Lepat dan janji-janji Aishah Jane
Selepas sekian lama dilupakan beberapa keping gambar agak baru wanita Inggeris yang pernah tinggal di Pulau Pinang Aishah Jane Brummit, memang mengejutkan jika pembaca mengikuti kisahnya sejak akhir 1990-an dulu.
Jane pernah menjadi isteri Lepat - atau nama sebenarnya Ismail Ariffin - dan terlibat dalam pertikaian merebut hak penjagaan anak tunggal mereka, Sunni Sazali.
Ketika perbicaraan berlangsung, Jane menggunakan hujah agama untuk meyakinkan hakim dan bekas suaminya digambarkan sebagai lelaki berpegang kepada "ajaran sesat".
Namun Jane hari ini dilihat tidak lagi mendukung imej Muslimah yang sering dipamerkannya semasa kesnya sedang berlangsung di Mahkamah Syariah Pulau Pinang pada 1997.
Berdasarkan gambar-gambar yang di laman sosial, tersebar gambar-gambar Aishah dalam majlis keraian, termasuk berpakaian seksi.
Ia dilihat berbeza sama sekali dengan penampilannya bertudung ketika menghadiri perbicaraan mahkamah lebih 15 tahun lalu.
Ditanya mengenai isu itu, Lepat jelas kecewa.
“Dengan imej dulu, dia berjanji atas nama Islam, tetapi kemudian menukar nama anak saya kepada Sunni Brummit.
“Saya nak Malaysia faham, jangan tengok zahir saja kenyataan itu.
“Orang boleh tipu Islam macam itu saja,” kata Lepat dalam temubual dengan Malaysiakini.
Diseludup keluar
Sunni dilahirkan di Malaysia, tetapi selepas perkahwinan pasangan itu mulai retak, Jane membawa anaknya pulang ke England.
Selepas lima bulan Jane dan Sunni di England, Lepat berjaya mengambil dan membawa kanak-kanak itu semula ke Malaysia.
Sebulan kemudiannya Jane datang ke Pulau Pinang dan memfailkan kes tuntutan hak penjagaan di Mahkamah Syariah Pulau Pinang.
Mahkamah memutuskan hak penjagaan sementara diberikan kepada Lepat, tetapi dengan syarat beliau perlu membawa Sunni ke perkarangan balai polis Lebuh Pantai di George Town setiap Sabtu agar Jane boleh melawat anaknya.
Bagaimanapun, Lepat tidak dibenarkan berada di perkarangan balai polis berkenaan semasa Jane melawat Sunni.
Ia memang dikhuatiri Lepat kerana Jane pernah melarikan Sunni.
Akhirnya perkara yang amat ditakuti Lepat benar-benar terjadi, dan sekali lagi, Jane melarikan anaknya itu semasa sesi lawatan di perkarangan Balai Polis Lebuh Pantai.
Sunni diseludup keluar Malaysia tanpa pasport dan akhirya tiba di England.
'Biarlah rambut seperti orang gila'
Lepat berkata, selepas kejadian anaknya dilarikan kali kedua pada 1997, hidup dan kesihatannya terjejas kesan daripada gangguan emosi tidak stabil serta trauma.
Malahan, lebih dikesalinya, laporan media mengenai isu itu dianggapnya tidak seimbang dan lebih menjejaskan dirinya.
“Selepas Sunni berjaya dilarikan, saya mengalami tekanan hebat pada ketika itu kerana tiada saluran sosial media yang bebas untuk membela nasib saya," katanya.
Lepat mendakwa, pihak yang melaporkan kes berkenaan "takut menceritakan kebenaran".
Dan dengan mengambil jalan pintas, katanya, mereka menuduhnya mengamalkan ajaran sesat.
“Mereka hanya mewawancara sebelah pihak dan membiarkan kenyataan tidak mengapa anak saya dibawa ke sana kerana bapanya seorang yang teruk.
“Biarlah rambut ini seperti orang gila tidak ada agama, tetapi dalam diri saya ada Islam,” katanya yang terkenal dengan penampilan rambut gaya dreadlock.
Seakan menambah lagi luka di dadanya, semua pihak hanya berdiam diri mengenai kehilangan anaknya. Hal itu membuatkan Lepat berasa amat teraniaya.
“Saya bukan hilang surat beranak tetapi hilang anak dalam hak jagaan pihak berkuasa,” katanya.
No comments:
Post a Comment