Thursday, 14 February 2019

BRAHMAN-MU ADALAH AR RAHMAN-KU


BRAHMAN-MU ADALAH AR RAHMAN-KU
________________________________________
Asma ul Husna adalah tuhan yang telah bersifat. Dalam agama Hindu, tuhan yang telah bersifat disebut Saguna Brahman, iaitu Tuhan yang memiliki sifat. Ini terjadi ketika tuhan menyatu dengan makhluk dalam proses penciptaan. Jika tidak bersifat, maka selamanya tuhan tidak akan dapat dikenali. Asma ul Husna tidak ada bezanya dengan dewa-dewi dalam agama Hindu yang diyakini sebagai perwujudan Brahman (Tuhan) yang menggambarkan sifat-sifat tertentu.
________________________________________
Di sebalik Asma ul Husna terdapat Zat illah, yang belum bersifat, yang laisa kamislihi syaiun, yang tidak boleh diserupakan dengan suatu apa pun. Di sebalik Saguna Brahman terdapat Nirguna Brahman, iaitu Tuhan yang tidak memiliki sifat. Zat illah adalah Nirguna Brahman. Zat illah atau Nirguna Brahman adalah ghaib, kosong, atau yang tidak dapat dijelaskan. Oleh kerana ianya tidak dapat dijelaskan, maka Ia tidak dapat disembah.
________________________________________
Agar dapat disembah, maka Zat illah harus turun ke dalam Sifat illah, Nirguna Brahman harus turun ke dalam Saguna Brahman. Pada akhirnya, Asma ul Husna atau Saguna Brahman itu pun harus difanakan, kerana sifat Tuhan itu adalah hijab yang menirai Tuhan, untuk lebur ke dalam Zat illah atau Nirguna Brahman yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Seluruh aksara harus dileburkan ke dalam dakwat. Manunggaling kawula Gusti.
________________________________________
Oleh yang demikian, ajaran ketuhanan dalam agama Hindu dan juga agama Islam pada hakikatnya tidaklah berbeza. Keduanya adalah agama Tauhid jua. Yang membezakan kita hanyalah nama-nama dan juga rupa paras belaka. Maka dari itu, orang yang bijak adalah mereka yang mampu menyeberang merentasi nama-nama dan juga paras rupa, yang mampu melihat inti pati yang sama di sebaliknya.

No comments:

Post a Comment