Monday, 21 August 2017

SIKAP USTAZ SELEBRITI YANG MENYAKITKAN HATI

SHARE: PENUNGGANG AGAMA
SIKAP USTAZ SELEBRITI
YANG MENYAKITKAN HATI
Seorang penganjur menjemput anak-anak RPWP untuk turut serta dalam satu majlis ceramah agama untuk syarikatnya. Penceramah selebriti sudah ditempah dan gambarnya sudah pun diedarkan di semua bahan hebahan.
Timbul isu apabila ustaz yang dijemput ini enggan mengimamkan solat sebelum majlis ceramah bermula apabila diminta. Alasannya kerana tugasan mengimamkan solat itu tidak termasuk dalam pakej harga yang sudah diputuskan sebelumnya. Hati sebak dan amat pilu mendengar kenyataan pahit itu…
Akhirnya seluruh kontrak ceramah itu telah dibatalkannya pada saat akhir. Penganjur terpaksa bergegas mencari ustaz selebriti lain yang sanggup berceramah termasuk mengimamkan solat mereka.
Kami terkesima dengan kisah ini. Apalah bezanya kita jadi imam solat berbanding dengan solat sendiri-sendiri. Padahal jika tidak diminta jadi imam pun, kita memang sudah berada di situ. Kita tetap solat juga walaupun tidak dibayar untuk mengimaminya…
Kesal teramat sangat dengan fenomena ‘ustaz sampul’ yang semakin menjadi-jadi. Kami kenal baik secara peribadi dengan ‘Ustaz selebriti’ ini. Semasa berceramah beliau nampak MACAM baik dan lembut sekali. Tetapi ternyata beliau begitu keras kepala dan sangat 'berkira' dalam urusan dakwahnya.
Sikap masyarakat juga harus diperbetulkan. Mengapalah ustaz-ustaz selebriti ini terlalu diagung-agungkan. Bukankah semua lelaki itu wajib menjadi imam solat terhadap anak dan isteri? Mengapa tidak diminta sahaja sesiapa dari kalangan kita yang mengimami solat ketika berjemaah di kalangan sendiri?
Apapun, kami putuskan untuk memenuhi undangan itu. Kehadiran anak-anak kami aturkan mengikut jumlah yang ditetapkan. Seperti mana biasa, anak-anak hadir berserta alunan selawatnya. Duduk dalam ceramah bersama nota dan pena. Yang jelas dicatat dengan pantas. Yang kabur ditanyakan semula dan fakta yang salah segera angkat tangan untuk menegur dengan sopan.
Sewaktu menjemput, wakil penganjur ini tidak kenal RPWP sama sekali. Beliau hanya diminta mencari pelajar tahfiz atau anak yatim sebagai penyeri. Bicaranya juga agak dingin dan kurang minat. Maklumlah anak-anak RPWP hanya anak yatim dan asnaf biasa. Tiada apa yang boleh di nilai tinggi oleh sesiapa.
Namun begitu, pulangnya anak-anak RPWP selesai majlis itu telah mengubah segala persepsi. Seorang AJK penganjur berbual panjang di tepi kenderaan sebelum kami berangkat pulang. Beliau ingin agar anak-anaknya dididik seperti anak-anak RPWP.
Katanya, anak-anak ini amat luar biasa sekali. Jikalau mereka tahu sebegini kemampuan murobbi dan anak-anak ini, lebih baik mereka sahaja yang mengimami solat dan menyampaikan ceramah dalam majlis tadi.
Disiplin dan tahap kefahaman anak-anak ini terlalu matang di mata mereka. Soalan-soalan yang diajukan amat membuka mata. Padunya alunan selawat mereka juga amat memukau dan menginsafkan katanya.
JIKA TIDAK BOLEH UBAH MANUSIA,
MAKA UBAH SAHAJA DIRI KITA.
Menjelang Ramadhan lalu, ramai juga yang meminta khidmat murobbi atau anak-anak RPWP untuk menjadi imam solat terawih di surau mereka. Ada yang mengadu ustaz yang sudah dilamar sejak awal telah tarik diri. Alasannya kerana ada surau lain yang menawarkan bayaran lebih tinggi.
Kami pernah kongsikan kisah yang agak sedih juga merujuk isu yang sama. Seorang AJK surau datang untuk meminta peruntukan dari RPWP. Alasannya untuk membayar upah ustaz untuk berceramah sepanjang Ramadhan. Kami kata mana mungkin sebuah institusi kebajikan anak yatim seperti RPWP mampu mendanai tuntutan 'poket' ustaz selebriti.
Dalam satu jemputan solat terawih di sebuah surau juga berlaku suatu fenomena. Imam dari timur tengah yang diundang telah ‘memberi peluang’ untuk anak-anak RPWP mengambil tempat menjadi imam. Alhamdulillah semua jemaah puas hati. Ada yang beritahu kemampuan anak ini dalam memimpin solat malam itu di luar jangkaan sekali.
Lebih mengharukan apabila beberapa kumpulan jemaah yang sudah berada di luar untuk pulang selepas solat isya’ telah masuk semula sewaktu anak-anak berselawat selepas solat. Kemudian ramai-ramai masuk semula untuk ikut solat terawih pula apabila mendapati anak RPWP yang mengimaminya. Mungkin mereka sekadar mahu lihat sejauh mana kemampuan anak-anak ini.
Selesai terawih, ramai yang ucap tahniah kepada wakil murobbi dan anak-anak RPWP. Ada yang lari ke rumah dan datang semula untuk menghulurkan sedekah. Alhamdulillah… segala puji bagi ALLAH.
Semuga kisah ini dapat dimengerti. Bukan untuk mencaci atau mahu membangga diri. Ia sekadar seruan ikhlas, khususnya kepada ustaz selebriti agar tidak terlalu ‘berkira soal harga’ dengan ‘perkhidmatan’ kita. Berbuatlah dengan ikhlas dan sekuat tenaga. Biarlah upah itu datang dari keikhlasan hati pendengar mengikut kemampuan mereka. Jangan sekali-kali kita yang ‘tetapkan’ bayarannya.
Kepada jawatankuasa penganjur juga perlu menimbangkan semula segala kriteria. Apalah salahnya jika solat terawih surau kita diimamkan sahaja oleh sesiapa dari kalangan jemaah kita. Tidak perlulah berlumba-lumba membayar imam dari Timur Tengah, atau ustaz selebriti kononnya untuk menambah barokah.
Luahan santai,
WARGA PRIHATIN

No comments:

Post a Comment