Sunday, 26 May 2019

PENGAJARAN DARI SEGELAS AIR

PENGAJARAN DARI SEGELAS AIR
Jika anda hendak meminta segelas air daripada orang, maka janganlah dibawa akan gelasmu yang telah berisi penuh. Masakan boleh diisi lagi dengan minuman baru yang penuh segar dan lazat, andai airmu yang telah basi masih lagi terisi di dalam gelas. Oleh itu, apa yang perlu anda lakukan, adalah dengan mengosongkan gelasmu itu terlebih dahulu.
Begitulah juga di dalam proses menuntut ilmu. Kosongkan mindamu itu terlebih dahulu daripada segala sampah sarap dan juga kekotoran yang pernah engkau kutip dan simpan secara membabi buta tanpa berfikir dengan menggunakan akal yang telah dikurniakan Tuhan. Tinggalkan segala yang engkau pernah pelajari sebelum ini, maka barulah ilmu yang baru senang untuk difahami.
Inilah antara salah satu daripada pesan guruku yang masih lagi aku ingat dan pegang sehingga ke hari ini. Saat pertama kali aku menghadap beliau, aku begitu angkuh dan bongkak, kerana aku merasakan bahawa ilmu pengetahuan yang telah aku pelajari selama ini sudah cukup banyak dan lengkap. Setelah mendengar segala penjelasan beliau, barulah aku sedar, bahawa ilmu pengetahuan yang aku junjung dan sembah selama ini, hanyalah sekadar di bawah tapak selipar beliau.
Berkat tunjuk ajar dan bimbingan dari guruku itu, mulalah aku menanggalkan satu persatu pakaian ilmu. Telah aku campakkan jauh-jauh segala ilmu pengetahuan yang telah aku kutip di sepanjang perjalanan mencari Tuhan. Pada saat itu, barulah aku mulai faham. Faham dengan sebenar-benar faham. Faham yang bukan sekadar daripada akal yang dangkal, tetapi datangnya dari benak jiwa terdalam.

No comments:

Post a Comment