KUALA LUMPUR - Menolak ideologi jihad yang dipromosikan gerakan kumpulan militan IS merupakan satu jihad bagi umat Islam di negara ini, demikian menurut seorang ahli akademik.
Pensyarah kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Dr Fadlan Mohd Othman berkata merujuk situasi semasa, kebanyakan ulama di Timur Tengah menyifatkan bahawa kerajaan ISIL atau ISIS (yang dikenali dengan Negara Islam Iraq dan Jajahannya atau Negara Islam Iraq dan Al-Syam) adalah tidak sah dan ditubuhkan
dengan cara yang tidak betul.

"Sudah tentu menolak ideologi dan menahan diri daripada menyertai kumpulan militan IS dianggap sebagai jihad kerana ia termasuk dalam kategori jihad penzalim atau pembidaah," katanya kepada Bernama.

Berdasarkan kepada pengamatannya, kumpulan militan IS adalah pecahan daripada kumpulan Al-Qaeda dan merupakan kumpulan khawarij (golongan yang keluar daripada fatwa ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dan cenderung menghalalkan darah individu yang tidak bersetuju dengan mereka).

Oleh itu tindakan memerangi kumpulan khawarij adalah satu bentuk jihad, kata Fadlan, yang juga Pengerusi Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu).   
Pendapat beliau turut disokong Ketua Pegawai Eksekutif Ilmu Ahmad Fazrin Yahya, yang menyatakan bahawa fatwa kesatuan ulama dan mufti dunia merujuk IS adalah kumpulan khawarij.
"Apa yang kita tolak adalah promosi songsang jihad ala khawarij IS. Mereka bukan mujahidin (pejuang keadilan) tetapi mufsidin (kelompok pemusnah)," katanya.
Menyatakan bahawa jihad adalah antara perkara yang difardhukan di dalam Islam dan tiada siapa boleh menolaknya, beliau menegaskan bahawa adalah haram bagi umat Islam untuk berjihad tanpa kebenaran pemerintah apatah lagi berjuang tanpa apa-apa panji yang jelas.
"Berjihad di bawah panji IS sememangnya tidak menepati syarak dan mati mereka bukan syahid. Syahid hanya anugerah Allah untuk yang berjihad dalam ruang lingkungan syarak," katanya.
Pada 23 Oktokber lepas, Bahagian Pencegahan Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman mendedahkan telah menahan 40 orang, yang disyaki merancang menyertai kumpulan militan termasuk merekrut rakyat tempatan untuk kononnya berjihad di Syria, sejak Februari tahun lepas sehingga kini. - Bernama