Monday, 21 January 2019

DUNIA DI BAWAH TAPAK KAKI SANG WALI


DUNIA DI BAWAH TAPAK KAKI SANG WALI
________________________________________
Pada suatu hari, Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Al Jailani diundang untuk memberikan ucapan pertama di dalam suatu Majlis keramaian oleh orang-orang kenamaan yang di dalamnya dipenuhi dengan bacaan Al-kitab dan alunan bacaan serta makanan yang mewah-mewah.
Ketika diminta untuk berucap, beliau telah menolak. Kemudian setelah diminta berulang kali dan selaku tetamu kehormat di dalam majlis tersebut, maka Syeikh Muhyiddin pun naik ke mimbar untuk memberikan ucapan.
Lalu beliau berkata: "Tuan-tuan yang dirahmati tuhan sekalian, sesungguhnya Tuhan yang kalian semua sembah dan hormati itu, beliau duduk di bawah tapak kaki saya sahaja."
________________________________________
Tiba-tiba sahaja, suasana di seluruh dewan menjadi riuh rendah di atas ucapan tersebut. Lalu perkara itu pun diadukan kepada pemerintah. Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Al Jailani kemudiannya dipanggil untuk dihakimi.
Tanya Sang Hakim: "Wahai tuan Syeikh yang kami muliakan. Benarkah engkau telah mengatakan perkara yang sedemikian?"
Jawab Syeikh Muhyiddin: "Benar, tuan."
Tanya Hakim lagi: "Mengapakah engkau telah mengatakan perkara seperti demikian?"
Lalu jawab Syeikh Muhyiddin: "Jika tuan ingin tahu jawapannya, maka tuan lihatlah sendiri di bawah tapak kaki saya sekarang."
________________________________________
Lalu Sang Hakim pun seraya mengangkat tapak kaki Syeikh Muhyiddin, lalu dilihat di bawahnya ada duit 1 Dinar. Oleh kerana hakim tersebut juga seorang yang kasyaf, maka fahamlah beliau akan apa yang telah dimaksudkan oleh Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jailani. Kemudian, Sang Syeikh pun segera dilepaskan daripada segala tuduhan yang telah ditujukan ke atasnya.

No comments:

Post a Comment