Doktor mahu wujudkan ‘Pulau Kucing’
KOTA KINABALU: Mahu melindungi anak kucing yang tinggal di pulau daripada ancaman haiwan liar mendorong seorang doktor haiwan tampil dengan cadangan mewujudkan sebuah ‘Pulau Kucing’ di negeri ini.
Bagi mencapai hasrat itu, Dr Randolf Paza memuat naik cadangan berkenaan dalam status media sosial Facebook beliau sebelum ia menjadi viral dan dikongsi serta mendapat maklum balas ramai netizen.
Dalam status Facebook Dr Randolf, beliau meminta orang ramai terutama sukarelawan supaya menyokong usahanya untuk menjayakan projek ‘Pulau Kucing’ yang disifatkannya sebagai langkah terbaik melindungi kucing pulau.
Statusnya yang dikongsinya sejak 11 Januari lalu kini mendapat 1,300 perkongsian daripada orang ramai, 2,100 tanda suka dan menerima lebih 680 komen daripada netizen.
Menurut Randolf, beliau mendapat inspirasi untuk menjayakan projek itu selepas mendapat tahu di Jepun ada sebuah pulau dikhaskan untuk kucing yang dilindungi dan dijaga.
“Saya dapat tahu ada sebuah pulau di Jepun dipenuhi dengan kucing. Memandangkan saya selalu buat kerja amal merawat dan mengembiri haiwan seperti kucing terutama di beberapa pulau berhampiran Kota Kinabalu, timbul idea untuk melindungi kucing di kawasan itu.
“Anak kucing di pulau-pulau ini mati kerana kebanyakannya dimakan haiwan liar terutamanya biawak. Jadi saya sering melawat ke pulau ini untuk melindungi kucing yang ada di pulau sama ada dengan merawat atau mengembiri kucing terbabit,” katanya ketika ditemui NSTP, di sini.
Sehubungan itu, bagi merealisasikan projek itu, Randolf berharap semua pihak dapat menyokongnya terutama kerajaan dengan mewartakan sebuah pulau di sekitar Kota Kinabalu untuk dijadikan sebagai `Pulau Kucing’.
“Saya banyak menerima komen positif dan ada juga yang berkata ia mustahil dilakukan, namun ini adalah langkah permulaan dan saya harap kerajaan dapat melihat kepentingannya bagi melindungi haiwan ini selain memberi keuntungan dari segi pelancongan.
“Setakat ini saya bercadang menjadikan Pulau Mamutik untuk dijadikan Pulau Kucing kerana persekitaran yang sesuai untuk menempatkan dan mengumpul kucing di sekitar pulau berkenaan,” katanya.
Randolf yang juga sukarelawan Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) berkata, berdasarkan rekodnya, setakat ini sebanyak 18 kucing ada di Pulau Mamutik, 14 di Pulau Sapi dan 35 di Pulau Manukan. – Berita Harian
No comments:
Post a Comment