Thursday, 23 May 2019

fb


Salam ust, apa pandangan ustaz mengenai artikel ini? Jzkk
https://www.facebook.com/1267451635/posts/10218939363136216?s=698269615&sfns=mo
Jefri Irwan Harris
Imam Mahdi Yang Mati Di Mekah Tahun 1979
Selasa
1 Muharram 1400 Hijrah
20 November 1979
Selepas selesai solat subuh sekitar 50,000 org ahli jemaah dikejutkan beberapa das tembakan. Alat pembesar suara untuk imam dirampas oleh Juhaiman, sang komandon berumur 43 tahun yang bakal terakam dalam sejarah. Pengalaman berkhidmat selama 18 tahun dengan Saudi National Guard digunakan sebaiknya dalam mengetuai pemberontakan ini.
Juhaiman mengumumkan penguasaan kumpulannya ke atas Mekah, Madinah dan Jeddah. Ahli jemaah juga disuruh berbaiah kepada Imam Mahdi, Muhammad bin Abdullah Al-Qahtani.
Pengunjung Majidil Haram menjadi panik dan cuba keluar melalui 51 pintu Masjid, tetapi hampa melihat semua pintu dikawal ahli kumpulan Juhaiman yang lengkap bersenjata.
Senjata di dalam masjid?
Keranda-keranda jenazah biasanya dibawa masuk ke dalam masjid sebelum waktu solat supaya boleh disolatkan oleh semua ahli jemaah. Cuma hari ini, tiada jenazah dalam kebanyakkan keranda sebaliknya penuh dengan senapang dan pistol.
Bersenjatan kayu dua orang anggota keselamatan cuba melawan tetapi mati ditembak puak militan yang berjumlah sekitar 500 orang.
Nama kumpulan militan ini IKHWAN sempena nama satu kumpulan yang dibubarkan tahun 1929
.............................................................
Latar belakang...
Sekitar 1700 masihi
Muncul Muhammad bin Abdul Wahhab yang keras menentang syirik dan bid’ah di kawasan Najd. Usaha beliau dipersetujui oleh seorang ketua kabilah Muhammad bin Saud. Gerakan ini mendapat sambutan dari golongan badwi. Bersama-sama mereka memperluaskan kuasa keluarga Saud sehingga terbinanya EMIRATE OF DIR’IYYAH, juga dikenali sebagai The First Saudi State 1744 (1744-1818).
Sesiapa yang tidak sehaluan, dianggap sesat atau kafir. Sehinggakan Sultan Mahmud 2, Khalifah Uthmaniah yang berakidah Maturidi dianggap kafir oleh kumpulan ini. Kumpulan ini diberi gelaran WAHHABI.
1802 Masihi
Tanpa rasa hormat kepada kerajaan Uthmaniah kumpulan ini menyerang tempat tumpuan kaum Syiah iaitu Karbala di Iraq. Inilah tempat Hussain, cucu Rasulullah, dan beberapa ahli keluarganya terbunuh. Kumpulan Wahhabi meratakan maqam-maqam dan membunuh seramai 4000. Semuanya atas dasar membanteras kesesatan dan kekufuran.
1803 Masihi
Mekah pula diserang. Kemudiannya Madinah. Alasannya, sudah banyak khurafat dan bid’ah berlaku di sini. Musik dan rokok di antara perkara yang menjadi sasaran.
1813 Masihi
Kerajaan Uthmaniah menghantar tentera untuk membendung tindakan ganas kumpulan ini. Hanya selepas lima tahun, Raja kerajaan Saudi Pertama ditangkap dan dibawa ke Istanbul, Turki.
Di Istanbul, Abdullah bin Saud bin Abdul Aziz bin Muhammad bin SAUD dipaksa mendengar musik sebelum dipancung dan mayatnya dicampak ke dalam Selat Bosporus. Rakyat berpesta di hadapan Hagia Sofea atas kejayaan ini.
Kerajaan Saudi Kedua
(The Second Saudi State) 1824-1891
Juga dikenali sebagai EMIRATE OF NAJD. Saki baki keluarga SAUD berjaya merampas RIYADH dari kerajaan Uthmaniah. Setelah beberapa tahun Riyadh dirampas kembali dan ahli keluarga Saud terpaksa lari ke beberapa daerah lain termasuk ke Kuwait.
Kerajaan Saudi Ketiga
(The Third Saudi State) 1902-sekarang.
Puas berada dalam buangan di Kuwait, Abdul Aziz bin Abdul Rahman bin Faisal bin Turki bin Abdullah bin Muhammad bin SAUD, bersama beberapa puluh pengikutnya menyerang Riyadh dan berjaga menawannya.
IKHWAN
Masih ingat dengan pakatan Muhammad bin Saud dan Muhammad bin Abdul Wahhab? Pakatan ini di’hidup’kan semula oleh Abdul Aziz. Kaum Badwi yang terkenal dengan sifat lurus, kasar dan kurang kompromi direkrut ke dalam pasukan Abdul Aziz. Mereka yang dulunya hidup secara pindah-randah (nomad) sekarang diberi penempatan yang selesa. Atas nama agama yang bersesuaian ajaran Wahhabi, kaum nomad ini membantu Abdul Aziz dengan penuh semangat.
1922 Masihi, Abdul Aziz berjaya menguasai keseluruhan kawasan Najd
1925 Masihi, Hijaz pula jatuh ke tangannya.
Mekah yang sudah beberapa ratus tahun berada di bawah jagaan keluarga keturunan cucu Rasulullah, HASSAN, juga tewas kali ini.
Setelah mendapat kejayaan demi kejayaan, Abdul Aziz sudah mula berfikir seperti ketua negara, tidak lagi sebagai pemberontak. Atas jasa membantu pihak British menentang kerajaan Uthmaniah, beliau diberikan elaun bulanan sebanyak 5000 Pound.
Tetapi golongan IKHWAN tidak berubah. Hubungan diplomatik seperti ini dianggap kekufuran. Terlalu banyak teknologi kufur dalam negara sekarang. Perjuangan belum selesai. Masih banyak tanah untuk dijajah. Masih ramai kaum Syiah untuk dibunuh. Atas semangat ini mereka mula menyerang beberapa kawasan baru tanpa restu Abdul Aziz. Kawasan-kawasan baru ini di bawah jagaan British. Maka bermulalah perang sesama dua golongan yang saling membantu dahulu.
1929 Masihi
Selepas 2 tahun berjuang menentang pemimpin yang telah mengubah cara hidup mereka, golongan IKHWAN berhadapan dengan tentera Abdul Aziz dalam satu perang yang dipanggil PERANG SABILA. Ahli sejarah berpendapat inilah perang terakhir yang menggunakan cara lama iaitu pedang, panah, unta dan kuda. Kejayaan sudah pasti berpihak kepada Abdul Aziz.
Saki baki ahli Ikhwan diserapkan ke dalam pasukan keselamatan, Saudi National Guard.
Di antara yang berjuang di pihak IKHWAN dalam Perang Sabilla ialah bapa JUHAIMAN, Muhammad bin Saif Al-Utaibi, dan datuknya. Juhaiman membesar dengan kisah-kisah kehebatan Ikhwan dan kekufuran pemikiran dan cara barat. Juhaiman juga mulakan hidupnya sebagai anggota Saudi National Guard.
1932 Masihi
Abdul Aziz mengisytiharkan nama jajahan takluknya, NEGARA ARAB SAUDI. Satu-satunya negara dalam dunia yang menggunakan nama keluarga.
Yang menarik tentang Abdul Aziz ialah beliau akan ada lebih kurang 100 anak. Daripada 45 anak lelakinya, enam sudah menjadi Raja. Yang terkini, Raja Salman ialah anaknya.
Tahun 1938
Syarikat kerjasama Saudi-Amerika menjumpai minyak di tanah Saudi. Serta merta kerajaan ini menjadi sangat kaya dan berpengaruh.
.............................................
1975 Masihi
Raja Faisal bin Abdul Aziz (Raja ke-3 Negara Saudi) mengasaskan syarikat tv pertama Saudi. Segolongan rakyat membantah teknologi kufur ini. Dalam kekecohan rusuhan, seorang kerabat raja iaitu anak saudara Raja Faisal, terbunuh.
Beberapa lama selepas itu semasa menerima kunjungan delegasi Kuwait, abang kepada korban ‘rusuhan TV’ juga hadir untuk memberi penghormatan. Apabila sampai gilirannya mencium dahi Raja, dia mengeluarkan pistol dan melepaskan dua das tembakan di kepala Raja Faisal. Balas dendam disebut sebagai motif pembunuhan. Penulis sejarah ada yang menyebut bahawa Raja Faisal mati kerana TV.
1978 Masihi
Juhaiman bersama 100 orang pengikutnya ditahan polis kerana demonstrasi mengkritik kerajaan. Antara lain kumpulan ini menentang keras kehadiran wanita dalam rancangan TV, pemakaian seluar pendek oleh pemain bola sepak dan gambar raja dalam matawang kertas.
Pernah mengajar Juhaiman, seorang ulama buta yang bakal dilantik sebagai mufti negara, Abdul Aziz bin Baz meminta kerajaan membebaskan mereka semua.
Juhaiman juga menerbitkan risalah yang kandungannya mendesak orang Islam untuk bangkit menentang kerajaan yang tidak Islamik. Juhaiman juga menghidupkan semula semangat Ikhwan yang dikuburkan Abdul Aziz dahulu.
Beberapa ulama senior cuba berbincang dengan Juhaiman berkenaan pemikiran melampaunya, tetapi gagal kerana banyak perkara yang disuarakan oleh Juhaiman juga disetujui oleh mereka.
Beberapa pengikut Juhaiman bermimpi bahawa Imam Mahdi sudah muncul dan rakan seperjuangan dan adik ipar Juhaiman ialah orangnya. Namanya sesuai, Muhammad bin Abdullah. Perkara ini menambah kekuatan perjuangan mereka. Menurut hadits-hadis, Mahdi muncul apabila dunia sudah banyak masalah. Inilah masanya.
4 November 1979
Sementara itu di IRAN, berlaku revolusi bersejarah. Raja diganti sistem pimpinan ulama oleh Khomeini. Sebahagian dari turutan peristiwa revolusi ini ialah tertawannya 52 pegawai kedutaan Amerika apabila bangunan kedutaan diserang dan diambil alih. Situasi tawanan dan cubaan rundingan berlanjutan selamq 444 hari dan direkodkan sebagai yang paling lama dalam sejarah. Bermulalah hubungan tidak mesra di antara Amerika dan Iran.
Kembali ke Masjidil Haram...
Selasa 20 November 1979
Selepas mengetahui adanya kekecohan dalam Masjidil Haram, pihak keselamatan menyangka ia masalah kecil. Di tengah keterbatasan maklumat dan kerahsiaan kerajaan Saudi, tiada siapa tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam masjid. Ini bukan zaman IT dan telefon pintar.
Akhbar Amerika melaporkan kemungkinan situasi masjid didalangi pemberontak dari Iran.
Rabu 21 November 1979
Sebaik sahaja Iran dapat tahu pihaknya dipersalahkan, media massa Iran membalas dengan mengemukakan teori konspirasi Zionis dan Amerika sebagai dalang disebalik situasi Masjidil Haram.
Selepas berjaya merevolusi Iran dibawah kepimpinan ulama, Iran dipandang tinggi oleh negara Muslim yang lain. Teori konspirasi ini dengan mudah ditelan dan diyakini oleh orang Islam.
Bermulalah siri serangan ke atas kedutaan Amerika di beberapa negara. Kedutaan Amerika di Islamabad, Pakistan dibakar. Dua orang pegawai terbunuh. Kemudian tiba giliran kedutaan di Libya, Filipina, Turkey, Bangladesh dan lain-lain.
Di Saudi, 30 Ulama dipanggil bermesyuarat menentukan apakah pihak kerajaan boleh ‘menyerang’ Masjidil Haram? Adakah kumpulan militan yang berkubu di masjid boleh dianggap pemberontak dan halal darahnya?
22 November 1979 (Khamis)
Pihak Saudi masih keluarkan kenyataan bahawa situasi sangat terkawal. Bahawa tidak ada apa apa yang membimbangkan.
23 November (Jumaat)
Komuniti muslim dunia biasanya berpeluang menyaksikan siaran langsung solat Jumaat dari Masjidil Haram, setiap minggu. Tetapi hari ini tiada siaran. Maka yakinlah pihak-pihak yang berkenaan bahawa situasi ini sebenarnya besar.
Setelah berbincang dan berfikir selama 3 hari, 30 ulama Saudi mengeluarkan fatwa bahawa mereka ini pemberontak dan boleh diserang. Kelewatan fatwa ini dikritik.
25 November 1979
Di dalam negara Saudi pada masa itu, ada 350,000 penduduk berfahaman Syiah. Kawasan mereka ialah di Qatif, Safwa dan Sayhat sebelah timur Saudi. Mengambil semangat jihad Juhaiman dan rakan-rakan, bertepatan pula dengan bulan Muharram yang disambut mereka sempena peristiwa Karbala, penduduk Syiah pula mula melaungkan kata-kata jihad menentang kerajaan.
Kerajaan Saudi terpaksa berhadapan dengan dua pemberontakan dalam satu masa.
Sementara di Masjidl Haram, pihak polis dan askar bertungkus lumus berperang dengan sekitar 500 orang militan dari kumpulan Ikhwan.
Imam Mahdi dilaporkan sangat yakin dengan ke’mahdi’annya. Bom tangan yang dicampakkan ke arah mereka, beliau kutip dan campak semula ke arah askar kerajaan. Beberapa kali beliau berjaya. Tetapi akhirnya bom yang dipegang meledak dan mencederakan badannya dengan teruk.
Imam Mahdi Mati
Lemah semangat ahli kumpulan Ikhwan yang tahu akan kematian Mahdi. Tetapi Juhaiman memberi amaran agar ia dirahsiakan. Mereka diberi semangat untuk terus berjihad.
Para tawanan yang terdiri dari pengunjung masjid di hari pertama kejadian, dan beberapa askar kerajaan, dicatu makanan. Satu biji kurma di pagi hari, dan satu untuk malam.
26 November 1979
Askar kerajaan mengalami kekalahan demi kekalahan kerana pihak militan Ikhwan menggunakan bilik-bilik bawah tanah sebagai tempat sembunyi.
Dikatakan bahawa bilik-bilik yang dipanggil Qaboo ini berjumlah sekitar 1000 buah. Biasanya dijadikan seakan-akan asrama untuk pelajar dan pengunjung masjid.
Sehingga masa ini keadaan bawah tanah ini sangat busuk kerana beberapa bilik dijadikan tandas. Tandas sebenar masjid berada di luar, dan tidak selamat untuk mereka. Busuk juga kerana adanya banyak mayat yang sudah mula mengeluarkan bau. Ada tawanan yang sudah mula minum air kencing kerana terperangkap dalam bilik tanpa sumber air.
27 November 1979
Penembak tepat yang ditugaskan di ketujuh-tujuh menara melakukan tugas dengan baik. Sangat ramai askar kerajaan yang terkorban dalam usaha mendekati masjid.
Kereta kebal yang digunakan askar digodam menggunakan permaidani masjid. Kereta kebal juga bermasalah memasuki ruang yang sempit bawah tanah. Molotov cocktail juga digunakan oleh militan.
Amerika membantu dengan membekalkan gas pemedih mata. Apabila digunakan di bawah tanah, pihak militan seolah-olah sudah bersedia. Mereka menutup wajah dengan kain serban yang basah supaya tidak terkesan. Sebaliknya pihak askar kerajaan yang termuntah-muntah walaupun lengkap dengan alat pernafasan. Ini kerana alat-alat ini tidak dicipta untuk mereka yang berjambang.
Pihak Juhaiman membakar tayar kenderaan supaya ruang bawah tanah dipenuhi asap untuk menyukarkan penglihatan pihak askar.
Pihak Perancis menghantar 3 orang komando untuk membantu Saudi. Selepas membuat penilaian mereka meminta bekalan gas dan alatan asap yang lebih sesuai dengan situasi masjid.
Pihak Pakistan juga menghantar askar untuk membantu.
4 Disember 1979
Setelah bertempur selama 2 minggu akhirnya pihak askar kerajaan mula mendapat kemenangan. Setiap bilik diperiksa dan banyak tangkapan dibuat. Seramai 23 orang wanita dan kanak-kanak dijumpai, termasuk isteri Juhaiman.
Juhaiman dijumpai dalam bilik terakhir yang dirempuh, bersama 20 pengikut yang lain. Mukanya penuh jelaga. Jumlah militan yang ditangkap 63 orang.
6 Disember 1979
Keadaan masjid aman walaupun banyak kerosakan. Raja Khalid bin Abdul Aziz melawat masjid, melakukan tawaf dan solat dua rakaat. Semua ini disiarkan dalam TV sebagai usaha memberitahu rakyat Saudi dan dunia bahawa keadaan sudah kembali sediakala.
9 Januari 1980
Kesemua 63 orang dijatuhkan hukuman mati. Kesemuanya dipancung di 8 bandar berbeza dalam Saudi. Juhaiman dipancung di Mekah.
Berakhir satu episod ngeri untuk umat Islam. Masjidil Haram ditawan pemberontak selama 2 minggu. Seramai 1000 orang dilaporkan mati dalam episod ini. Satu gerakan yang hampir menggugat kedudukan kerajaan.
Ada laporan menyebut bahawa pihak istana sangat bersyukur Juhaiman menjadikan Masjid sebagai kubu. Kalaulah serangan dibuat terus ke Riyadh iaitu pusat pemerintahan, barangkali rakyat dan askar tidak akan membantu.
Hasil dari situasi ini kerajaan menjadi terhutang budi dengan institusi ulama, dan mula menambah bantuan kewangan. Makin banyak biasiswa pengajian. Makin banyak buku percuma. Inilah punca gerakan Wahhabi menjadi lebih global.
Juhaiman sudah mati?
Jasadnya sudah mati tetapi semangatnya masih hidup dalam diri beberapa orang ulama dan penuntut ilmu. Penyelesaian kepada masalah dunia ialah pemberontakan.
*Yang menariknya, anak Juhaiman,
Hazal bin Juhaiman ialah seorang berpangkat Kolonel dalam Saudi National Guard hari ini.
**Kesimpulan:
Sifat melampau boleh muncul dalam semua kumpulan. Elakkan ajaran yang mudah memberi label buruk kepada orang lain. Berhati-hati dengan kelas-kelas berbentuk indoktrinasi.
Disediakan oleh Dr Jefri Irwan Harris
#gengsirah
-----------------------------------------
*saya edit perenggan ini kerana ada pembaca yang anggap saya berpandangan Hazal juga ada kefahaman seperti bapanya.
**perenggan terakhir saya edit pada 11 pm 23 Mei 2019. Tiga perenggan dari artikel asal saya padam kerana bersifat terlalu umum sehingga tidak mewakili pandangan sebenar saya tentang kumpulan pelampau ini.
Comments

No comments:

Post a Comment