Tuesday, 30 May 2017

“TUHAN TUAN

“TUHAN TUAN-TUAN SEMUA BERADA
DI BAWAH TAPAK KAKI SAYA”
Ada sebuah kisah yang berlaku kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani. Dia didatangi oleh pemuka-pemuka kota Baghdad untuk diajak bersama dalam satu majlis ibadah malam secara beramai-ramai. Dia menolak tetapi pemuka-pemuka tersebut berkeras juga mengajak beliau hadir. Untuk dapat berkat, kata mereka. Akhirnya, dengan hati yang berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju untuk hadir.
Pada malam berkenaan, di satu tempat yang terbuka, beratus-ratus orang hadir dengan melakukan ibadah masing-masing. Ada yang solat, ada yang wirid, ada yang membaca Quran, ada yang bermuzakarah, ada yang bertafakur dan sebagainya. Syeikh Abdul Qadir duduk di satu sudut dan hanya memerhatikan gelagat orang-orang yang beribadah itu.
Di pertengahan malam, pihak penganjur menjemput Syeikh Abdul Qadir untuk memberi tazkirah. Dia cuba untuk mengelak tetapi didesak berkali-kali oleh pihak penganjur. Untuk dapat berkat, kata mereka lagi. Akhirnya dengan hati yang sungguh berat, Syeikh Abdul Qadir bersetuju.
Tazkirah Syeikh Abdul Qadir ringkas dan pendek saja. Dia berkata “Tuan-tuan dan para hadirin sekalian. Tuhan tuan-tuan semua berada di bawah tapak kaki saya.” Dengan itu, semua orang terkejut dan riuh rendah. Para hadirin terasa terhina dan tidak puas hati. Bagaimana mungkin seorang Syeikh yang dihormati ramai dan terkenal dengan ilmu dan kewarakannya boleh berkata begitu terhadap Tuhan mereka. Ini sudah menghina Tuhan. Mereka tidak sanggup Tuhan mereka dihina sampai begitu rupa.
Mereka sepakat hendak melaporkan perkara itu kepada pemerintah. Apabila pemerintah dapat tahu, diarahnya kadhi untuk menyiasat dan mengadili Syeikh Abdul Qadir dan jika didapati bersalah, hendaklah dihukum pancung.
Pada hari pengadilan yang dibuat di khalayak ramai, Syeikh Abdul Qadir dibawa untuk menjawab tuduhan. Kadhi bertanya, “Benarkah Tuan Syeikh berkata di khalayak ramai bahawa Tuhan mereka ada di bawah tapak kaki Tuan Syeikh?” Dengan tenang Syeikh Abdul Qadir menjawab, “Benar, saya berkata begitu.”
Kadhi bertanya lagi, “Apakah sebab Tuan Syeikh berkata begitu?” Jawab Syeikh Abdul Qadir, “Kalau tuan kadhi mahu tahu, silakan lihat tapak kaki saya.” Maka kadhi pun mengarahkan pegawainya mengangkat kaki Syeikh Abdul Qadir untuk dilihat tapak kakinya. Ternyata ada duit satu dinar yang melekat di tapak kakinya. Kadhi tahu Syeikh Abdul Qadir seorang yang kasyaf.
Fahamlah kadhi bahawa Syeikh Abdul Qadir mahu mengajarkan bahawa semua orang yang beribadah pada malam yang berkenaan itu sebenarnya tidak beribadah kerana Tuhan. Tuhan tidak ada dalam ibadah mereka. Hakikatnya, mereka tetap bertuhankan dunia yang duit satu dinar itu menjadi lambang dan simbolnya.

No comments:

Post a Comment