Monday, 13 November 2017

PEMESONGAN AQIDAH

PROPAGANDA PEMESONGAN AQIDAH UMAT ISLAM NUSANTARA - SIRI 4 : PEMERHATIAN SNOUCK TENTANG ORANG ISLAM DAN MASYARAKAT MEKAH.
Christiaan Snuck Hurgronje tidak sempat untuk melakukan Haji di Mekah setelah dia dihalau orang Gabenor Hijjaz pada waktu itu atas satu tuduhan mencuri ke atasnya.
Namun begitu, Snouck menganggap kajiannya tentang masyarakat Mekah telah selesai kerana keadaan yang sibuk di waktu Haji bukanlah gambaran sebenar masyarakat Islam di Mekah. Pada waktu Haji, pastinya semua orang tertumpu dengan aktiviti ibadah Haji dan juga orang-orang yang terlibat dalam perniagaan menjadi semakin sibuk.
Di luar musim Haji, Snouck menganggap inilah waktu terbaik untuk mengenali keadaan sebenar penduduk Islam di Mekah. Pemerhatiannya yang sangat teliti dan mendalam terhadap masyarakat Mekah adalah dengan tujuan untuk mencari faktor kekuatan umat Islam di sana. Namun sebaliknya, banyak kelemahan-kelemahan masyarakat Islam yang terdedah yang sememangnya sangat menguntungkan misi Snouck dan kerajaan Belanda.
Berdasarkan penulisannya mengenai Mekah dalam karyanya bertajuk ‘Mekka’ yang diterbitkan sekitar 1888 – 1889, Snouck telah menjelaskan secara terperinci mengenai keadaan sosial dan politik masyarakat Mekah sehingga ia menjadi rujukan orang-orang barat dan Eropah.
Karyanya itu terus menjadi rujukan sehingga kini kerana penerangannya memberi gambaran kelemahan yang sangat ketara dalam masyarakat Islam dan Arab di Mekah. Kita boleh lihat sendiri apa yang beliau tulis untuk dibandingkan dengan keadaan di Mekah pada waktu ini.
Snouck dan para orientalis lain telah menjadikan kelemahan ini sebagai satu kaedah untuk mengeksploitasi dan memperkudakan Islam. Maka, pemikir Islam secara sebaliknya boleh menggunakan maklumat ini pula untuk mencegah dan melakukan Islah dalam masyarakat dan negara Islam di mana sahaja mereka berada.
Secara ringkas kami akan kongsikan beberapa pemerhatian dan pendapat Snouck Hurgronje melalui karyanya yang telah diterbitkan semula dan diterjemah dalam Bahasa Inggeris bertajuk “Mekka in the Latter Part of the 19th Century” (1931).
.
1. LEMAHNYA PERPADUAN MASYARAKAT MEKAH
Penduduk Islam di Mekah bergerak mengikut jemaah masing-masing. Mereka tidak meghormati jemaah dari negara yang lain, malah suka mempersendakan satu dengan lain melalui jenaka yang berbentuk ejekan.
Tiada hal yang lebih besar bagi orang Islam melainkan untuk menjadi ‘tetamu Allah’ dan meraih keredhaanya melalui ibadah Haji serta lainnya. Ini menjadikan perpaduan bukanlah satu agenda utama mereka.
Orang-orang Arab dinampakkan sentiasa terlibat dalam pergaduhan antara keluarga dan suku-suku mereka sehingga membawa kepada perbunuhan. Mereka dilihat sentiasa membawa pisau dan pedang ke mana sahaja mereka keluar sebagai perlindung diri, terutamanya orang-orang kelas atasan dan orang Arab tempatan. Mereka juga suka bertengkar hanya atas perkara-perkara kecil.
.
2. PERNIAGAAN
Mekah dinampakkan sebagai tempat untuk berniaga dan mengaut keuntungan semata-mata. Snouck telah menukilkan kata-kata orang arab ketika itu, "hajj mabrur wa zunubi maghfur wa tijaratun lan tabur". maksudnya "haji yang mabrur, dan dosa yang diampunkan dan perniagaan yang menguntungkan".
Mekah menjadi tempat perkumpulan ramai pakar-pakar kerja tangan, tukang kayu, tukang paip dan pelbagai lagi bidang yang meniagakan kepakaran mereka di sana. Ini menjadikan Kota Mekah sebagai pusat pelbagai perkhidmatan dan pekerjaan.
Perkara ini dianggapnya satu yang normal di sebuah kota yang menjadi tumpuan pelawat, dan bukanlah kemajuan itu disebabkan suatu ‘keajaiban’ Kota Mekah sepertimana anggapan sebahagian umat Islam. Peluang perniagaan memang terbuka luas di sini, malah mereka mendapatkan keuntungan yang lebih berbanding di negara mereka sendiri.
.
3. ORANG-ORANG MISKIN DAN PENGEMIS
Bersama rombongan haji atau kumpulan perniagaan ini, turut hadir para pengemis dan peminta sedekah. Mekah menjadi tumpuan juga kepada orang-orang miskin yang berkeliaran dengan pakain yang buruk dan membawa mangkuk kayu untuk meminta simpati jemmah haji dan peniaga-peniaga.
Terdapat dua kelompok pengemis yang diperhatikan, iaitu shahhatin (meminta-minta) dan maddahin (memuji-muji). Pengemis ini biasanya akan menyebut-menyebut nama Allah dan seorang akan menolaknya ke orang lain jika tiada derma mahu diberikan sambil menyebut “Allah Karim”.
Sebahagian orang miskin yang datang tidak mahu pulang ke negara mereka dan memilih untuk bekerja di Mekah. Kerja-kerja yang dilakukan adalah kerja-kerja yang upahnya rendah dan tidak dibuat oleh penduduk tempatan Mekah ataupun hamba-hamba mereka. Kaum pendatang ini diberikan kerja menjaga pintu, menguruskan kasut di masjid, pengangkat barang di rumah kenamaan serta buruh kasar.
.
4. PERKHIDMATAN HUTANG
Snouck memerhatikan bahawa orang India banyak terlibat dalam perkhidmatan hutang dan pemberi pinjaman. Aktiviti ini memberi keuntungan yang amat tinggi.
Snouck tahu bahawa hukum RIBA' adalah sangat berat dalam agama Islam, namun ramai peminjam nampaknya tidak ada masalah untuk melanggar hukum ini. Banyak alasan atau pendapat yang dikeluarkan untuk mereka MENGHALALKANNYA.
Dia pernah mengenali beberapa orang tempatan Mekah yang memberi pinjam kepada orang-orang Jawa yang harus membayar balik dua kali ganda dari apa yang dipinjamnya.
Perkataan ‘riba’ cuba dielakkan dengan menggunakan perkataan lain iaitu ‘murabhah’ yang bermaksud keuntungan. Dengan istilah itu, seorang boleh meminjamkan wang bernilai 20 dollar dan mendapatkan keuntungan 100% dalam masa pinjaman hanya beberapa bulan.
.
5. PENDATANG WANITA DAN PERKAHWINAN KONTRAK
Snouck menceritakan kedatangan wanita-wanita terutamanya dari Mesir dan menawarkan diri untuk dikahwini oleh penduduk tempatan secara tetap atau secara kontrak dalam suatu tempoh yang tertentu.
Ini dinampakkan Snouck sebagai satu kaedah pelacuran yang terselindung. Snouck menampakkan bahawa pelbagai amalan yang bersifat keduniaan ini telah lama bertapak di Mekah.

6. PERHAMBAAN LELAKI DAN WANITA
Hamba-hamba dari Afrika dijual dalam jumlah yang besar melalui seorang broker yang dipanggil ‘dellal’. Penjualan di lakukan di sebuah pasar hamba berdekatan masjid yang dipanggil ‘Bab Dereybah’.
Sebahagian hamba adalah baru dan sebahagian yang lain adalah hamba lama yang tidak lagi diperlukan oleh Tuan mereka.
Hamba perempuan juga turut dijual. Dinampakkan hamba perempuan berkulit hitam diberikan kerja-kerja kasar di rumah dan turut menjadi gundik atau perempuan simpanan. Snouck sendiri telah membeli seorang wanita berkulit hitam untuk berkhidmat di rumahnya.
.
KESIMPULAN
Penerangan di atas merupakan sedikit ringkasan dari penulisan Snouck Hurgronje yang panjang. Banyak lagi maklumat dan penceritaan yang mendalam dalam setiap subtopik di atas yang sememangnya berlaku di Mekah ketika itu. Ini menggambarkan betapa jauhnya umat Islam dari perlaksanaan agama Islam yang sebenar ketika itu lagi.
Kelemahan pemerintah dan Ulama pada waktu itu juga sangat ketara kerana perkara-perkara mungkar berlaku dengan berleluasa. Dalam suatu sudut yang lain, amalan Jahiliyyah masih lagi menebal dalam masyarakat Arab.
Snouck memerhatikan bahawa Ibadah Haji di Mekah dan keadaan masyarakat Islam di sana bukanlah satu ancaman besar kepada rancangan penjajahan Belanda di Nusantara. Ini disebabkan Mekah tidak dilihat sebagai pusat penyebaran maklumat dan pemacu pemikiran Islam yang mampu menggugat penjajahan dan ideologi barat atau Eropah.
Kumpulan-kumpulan Islam dari pelbagai negara dilihat tidak bersatu dan sibuk dengan urusan masing-masing, sama ada untuk beribadah, menuntut ilmu atau berniaga. Konsep-konsep Haji yang sepatutnya menjadi satu senjata untuk menguatkan umat Islam tidak lagi difahami, apatah lagi untuk diamalkan oleh orang Islam.
Namun bagi Snouck, di Mekah masih terdapat segolongan orang-orang yang tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang salah itu. Mereka kebanyakannya orang-orang dari luar terutamanya dari Nusantara termasuk orang Melayu dan Jawa. Kumpulan ini dilihat datang semata-mata untuk menuntut ilmu, mendekatkan diri dengan Allah, menghapuskan dosa,membersihkan harta atau menghabiskan umur di tanah suci.
Mereka menganggap kejahatan yang berlaku adalah disebabkan amalan Jahiliyyah orang tempatan Arab sendiri yang sangat menebal dan banyak budaya-budaya yang merosakkan datang dari luar. Apabila sistem Islam menjadi lemah dan goyah, agama telah dipergunakan untuk keuntungan dunia. Kefahaman agama terus hilang lalu sistem hidup Jahiliyyah telah bertapak semula.
Berapa banyakkah perbezaan Mekah di zaman Snouck Hurgronje berbanding sekarang ini? Adakah semakin baik atau sebaliknya? Perkara ini perlu dikaji dengan teliti, perlu diselidik dengan lebih kritis dan mendalam lagi sekiranya Islam mahu dibangkitkan kembali.
Nantikan artikel seterusnya yang akan mengupas propaganda Snouck dan rakan sekutunya dalam misi menjatuhkan Islam di Nusantara.
.
Semoga bermanfaat,
Jabatan Siyasah Sejarah
AKADEMI INSAN PRIHATIN

No comments:

Post a Comment