta di alam semesta ini.
Hamba Allah yang arif tidak lagi tergantung pada penafian di dalam kalimah syahadat untuk mengistbatkan Allah. Maka itu zikirnya hanya semata-mata itsbat dengan ismu ZAT iaitu “Allah! Allah! Allah” dan meninggalkan apa jua yang selain-Nya atau lebih ke dalam Rahasia ZAT iaitu “Hu! Hu! Hu!” dalam merasakan nafasnya yang turun-naik, sesungguhnya DIAlah yang meniupkan nafas itu kepada hambaNya untuk menunjukkan pada ZAT Wajibal Ujud, menyatakan ada-Nya yang menzahirkan Haq-Nya.
Hamba Allah yang arif itu tidak sekadar terhenti pada ejaan Allah atau sama dengan para penyembah huruf yang mendambakan pujian makhluk kerana suaranya yang merdu menghafal al-Quran, tetapi hamba Allah yang arif itu sentiasa di maqam tauhid Rububiyah, apabila disebutkan nama Allah akan gementarlah seluruh jasmaniah dan ruhaniahnya, akan tersingkap seluruh tabir alam ini lalu menyaksikan Yang Satu itu sebagai hakikat yang banyak, Yang Satu itulah Yang Hidup dan kerana-Nya maka yang lain itu menjadi hidup dan bergerak.
Antara Yang Satu dan Yang Esa itu walaupun tetap dikatakan sebagai ZAT Wajibal Wujud, namun dari sudut konseptual memiliki definisi yang tersendiri kerana Yang Satu itu ada di dalam diri si arif, apabila si arif mengenal dirinya melalui dzauk dan penyingkapan mukasyafah maka penyaksian kepada dirinya itu adalah penyaksian kepada Yang Satu dan kemudian Yang Satu itulah yang sebenar-benarnya Diri yang memandang kepada Diri-Nya Yang Berdiri Dengan Sendiri dan inilah dinamakan Wahdatus Syuhud bagi si arif.
Sedangkan maksud Yang Esa itu adalah DIA tidak menyertai yang lain dengan sama ertikata DIA AHAD (pada Surah Al-Ikhlas), maka yang lain itu adalah DIA juga dalam setiap mazhar penampakan-Nya dalam menunjukkan tiada yang ujud kecuali DIA dan inilah tauhid Uluhiyah – tidak ada namanya kebersamaan atau penyatuan dengan segala sesuatu. “Huwal Hayyu Qayyum” – DIAlah Yang Maha Hidup dan Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri serta Yang Maha Mengurusi setiap keperluan makhluk-Nya.
Hamba Allah yang arif itu sentiasa tidak pernah berpindah atau pergi ke mana-mana, hidupnya itu dalam hidupnya Allah, walaupun jasadnya pernah dinampaki orang, semisalnya sedang berjalan-jalan di pasar atau di tempat yang sebagainya, tetapi ia sebenarnya bukan ia lagi kecuali semata-mata adalah bayangan Allah tanpa disedari oleh mata orang awam.
Inilah maqam kewalian Wujudiyah, sebagaimana ditamsilkan oleh Penyair Sufi Syekh Hamzah Fansuri lewat puisinya bahwa antara ombak dan samudera itu sebenarnya tidak ada perbedaan. Ombak itu adalah samudera itu juga. Apabila ombak telah reda, maka tampaklah luas dataran samudera itu. Perbedaan itu hanya terjadi pada persangkaan kita di dalam akal fikiran ataupun hijabnya ilmu yang tidak mengenalkan kita akan adanya Ujud DIA.

No comments:

Post a Comment