Perbezaan Antara Zat, Roh, Jiwa, Nafas, Nyawa, Nadi, Degupan, Hati, Jantung, Perasaan, Nupus, Ampas, Napas, Tanapas Dan Sebagainya.. Di Mana?
Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian. Ramai di antara kita terkeliru dengan sebutan atau panggilan nama-nama tersebut. Sebenarnya kesemua sebutan nama-nama tersebut, pada hakikatnya adalah sama atau satu jua. Berbeza cuma pada loghat sebutan panggilan.
Bilamana kita berpakaian uniform Polis, orang panggil kita Polis. Bilamana kita pakai celoreng askar, orang gelarkan kita tentera. Bilamana pakai baju hospital, orang panggil kita doktor. Sebenarnya yang memakai uniform itu, adalah orang yang sama. Kepada orang yang mengaji jalan tarikat, mereka mendewa- dewakan nama ampas, nupus dan tanapas, sedangkan sebenarnya itu semua, adalah panggil- panggilan pada gelaran nama atau pada istilah sahaja.
Istilah itu, adalah panggilan pada nama, tetapi tidak pada hakikat. Seumpama kita sebut perkataan api, bilamana sebut perkataan api, mana panasnya? Sebut perkataan kaya. Bilamana sebut perkataan kaya, mana wangnya? Sebut perkataan harimau, mana garangnya? Sebut perkataan pisau, mana tajamnya? Bahasa istilah adalah bahasa sebut atau bahasa membilang. Kenyataan pada sebutan itu, tidak ada, tidak wujud dan tidak nyata!
Dalam hal tersebut di atas, perkataan roh, hati, jiwa, qalbu, nyawa, nafas, jantung, nadi dan sebagainya itu, adalah hanya pada bilangan nama, yang berlainan pada lafaz bunyi sebutan, namun pada maksud hakikatnya, ia adalah tetap sama.
Semua nama- nama panggilan tersebut, boleh kita satukan dalam satu nama, iaitu dalam nama roh (zat). Semua nama- nama tersebut, berputik atau berbuah dari sebab kerana adanya roh. Kiranya tidak ada roh, semua pangilan-panggilan nama tersebut tidak terpanggil oleh sebutan bibir.
Jika ada orang yang mengatakan segala panggilan nama tersebut berasingan atau berlainan, cuba minta mereka pergi melawat orang mati. Bilamana jasad mati, apa yang tinggal dan mana yang dikatakan sebutan- sebutan itu pergi? Yang pergi itu roh dan yang tercabut itu roh. Bilamana yang pergi itu roh, kenapa pula yang tidak ada itu denyutan nadi, nafas, gerak jantung, perasaan, ampas, nupus, tanapas dan lain-lain? Kenapa yang dicabut itu roh, yang lain-lain itu juga ikut pergi? Itu bagi menggambarkan kepada kita bahawa segala sebutan nama-nama itu, adalah hanya panggilan kepada nama roh.
Ada orang mengatakan yang Allah itu zat. Sebenarnya ingin saya berpesan kepada semua yang ada membaca artikel di page ini, bahawa Allah itu bukan zat. Allah itu, adalah Allah. Allah itu, tidak ada lain selain Allah. Perkara Zat, Sifat, Afaal dan Asma’ itu adalah perkara yang terlatak pada sifat makhluk. Sifat itu ertinya rupa bentuk kita, afaal itu ertinya perbuatan , asma’ itu ertinya nama-nama kita dan zat itu ertinya roh kita! Zat itu ertinya roh, zat itu bukannya roh Allah. Mana ada roh dan mana ada zat. perkara Zat itu, masih lagi makhluk iaitu roh.
Seumpama zat gula ada pada manisnya. Zat pisau ada pada tajamnya. Zat lidah ada pada rasanya. Itulah yang diertikan zat. Yang mana sifat-sifat makhluk itu, tidak pantas, tidak layak dan tidak santun dibahasakan pada Allah! Allah itu, adalah Allah. Allah tidak ada roh dan Allah tidak ada zat! Faham itu!
Jawapan saya itu, adalah jawapan dari seorang yang bersifat jahil, minta orang alim memperbetulkannya! Jangan tuan-tuan mengambil faham atas jawapan saya. Anggaplah ianya sekadar halwa telinga semata-mata! Rujuk semula kepada orang alim dan minta orang alim jawab melalui laman web rasmi mereka, supaya ramai orang yang mendapat manfaat melaluinya.
No comments:
Post a Comment