APA PANDANGAN KALIAN?
KESESATAN KITAB WARISAN
ILMU TOK KENALI KELANTAN
ILMU TOK KENALI KELANTAN
Ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/Diri) Oleh Mohd. Yusof Cik Wook Yang Disebarkan oleh Hj.Shaari Hj.Mohd. Yusof
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 telah membincangkan Ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/Diri) Oleh Mohd. Yusof Cik Wook Yang Disebarkan oleh Haji Shaari Mohd Yusof. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
1. Setelah meneliti fakta-fakta dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah mendapati bahawa Ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/Diri) yang disebarkan oleh Haji Shaari bin Mohd Yusoff melalui buku “Mengenal Diri Ilmu Peninggalan Tok Kenali Kelantan”, “Mengenal Allah Ilmu Peninggalan Tok Kenali” ceramah-ceramah yang disampaikan, DVD siri ceramah dan Laman Sesawang yang digunakan untuk menyebarkan ajarannya mengandungi perkara-perkara yang mengelirukan dan menyeleweng seperti yang berikut:
i. Bertentangan dengan fakta sejarah
Dakwaan ilmu yang diperolehi adalah peninggalan ilmu Syeikh Daud al-Fatani yang diwarisi oleh dua ulama terkenal, iaitu Tok Kenali dan Tok Selehong adalah satu pembohongan, kerana kedua ulama tersebut tidak sempat berguru dengan Syeikh Daud Al-Fatani yang meninggal tahun 1846, iaitu lebih 22 tahun sebelum kelahiran kedua-dua ulama tersebut.
ii. Membawa fahaman Mujassimah, Jabariyyah dan Muktazilah
Jumhur ulama telah bersepakat bahawa fahaman ini adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah.
iii. Membawa fahaman Liberal dan Pluralisme agama
Fahaman ini juga didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti mana telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25-27 Julai 2006.
iv. Membawa fahaman Wahatul Wujud
Doktrin wahdatul wujud ini adalah menyeleweng dari pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah
v. Mentafsir nas-nas agama seperti al-Quran dan Hadis mengikut logik akal dan tidak merujuk kepada kitab-kitab muktabar.
2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/Diri) yang dibawa oleh Haji Shaari bin Mohd Yusof adalah sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
3. Oleh itu, semua bentuk pengajaran, penerbitan dan pengedaran bahan-bahan ajaran beliau melalui apa jua medium hendaklah dihentikan dan diharamkan serta-merta.
4. Muzakarah juga menggesa semua pihak berkuasa agama negeri-negeri dan JAKIM serta agensi-agensi lain yang berkaitan supaya mengambil tindakan segera menyekat kegiatan dan penyelewengan Ajaran Ilmu Makrifat ini.
Keterangan/Hujah:
1. Ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/Diri) oleh Mohd. Yusof Cik Wook mula dikesan pada akhir 2010 yang disebarkan oleh anaknya Haji Shaari bin Mohd. Yusof. Penyebaran ilmu ini pada mulanya melalui dua buah buku yang menjadi rujukan utama, iaitu Khasyaf Al-Haq Mengenal Allah dan Mengenal Diri Ilmu Peninggalan Tok Kenali Kelantan oleh Mohd. Yusof Cik Wook.
2. Mengikut dakwaan Haji Shaari bin Mohd. Yusof bahawa ayahnya merupakan satu-satunya murid Tok Kenali yang menerima Ilmu Makrifat dari Tok Kenali (1868-1933) dan Tok Selehong (1872-1935) yang dipelajari dari Syeikh Daud al-Fatani (1769-1846). Cara Haji Mohd. Yusof Cik Wook menerima ilmu makrifat ialah semasa mengurut tubuh Tok Kenali. Ketika Tok Kenali hampir-hampir tertidur secara tidak sengaja terkeluar dari bibir Tok Kenali terlafaz (tercerita) barang ilmu yang tinggi-tinggi, ilmu yang sulit-sulit, kalimah batin (ilmu makrifat). Sebelum itu dia mendapat ilmu asas makrifat dari Tok Selehong. Haji Shaari mendakwa Ilmu Makrifat Tok Kenali seterusnya diwarisi olehnya dari ayahnya melalui cara mengalir sendiri ke dalam tubuhnya.
3. Haji Shaari bin Mohd. Yusof tidak pernah mendapat pendidikan agama di mana-mana sekolah agama atau pondok. Beliau memperoleh diploma dalam bidang Pentadbiran dan Undang-Undang UiTM Shah Alam, Selangor dan pernah berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia.
4. Hasil kajian yang dijalankan melalui dua buah buku, siri ceramah yang disampaikan oleh Haji Shaari bin Mohd. Yusof seluruh Malaysia dan kajian lapangan oleh JAKIM, antara fakta dan doktrin yang didapati adalah seperti berikut:
(a) Percanggahan Fakta
(i) Dakwaan yang mengatakan Ilmu Makrifat ini adalah pusaka dari Tok Kenali dan Tok Selehong yang dipelajari dari Syeikh Daud al-Fatani adalah tidak benar, kerana kedua-dua ulama tersebut tidak pernah bertemu dan berguru dengan Syeikh Daud al-Fatani yang meninggal dunia pada tahun 1849, iaitu kira-kira 19 atau 22 tahun sebelum kelahiran dua ulama tersebut.
(ii) Mengikut catatan, karya asal Ilmu Makrifat adalah sekitar tahun 1864. Fakta ini agak mengelirukan kerana ia bukan tinggalan Syeikh Daud al-Fatani yang meninggal dunia pada tahun 1846, atau peninggalan Tok Kenali yang lahir pada tahun 1868 dan Tok Selehong lahir 1871. Ternyata Ilmu Makrifat ini hanya disandarkan kepada tiga ulama tersohor dan mereka tidak ada kena mengena dengan ilmu tersebut.
(iii) Dalam kajian sejarah ulama Nusantara lebih daripada seratus orang murid Tok Kenali dan Tok Selehong, nama Yusof Cik Wook tidak tercatat dan tidak dikenali oleh para pengkaji sejarah ulama Nusantara.
(iv) Tok Kenali tidak pernah mengajar ilmu makrifat seperti didakwa dan tidak pernah mendengar nama Mohd Yusof Cik Wook sebagai murid Tok Kenali dan Tok Selehong sama ada di Kelantan atau di luar Kelantan.
(v) Mohd Yusof Cik Wook tidak pernah menjadi tenaga pengajar di Pondok Kubang Bemban, Pasir Mas Kelantan seperti didakwa Haji Shaari.
(b) Membawa Ajaran Sesat Yang Bercanggah Dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah
(i) Fahaman Mujassimah. Haji Shaari cuba mentajsimkan Allah dengan makhluk. Meletakkan bagi Allah ada sifat-sifat seperti wajah, tangan, mata. Makhluk adalah bayang wajah Allah, wajah Allah merupakan wajah makhluk, sarung Allah, kulit Allah, persalinan dan pakaian Allah. Menurut ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah, Allah tidak menyamai makhluk dalam semua perkara. Firman Allah dalam surah Al-Syura, ayat 11
(ii) Fahaman Wahdatul Wujud. Faham ini telah dijelaskan dengan nyata ilmu makrifat adalah penjernihan diri dalam mengesakan segala sifat menjadi satu, wahdatul sifat, wahdatul asma, wahdatul zat ke dalam Allah yang satu. Sebagai contoh dalam sembahyang untuk mencapai “yang disembah itu adalah yang disembah” dan akhirnya diri sendiri akan berubah menjadi wajah Allah. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali Ke-48 yang bersidang pada 3 April 2000 telah membincangkan mengenai Wahdatul Wujud dan memutuskan bahawa fahaman ini adalah menyalahi akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah dan bertentangan dengan ajaran Islam.
(iii) Fahaman al-Hulul wa al-Ittihad. Fahaman ini dijelaskan secara terang; asal semua perkara adalah satu. Manusia juga berasal dari yang satu, yakni zat Allah sendiri. Dari zat Allah, terjadi nur Muhammad dan kemudian terjadi sekelian makhluk. Manusia itu asal dari Allah, maka hendaklah kembali kepada Allah. Asal manusia itu bukan dari mani, darah, Adam dan Hawa tetapi dari satu, iaitu Allah. Fahaman ini bercanggah dengan fahaman akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah.
(iv) Melihat Allah semasa di dunia. Allah boleh dilihat di dunia oleh manusia sebagaimana manusia itu dilihat oleh Allah. Kejelasannya seperti umpama terang cahaya matahari dan menatap wajah Allah secara terus tanpa hijab. Perkara ini bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah yang sepakat bahawa wajah Allah tidak dapat dilihat semasa di dunia ini.
(v) Perkara yang membatalkan iman (kafir). Orang yang tidak mengenal diri itu adalah lebih kafir daripada orang kafir. Orang yang belum mengenal diri adalah jijik, kotor dan najis. Jika mati maka matinya adalah dalam keadaan kafir.
(vi) Kelebihan Lailatul Qadar. Menurut ilmu makrifat, tidak ada apa-apa kelebihan pada lailatul qadar, ia hanya gambaran perubahan hati dan sifat jahil kepada alim, dari gelap kepada terang, dari hina kepada mulia dan dari hidup tanpa Allah kepada memperoleh ilmu mengenal Allah. Perkara ini bertentang sekali berdasarkan kepada nas al-Quran dan hadis yang menjelaskan kelebihan lailatul qadar.
(vii) Kekeliruan dalam pemahaman Nafi dan Isbat dalam dua kalimah syahadah. Dalam ilmu makrifat لا memberi makna tiada alam, manusia, binatang, tumbuhan dan seluruh makhluk ini. Manakala اله pula terbahagi kepada dua “illa” dan “ha” yang memberi maksud isbat dan kalimah الا merujuk kepada ketiadaan makhluk. Pemahaman dalam ilmu makrifat tentang kalimah tauhid jelas sekali bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah dan kejahilan kaedah bahasa Arab.
(viii) Fahaman Liberal dan Pluralisme Agama. Haji Shaari mengatakan bahawa semua agama adalah sama, iaitu menuju Allah yang satu. Perkataan Allah boleh digunakan oleh agama lain dengan menukarkan dengan nama tuhan agama masing-masing, semuanya menuju Tuhan yang satu. Apa yang penting dalam sembahyang apa jua agama adalah zuk dan khusyuk. Oleh itu apa saja sembahyang adalah baik dan yang penting ada zuk dan khusyuk. Agama Islam dan Buddha tidak ada beza. Orang yang tidak mengenal diri sahaja yang mengatakan bahawa agama-agama itu berbeza. Orang yang mengenal diri menganggap semua agama, aliran, fahaman, dan mazhab menuju kepada yang satu jua. Pada asasnya, Islam dan Buddha adalah sama. Kedua-duanya bertuhankan Tuhan yang satu, Cuma bezanya pada lafaz dan sebutan sahaja.
(ix) Pluralisme dalam akidah dan tarikat. Menurut dakwaan Haji Shaari, Tok Kenali berpesan; bertarikatlah apa saja benar belaka, Tarikat Naqsyabandiah, Tarikat Ahmadiah semuanya menuju Allah. Muktazilah, Qadariah, Jabariah, Syiah, Wahabi, dan lain-lain semuanya sama asalkan menuju Allah. Dakwaan ini jelas bertentangan dengan dasar yang telah disepakati oleh ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah.
Wallahu A’lam.
No comments:
Post a Comment