Sebab Apa Disunatkan Segera Berbuka?
Sebab apa Allah s.w.t memerintahkan supaya disegerakan berbuka puasa?. Sengaja melambat-lambatkan berbuka itu, dikatakan boleh mengurangkan pahala puasa. Jika ikut pada hukum akal kita yang bodoh ini, apa salahnya jika kita berbuka puasa pada jam 10.00 malam, 12.00 malam atau jam 2.00 pagi?. Tidakkah itu menunjukkan lebih islamik?. Lagi lambat kita berbuka puasa, sepatutnya lagi bertambahlah pahala yang kita dapat!. Sebaliknya lagi lambat kita berbuka, malahan pahala puasa kita lagi berkurangan.
Di tangan para cendiakawan, tulisan adalah ungkapan hati yang tidak boleh disampaikan melalui kata-kata. Kerana itulah makanya, tulisan para cendiakawan itu, menjadi unik lagi mengagumkan, tetapi kadang-kadang ianya sulit untuk difahami. Itulah makanya karya serta tulisan mereka mengundang kekaguman ramai!.
Sunnah menggalakkan supaya cepat berbuka, adalah bagi menggambarkan dan menuntut kita supaya menikmati kurniaan nikmat, rahmat dan barokah Allah s.w.t yang ringan, yang berupa makanan dan minuman. Dengan menikmati nikmat, rahmat dan barokah Allah s.w.t yang kecil, yang ringan dan yang rendah itu, adalah bertujuan bagi mengajak kita supaya menginsafi pula rahmat, nikmat dan barokah Allah s.w.t atau “puasa” yang lebih besar, lebih tinggi, lebih berat dan yang lebih afdal!.
Makanan yang berupa nasi atau roti dan minuman yang berupa air itu, adalah puasa (rahmat, nikmat dan barokah) yang ringan, yang kecil dan yang rendah!. Manakah yang dikatakan puasa yang besar dan berat?.
Ujian puasa yang ringan itu, adalah sandaran, sindiran serta ungkapan bagi tujuan membawa kita supaya memerhatikan puasa yang berat!. Jangan tertidur dan jangan terlena dengan kiasan serta sindiran pada puasa yang menahan lapar dan dahaga!. Masih ada puasa yang lebih besar. Sepertimana kata Baginda Rasulullah s.a.w, “masih ada perang yang lebih besar dari perang Badar, iaitu perang nafsu!”. Puasa menahan lapar dan dahaga itu, adalah puasa yang kecil dan ringan. Manakah yang dikatakan puasa yang besar?.
Sunnah menggalakkan kita supaya cepat-cepat berbuka puasa atau cepat-cepat rasa nikmat Allah s.w.t. Setelah menahan dahaga dan lapar, betapa rahmat dan nikmatnya kurniaan Allah s.w.t ketika menjamu juadah berbuka. Belum lagi jika kita ukur, sekiranya kita tidak ada mata dan tidak dapat melihat. Ditutup mata sekadar 10 minit sahaja, telah kita rasa teramat seksa. Apa kata jika Allah s.w.t tidak bagi nyawa, satu apa pun tidak berguna lagi. Tidak berguna kasih sayang dan tidak berguna lagi harta atau rumah yang besar, jika kita tidak ada nyawa.
Itulah bermakna, bererti dan berharganya nikmat dan rahmat Allah s.w.t, apabila kita menikmatinya dengan penuh keberkatan. Itulah erti puasa Ramadhan iaitu menikmati rahmat Allah s.w.t, dengan keberkatan. Jika kita tidak tahu berterima kasih dan tidak menghargai nikmat Allah s.w.t, itulah tandanya kita tidak berpuasa.
Bulan puasa itu adalah bulan menahan diri dari melakukan kemungkaran. Itulah ertinya segala iblis dan syaitan dikunci dan dirantai oleh Allah s.w.t pada bulan puasa. Ternyata bulan Ramadhan jugalah banyaknya berlaku maksiat dan kemungkaran berleluasa. Tetapi jika kita puasa mengikut pengertian hakikat, barulah benar-benar syaitan itu terkunci dan dirantai dan tidak terlolos lagi.
Contohnya seperti, ada rahmat mata, kita nikmati dengan jalan keberkatan, maka terhindarlah dari maksiat mata. Bila ada nikmat tangan, kita guna rahmat tangan itu dengan jalan keberkatan, maka terhindarlah dari mencuri dan mengkhianati orang. Bila ada kaki, kita guna nikmat dan rahmat kaki, itu mengikut jalan keberkatan Allah s.w.t, terhindarlah diri dari kemungkaran dan sebagainya. Barulah dikatakan syaitan dan iblis itu benar-benar terantai dan benar-benar terkunci dalam lokap Allah s.w.t tanpa terlolos, terlucut dan terlepas dari kandang kurunganNya.
Itulah makanya bulan puasa itu, dikatakan bulan dibuka pintu langit taubat. Bulan diperkenankan keampunan dan bulan seribu keberkatan. Bilamana kita tahu menikmati nikmat Allah s.w.t dengan keberkatan, maka di situlah pintu keampunan Allah s.w.t terbuka membelah langit dengan seribu kemuliaan atas hambaNya. Mulianya Allah s.w.t disisi hambaNya setelah si hamba tahu menilai kebesaran Allah s.w.t atas nikmat yang telah dianugerahkanNya ke atas mereka. Tahu berterima kasih dan tahu menghargai nikmat Allah s.w.t.
Rahmat Allah s.w.t itu akan terasa nikmat apabila kita kembalikan semula kenikmatan nikmat itu kepada Allah s.w.t. Seumpama kita mendapat seteguk air, bukan air yang menjadi nikmat, yang menjadi nikmat itu, adalah kenikmatan Allah s.w.t. Bukan sedapnya menikmati makanan, yang menjadi sedap makanan itu, adalah kenikmatan Allah s.w.t. Bukan air atau nasi yang menghilangkan dahaga atau lapar. Yang menghilangkan dahaga dan lapar itu, adalah kenikmatan nikmat Allah s.w.t. Inilah kaedah hikmat hakikat Ramadhan (nikmat dan rahmat) Allah s.w.t.
Bukan mata yang kita pandang, yang kita lihat itu adalah pandangan Allah s.w.t. Bukan telinga yang menjadi dengar, yang menjadi dengar itu adalah pendengaran Allah s.w.t. Jadi, segala kenikmatan Allah s.w.t itu akan menjadi nikmat apabila ianya dapat dikembalikan semula kepadaNya. Bukan nasi yang mengenyangkan kita, yang mengenyangkan kita itu, adalah rasa nikmat terhadap kenikmatan Allah s.w.t. Jika kita kata nasi yang mengenyangkan kita, bererti kita tidak mengembalikan kesyukuran atau tidak mengembalikan terima kasih atas nikmat Allah s.w.t, dan itu maknanya kita tidak berpuasa.
Bukan air yang menghilangkan dahaga, yang menghilangkan dahaga kita itu, adalah rasa nikmat atas kenikmatan Allah s.w.t. Bukan kita yang bergerak,dan yang menggerakkan kita itu, adalah gerakkan Allah s.w.t. Bukan kita yang bersifat, yang berwajah itu adalah wajah Allah s.w.t. Segala wajah, segala nama, segala gerak afaal itu, adalah bagi Allah s.w.t, bukannya pada kita. Dengan mengembalikan segala-galanya kepada Allah s.w.t, itulah ertinya orang yang tahu bersyukur dan mereka yang tahu mempergunakan nikmat Allah s.w.t dengan sempurna (berkat). Itulah erti puasa, iaitu mengerti dan tahu mengembalikan nikmat kepada kenikmatan Allah s.w.t. Bukan makanan yang mengenyangkan, yang mengenyangkan itu adalah rasa nikmat Allah s.w.t. Jika tidak rasa rahmat (Ramadhan) Allah s.w.t, maka makanlah apapun, mereka tetap tidak akan rasa nikmat. Kembalikan makan kepadaNya, kembalikan nasi kepadaNya dan kembalikan sedap kepadaNya, dengan merasai nikmat atas kenikmatan rahmatNya. Barulah kita rasa puas biarpun makan sedikit, biar wang tinggal seringgit, biar pakaian tidak berganti dan biarpun tinggal di rumah buruk.
Nikmat itu bukan pada nasi, air, gula, garam, wang ringgit atau kekuatan. Ada orang yang hidupnya mewah berkepuk-kepuk wang ringgit, tetapi tidak boleh makan garam atau gula kerana kencing manis dan darah tinggi. Jadi, apa guna wang berjuta?. Apa guna badan besar tetapi menghidap sakit lumpuh. Apa gunanya mempunyai perut besar tetapi hanya dapat di isi dengan air tanpa gula, ikan tanpa garam, teh tanpa susu dan nasi tanpa lauk. Yang mengenyangkan kita itu, adalah nikmat dan rahmat Allah s.w.t, bukannya makanan. Yang mengenyangkan kita itu, bila kita dapat mengembalikan sifat baru kepada yang kadim. Sedapnya air dari rasa, sedapnya makanan dari rasa dan sedapnya tidur dari rasa. Manakala rasa pula dari mana?. Adapun rasa itu adalah dari nikmat dan rahmat Allah s.w.t. Oleh itu, kembalikanlah segala rasa itu kepada nikmat dan rahmat Allah s.w.t. Itulah puasa.
Ramadhan itu seumpama, seribu bulan. Jika kita sekadar menahan lapar dan dahaga, bagaimana untuk merasai kenikmatan seumpama seribu bulan (hampir 90 tahun)?. Jika kita hanya minum seteguk air dengan menikmati rasa nikmat Allah s.w.t, di situ kita akan merasa sungguh bermakna, sungguh bererti dan bernilai yang tidak terhingga. Nampak dan terlihat nikmat Allah s.w.t atas air. Barulah hati kita merasai betapa nikmat Allah s.w.t itu mengatasi segala rasa. Nampak, kasih Allah, sayang Allah, cinta Allah dan dekat serta hampirnya Dia. Timbullah rasa bahawa Allah s.w.t itu lebih berharga dari air. Itulah balasan terima kasih yang tidak terhingga terhadap Allah s.w.t dan Dia juga melihat dengan tidak terhingga atas kita.
Jika kita lihat Allah s.w.t dengan sejengkal, Dia akan lihat kita sedepa. Jika kita berterima kasih kepada Allah s.w.t sedepa, Dia berterima kasih kepada kita sehasta. Kita bersyukur atas nikmat Allah s.w.t sambil berjalan, Allah s.w.t secara berlari menerima nikmatNya dikembalikn kepadaNya. Itulah baru timbul berkeadaan nikmat yang seumpama seribu bulan (hampir seusia 90 tahun).
Jika dihukum dengan kesakitan sekalipun seumpama Bilal bin Rabbah, semasa diseksa dengan besi dan batu panas, tanpa diberi minum, namun yang dirasainya itu adalah bukan seksaan, sebaliknya beliau merasa nikmat Allah s.w.t atas seksaan itu. Merasa nikmat Allah s.w.t atas kepedihan seksaan. Bukan nampak besi atau batu panas, tetapi nampak Allah s.w.t beserta kepanasan, nampak Allah s.w.t dalam keadaan beliau sedang kehausan. Biarpun didera dengan besi yang sangat panas dan menahan dahaga seperti dua atau tiga hari, namun beliau tidak merasa sakit atau dahaga, kerana beliau merasakan seksaan itu sebagai nikmat. Seumpama mendapat nikmat selama seribu bulan (hampir 90 tahun usia). Kenikmatan seumpama seribu bulan itu, menghilangkan kesakitan, lapar dan dahaga.
Apakah ertinya kemenangan, jika tidak disertai dengan suatu perjuangan yang hebat, keras, dalam dan tinggi?. Apakah sudah begitu hebat, tinggi dan mendalam dengan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga yang juga boleh dikerjakan oleh kanak-kanak yang seumur 4 atau 5 tahun?.
Bulan Ramadhan itu adalah bulan kemenangan. Bukan hari menang menahan lapar atau dahaga kerana tahan lapar dan dahaga itu adalah kemenangan yang kecil, ringan dan halus. Kemenangan itu adalah semestinya melalui suatu perjuangan yang begitu hebat, bernilai tinggi dan suatu perjalanan perjuangan yang besar. Apakah sudah dianggap besar dengan menahan lapar dan dahaga, hanya sekadar 13 jam?.
Ramadhan itu kemenangan. Apakah yang hendak dimenangkan pada bulan puasa dan apakah yang dimaksudkan dengan perkataan kemenangan?. Kemenangan Ramadhan itu adalah kemenangan dari segi menikmati nikmat Allah s.w.t. Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t di atas segala kenikmatan nikmat yang telah diberikan kepada kita dan kenikmatan nikmat itu pula hendaklah dikembalikan semula kepadaNya. Dengan sekembalinya segala kenikmatan nikmat kepada Allah s.w.t, itulah yang dikatakan kemenangan dan itulah sebenar-benar puasa Ramadhan.
Kita tidak dikatakan menang, sekiranya masih memakai kenikmatan itu, sebagai milik kita. Segala nikmat Allah s.w.t itu, bukan milik kita dan bukan hak kita untuk menikmati kenikmatan nikmat Allah s.w.t. Bukan makanan yang memberi kita kekenyangan. Yang memberi kenyang itu adalah rasa. Perkara rasa itu adalah nikmat, manakala nikmat itu, adalah milik Allah s.w.t. Jika ianya milik Allah s.w.t, kembalikan segala rasa nikmat kepada tuan yang empunya, itulah Ramadhan dan itulah kenikmatan nikmat Allah s.w.t dan itulah ertinya sebuah kemenangan. Menang itu adalah kerana berupaya dan menang itu adalah di atas kesanggupan mengembalikan hak Allah s.w.t kepadaNya semula.
Kita tidak punya apa-apa, kita tidak memiliki apa-apa dan kita tidak berhak ke atas apa-apa. Apa lagi untuk memiliki dan menguasai nikmat Allah s.w.t!. Apakah nikmat yang kita ada dan apakah Ramadhan yang hendak kita kembalikan?. Nikmat yang kita ada itu, seumpama kekuatan, lalu dengan mengembalikan segala kekuatan itu kepada Allah s.w.t, itulah Ramadhan dan itulah nikmat dan itulah juga kemenangan. Nikmat yang kita ada itu, seumpama penglihatan, pendengaran, percakapan dan sebagainya, lalu apabila kita berjaya mengembalikan semula kenikmatan nikmat itu kepada Allah s.w.t, itulah yang dikatakan hari kemenangan dan hari seribu bulan. Yang dimaksudkan dengan keberkatan serta kerahmatan diumpamakan seperti seribu bulan (sebaya dengan ibadah selama hampir-hampir 90 tahun). Itu barulah yang dikatakan kemenangan dan kejayaan yang boleh dirayakan dan disambut dengan penuh kemeriahan hati!. Itulah hari yang paling menang dan paling berjaya.
Ramadhan juga dikaitkan dengan malam Lailatul qadar. Lailatul qadar itu adalah suatu hari melimpahnya rahmat. Apa tidaknya, dikatakan bahawa perigi yang airnya cetek akan melimpah penuh. Kayu-kayan yang tegak berdiri, sehinggakan boleh tunduk, runduk dan rebah menyembah bumi. Air yang mudik berpatah balik ke hulu dan bermacam-macam lagilah cerita yang diperkhabarkan. Betapa dalam bulan rahmat (Ramadhan) itu berlaku keajaiban yang menggambarkan besar dan tingginya taraf atau tahap bulan Ramadhan iaitu bulan nikmat Allah s.w.t.
Setahu kita yang seusia hampir 60 tahun, yang selama ini berpuasa, berapa keratkah di antara kita, termasuk diri yang membaca ini, yang mendapat nikmat Lailatul qadar?. Lailatul qadar itu, bermaksud hari yang paling diperingati dan suatu hari yang paling tidak boleh dilupakan. Itulah tinggi, bernilai dan besarnya nilai Lailatul qadar bagi sesiapa yang mendapatnya. Juga seumpama malam seribu bulan. Bagaimanakah untuk mendapatkannya?.
Jika diambil kira dengan menahan lapar dan dahaga, apakah mungkin mendapat lailatul qadar yang sebegitu besar?. Dengan memperbanyakkan amal di masjid-masjid sampai ada orang yang sanggup bersengkang mata menahan dari tidur, semata-mata menunggu lailatul qadar. Ada yang menyalakan pelita, kononnya menunggu lailatul qadar, agar dengan memasang pelita itu, mudah-mudahan tidak terlepas pandang. Berapa keratkah yang mendapat lailatul qadar?.
Bagi mereka yang berserah diri, berserah nikmat kepada Allah s.w.t, lailatul qadar itu didapati oleh mereka, biarpun tidak menyalakan lampu pelita dan biarpun tanpa bertegang urat mata. Sekiranya kita tahu untuk mengembalikan kenikmatan rahmat dan nikmat Allah s.w.t kembali kepadaNya, lailatul qadar itu akan didapati dan akan diperolehi sepanjang hari, minggu, bulan, tahun dan sepanjang hayat.
Seumpama Bilal bin Rabbah, kenikmatan nikmat lailatul qadar Allah s.w.t itu, sudah dapat dirasainya, sekalipun di dalam keadaan yang menyeksakan dan sekalipun di dalam bulan yang bukan bulan Ramadhan. Sakit telah dirasainya nikmat, seksa telah dirasainyanya nikmat, panas telah dirasainya nikmat dan mati sekalipun telah dirasakan nikmat. Itulah lailatul qadar, itulah Ramadhan, itulah puasa dan itulah yang dikatakan sebenar-benar kemenangan.
Puasa itu, ertinya tidak lagi berhajat kepada nikmat. Segala kenikmatan nikmat itu, telah dikembalikan semula kepada Allah s.w.t. Bukan berhajat kepada air dan bukan berhajat kepada makanan (nasi). Air dan nasi itu, baginya adalah rahmat dan nikmat Allah s.w.t. Kita bukan makan nasi dan bukan minum air, tetapi kita makan dan minum nikmat dan rahmat Allah s.w.t. Itulah puasa. Puasa itu bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, bukan sahaja beriktikaf di masjid, bukan sahaja berzikir atas sejadah sepanjang malam. Puasa itu adalah Ramadhan, Ramadhan itu nikmat, nikmat itu rahmat, rahmat itu berkat, berkat itulah ikhlas, ikhlas itu berserah diri, berserah diri itu, mengembalikan segala kenikmatan nikmat diri kepada Allah s.w.t. “Aku tidak ada, tidak punya dan tidak memiliki sesuatu selain Alah”. Itulah sebenar-benar pengertian puasa!.
No comments:
Post a Comment