Monday, 1 June 2015
Sedekah
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Isnin, 14 Syaaban 1436H
BERSEDEKAHLAH!
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : Dari Adiyie bin Hatim r.a berkata : Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan separuh biji kurma." (HR : Al-Bukhari)
Hadis ini menunjukkan bahawa amalan bersedekah itu walaupun hanya sedikit dengan separuh buah kurma boleh menyelamatkan kita daripada api neraka. Namun perlu dilakukan dengan hati yang ikhlas kerana Allah. Bukan disebabkan sesuatu seperti kerana nama atau asal bersedekah sahaja. Supaya perbuatan bersedekah itu tidak menjadi sia-sia, agama Islam telah mengajar umatnya bahawa ketika bersedekah, maka biarlah menepati erti sedekah yang sebenarnya.
PENCERAHAN :
Barang yang disedekahkan itu antaranya hendaklah baik dan elok. Adalah tidak wajar dan munasabah andainya benda yang disedekahkan itu jika disedekahkan kepada kita, kita sendiri tidak menyukainya dan tidak rela menerimanya. Biarlah yang disedekahkan itu daripada benda-benda yang disenangi si penerima seperti firman Allah SWT :
"Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa terpuji." (QS Al-Baqarah : 267)
Antara adab-adab lain dalam bersedekah ialah:
1) Tangan di atas (memberi) lebih baik daripada tangan di bawah (menerima).
2) Ikhlas dalam bersedekah. Wajib mengikhlaskan sedekah hanya kerana Allah dan demi untuk mendapatkan keredaanNya bukan untuk menunjuk-nunjuk (siap tampal gambar poster si pemberi lagi, besar pulak tu!)
3) Mendahulukan sedekah yang wajib (zakat) Sebagaimana yang disebut dalam hadis qudsi yang bermaksud: "... Dan tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Aku sukai daripada apa-apa yang telah Aku wajibkan atasnya..." (HR : Bukhari)
4) Tidak boleh menunda untuk membayar sedekah (zakat) yang wajib tanpa ada keuzuran.
5) Sedekah yang dikeluarkan hendaklah dipastikan diberi kepada mereka yang benar-benar memerlukan seperti orang miskin, anak-anak yatim, mangsa musibah banjir dan seumpamanya.
6) Bersedekah dengan harta yang halal antara sebab sedekah tersebut diterima olah Allah dan membuahkan pahala.
7) Tidak mengungkit-ungkit sedekahnya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima)....." (QS Al-Baqarah : 264) Contoh ayat sentap, dah beri mesti undi kami kalau tak, jadi haram...
8) Wajib ke atas pemberi sedekah merenung nikmat Allah SWT ke atas dirinya kerana Allah memberikan rezeki yang lebih banyak.
9) Mendahulukan sedekah kepada waris terdekat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sedekah kepada orang miskin (mendapat satu pahala), sedangkan sedekah kepada kaum kerabat mendapat dua pahala iaitu pahala sedekah dan silaturrahim". (HR : Bukhari dan Muslim)
10) Jangan buruk siku. Tidak harus seseorang mengambil kembali sedekah daripada orang yang menerimanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perumpamaan orang yang bersedekah kemudian dia mengambil kembali sedekahnya, seperti anjing yang memuntahkan sesuatu kemudian ia menjilat muntahnya untuk memakannya kembali." (HR : Muslim)
Jika kita tidak beradab di dalam melaksanakan amal ibadah seperti sedekah ini dikhuatiri akan terjerumus dengan dosa riya' pula. Ketahuilah bahawa riya' ini adalah usaha untuk mencari kedudukan di hati orang lain agar dihormati, disegani dan dipuji yang bertujuan untuk menampakkan dirinya kepada orang lain agar diketahui kedermawanannya, kebaikannya dan amalannya.
Betapa ramai manusia binasa dengan nafsu rasa ingin dipuji ini. Mereka lupa bahawa apa yang mereka ada itu adalah kerana izin Allah SWT jua. Jika Allah tidak memberikannya, maka tiada satu pun pada mereka.
So, all practices purely to seek the pleasure of Allah ! Sedekah biar hanya dilihat Allah, itu pastinya lebih baik. Rasanya tak perlulah berselfie ambik gambar bagai, lepas tu upload ke instagram, whatsapp, telegram, facebook dan sebagainya. Kecuali dengan niat nak tunjukkan kepada para penyumbang dana bahawa wang atau barang sumbangan telah disampaikan.
"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan." QS Al Baqarah : 271)
الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرّاً وَعَلاَنِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ
Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita." (QS Al Baqarah: 274)
KESIMPULAN :
Cuma dikhuatiri bila kita sudah dapat apa yang diniatkan ketika bersedekah di dunia, di akhirat nanti kita tak dapat apa-apa lagi. Firman Allah Taala, mafhumnya: “Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.” (QS As-Syura : 20)
Wallahu a'lam - Sedekah bukan untuk bermegah !
Panjang-panjangkan pada sahabat lain walau sepotong ayat walaupun hanya sekilas pandang….
Jazakumullahu khairanjaza’..
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.
Wassalam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment