Kebelakangan ini, ramai yang mesej pada inbox saya dan bertanya, mengapa saya begitu jarang sekali membalas komen-komen yang diberikan oleh followers page pada setiap postingan yang saya buat. Terlebih dahulu saya memohon ampun dan maaf buat mereka-mereka yang ikhlas bertanya.
Jawapan saya mudah, saya sudah berasa letih untuk berbahas dan juga bertikam lidah. Jika pada masa mula-mula page ini dibuka dulu memang iya, begitu pantas sekali saya membalas komen mempertahankan setiap penulisan saya, siap dengan hujah dan juga penjelasan yang panjang lebar.
Namun semakin lama, semakin saya sedar, bahawa jika seseorang manusia itu sudah ada sesuatu pegangan atau kepercayaan tertentu, maka buang masa dan tenaga saja jika memberikan penjelasan, kerana mereka pasti akan tetap saja dengan keyakinan dan juga kepercayaan nenek moyang mereka.
Masa saya bukan untuk dihabiskan pada orang-orang yang jahil tetapi mereka berasa pandai, orang-orang yang buta tetapi mereka berasa celik, dan orang-orang yang sombong tetapi mereka berasa tawaduk. Tempat kalian bukan di sini, ampun seribu kali ampun.
Ketahuilah saudaraku sekalian. Versi agama/ islam yang sebahagian besar kita anuti pada hari ini, sudah jauh tersimpang daripada jalan yang dibawa oleh Nabi. Kebanyakan sudah menjadi versi Islam nenek moyang, islam pak arab, islam syok sendiri, islam setengah-setengah, dan banyak lagi.
Sedangkan versi yang dibawa oleh kekasih kita Rasul illah itu, di dalamnya tidak ada yang dinamakan golongan Sunni atau Syiah. Tidak ada yang dinamakan mazhab Syafie, Hanafi, Hanbali, atau Maliki. Tidak ada pecahan Salaf dan Khalaf. Dan tidak ada yang namanya golongan hadis atau quranist.
Dan buat mereka yang berani membuka mata dan juga minda, alhamdulillah, syukur dan tahniah saya ucapkan. Anda berani untuk terus menggali dan mencari kebenaran, terus menongkah arus deras di lautan dalam, dan ketahuilah, anda adalah antara satu di dalam seribu.
No comments:
Post a Comment