Kuliah Dhuha,Jumaat SYEIKH ABDULLAH AL-MAJZUB kg Petai Bubus, Jalan Jeram, Kuala Terengganu
Kitab Syarah Hikam Tok Pulau Manis r.a
24.03.2017
Dicatatkan oleh Ustaz Kassim
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته..
اعوذ بالله من الشيطان الرجيم..
بسم الله الرحمن الرحيم..
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه اجمعين..
سبحانك لاعلملنا الا ما علمتنا إنك انت العليم الحكيم..
لاحول ولا قوة الا بالله العلى العظيم.
رب زدنا علما وارزقنافهما..
Tiada yang terlebih harap dan baik sesuatu amalan yg dapat membaiki hati, diterima Allah dan beroleh manafaatnya melainkan amalan yg ghaib daripada tilikmu dan rasa hina dirimu atau amalan yang ikhlas. Dipandang amalanmu itu tidak ada harga dan tidak sempurna melainkan dgn rahmat dan pertolongan ALLAH. tidak dapat berbuat amal dan membaiki amal melainkan dgn tolong Allah jua. Tiada dipandang dan menilik dan bergantung pada amal. Semuanya adalah daripada anugerah dan kurnia Allah jua.
Kata Ali ibnu Al Husain Rahimahullahu taala...
Tiap-tiap sesuatu daripada amal itu apabila amal itu masih dalam penglihatanmu maka tandanya tiada diterima amalnya kerana tanda diterima amal itu ghaibnya daripada tilikmu dalam amal dan putus daripada pandangan mu akan amal itu...
Ditanya setengah orang Arif apakah alamat dan tanda diterima amal itu?
Maka katanya lupa engkau akan amal itu dan putus pandangan dan tilikmu pada amal itu sekaliannya..
Bermula tanda amal yang soleh diangkat dan diterima Allah itu iaitu tiada tinggal daripadamu sesuatu. Selagi masih ada pandangan pada amal mu maka tiada terangkat dan tiada diterima amal tersebut...
Semakin byk amal semakin menunduk diri seperti padi semakin berisi semakin tunduk kebumi...
Kata Syeikh kita
Maka sayugia bagi hamba itu apabila mengerjakan amal Soleh hendaklah melupakan dan tidak ingat ia mengerjakan amal
Diserahkan segala pekerjaan dan amalannya kepada Allah
Sesungguhnya Allah mengurniakan warid kepadamu daripada segala makrifat Rabbaniyah supaya kau mendekat dan masuk kehadrat Allah..
Warid itu adalah barang yg datang atas hati daripada segala Maarif Rabbaniyah dan segala lathoif rohaniah setelah suci hatinya bagi dapat masuk kehadrat Allah yang Maha Suci..
Tiadalah dapat masuk kehadrat Allah orang yang hatinya keruh dan cemar dengan segala asar dan gambar-gambar makhluk serta berlumuran dengan segala agyar ...
Tiadalah dapat masuk kehadrat Allah yang Maha Suci melainkan dgn suci hati daripada sesuatu selain Allah
Barangsiapa yang tiada warid baginya maka tiadalah zauk, tiada rasa manis dan lazat ibadah dan tiadalah tahkik
Hikmah datangnya warid bagi orang salik dan orang wasil supaya keluar mereka itu daripada segala sifat yg jahat dan keji kepada sifat mulia dan terpuji serta beroleh tahkik pada maqam merdeka
Allah mengurniakan warid bagi membersihkan hati dan mensejahterakan kau daripada agyar dan nafsu syahwat serta bersandar dgn makhluk. Juga bagi membebaskan engkau daripada diperhambakan oleh makhluk
Apabila tertutup semua jalan, semua usaha dan pergantungan maka baru lah balik dan kembali kepada Allah...
Barangsiapa yang zahir hatinya segala cahaya waridah nescaya lepaslah ia daripada diperhamba oleh agyar dan bebaslah daripada ikatan dan kurungan agyar. Jadilah ia orang yg merdeka dan bebas daripada perintah agyar
Barangsiapa yang tiada kembali kepada Allah dgn warid lathoif dan jamal maka akan didatangkan dengan sifat jalal, keras dan agungNya..
Apabila tidak dapat balik kepada Allah dgn nikmat kesenangan dan kelembutan nescaya akan ditimpa dengan bala ujian yg keras bagi memaksa mereka kembali kepada Allah
Jika tidak dgn jalal ALLAH pasti tidak akan dapat keluar daripada kurungan nafsu syahwat
Tidak dapat keluar daripada perhambaan segala athar itu melainkan dgn inayah Al Qhahar supaya selamat dan sejahtera daripada agyar dan merdeka daripada perhambaan makhluk
Bila datang keras jalal ALLAH barulah dapat keluar dan yakin daripada ikatan dan kurungan makhluk
Telah mengurniakan warid kepadamu supaya dikeluarkan engkau daripada penjara wujudmu kepada padang syuhudmu
Bermula penjara wujudmu itu iaitu nafsu syahwat yg jahat ..
Padang syuhudmu itu adalah ghaib dirimu dengan memandang keagungan dan jalal Allah
Tidak bergerak dan diam sesuatu melainkan dgn kehendak dan qudrat Allah SWT
Kata Abu Al Qasim Al Nashrabadi ra.. bermula penjaramu itu nafsumu. Apabila telah keluar engkau daripadanya maka jatuhlah engkau kepada kesenangan selamanya
Kata orang kepada setengah orang Arif ..
Dengan apa lepas hamba itu daripada nafsunya.. maka katanya dengan Tuhannya
Apabila dibukakan kepada segala yg ghaib dan didatangkan atasmu segala warid dan dikeluarkan daripada penjara makhluk maka sanya beroleh bahagia yg sebenar-benarnya
Barangsiapa yang sah baginya segala ehwal yg demikian itu maka bersungguh-sungguhlah berjalan atas kenderaan cahaya kepada hadrat asrar (rahsia)
Bermula nur itu kenderaan segala hati yang membawa kepada hadrat Allah yang Maha Mengetahui segala yang ghaib dan kenderaan segala rahsia kepada kehadrat Allah yang Maha Kuasa dgn kenyataan ilmu ladduni
Qalbu atau hati itu permulaan yang jatuh atas jamal Ilahi pada awal nazor dan sir itu bathin hati yang kesudahan kepada segala hakikat yg datang atasnya. Maka tahkiklah dgn jalal ALLAH
Barangsiapa yang terbit nur dalam hatinya maka beroleh faham. Dan barangsiapa yang terbit sirr dalam hatinya maka beroleh ilmunya Allah
Bermula nur itu tentera hati seperti zulmat itu tentera nafsu
Nur itu iaitu nur makrifat dan hakikat
Tentera nafsu itu zulmat iaitu adat yang jahat dan segala perangai yg rendah
Apabila dikehendaki ALLAH menolong akan hambaNya nescaya akan ditolong akan dia dengan segala tentera Nur dan diputuskan daripada tolong zulmat dan aqyar
Apabila dikehendaki ALLAH menolong akan hambaNya atas segala seteru dan musuh-musuhnya iaitu nafsu dan hawa maka dikurnia hatinya dengan segala tentera anwar iaitu taufiq dan hidayah.. bila datang akan zulmat maka berdirilah baginya nur dan hilanglah zulmat. Dan hasillah ilmu dan tahkik dan ilham iaitu kasaf . maka terbukalah hatinya dan dapat mengenal kebaikan dan kejahatan dan berhadaplah ia kepada Allah
Kata imam Al-Ghazali ra. Adalah bagi manusia dalam mujahadah hawa nafsunya itu dengan beberapa ehwal...
1. Bahawa mengalahkan hawa akan dia ..
2. Bahawa adalah berperang dengan hawa sekali menang sekali kalah..
3. Bahawa menang ia dan memerintahkan hawa dan ia adalah raja yang amat besar dan khas
Medan perang itu adalah hati.. bersilih ganti yg baik dan yg buruk .. maka tiliklah atas hatimu...
Bermula nur itu membuka kan segala hakikat dan segala perkara dan mata hati baginya hukum bagi menyatakan yg baik dan yg buruk
Hati itu baginya berhadap dan membelakang dengan sekira-kira nya dibuka kan baginya oleh mata hati. Jika apabila tiada nur dan tiada mata hati maka berjalan hati itu seperti orang buta..
Apabila berhadap taat atasmu orang yang berhadap kepada Allah dgn Wasitah dikurniakan Allah nur hidayah dan Taufiq maka didapati suka kerana rezeki taat kepada Allah...
ربنا آتنا فى الدنيا حسنة وفى الاآخرة حسنة وقنا عذاب النار...
آمين يا رب العالمين
والله اعلم🌹
No comments:
Post a Comment