Berpuasa Itu, Setelah Terlihat Anak Bulan!
Apakah maksud anak bulan?
Setelah kita tahu apakah itu ramadan, mari kita kaji selidik pula bagaimana kaitan puasa dengan kelihatan anak bulan? Manakah yang dikatakan sebenar-benar anak bulan? Apakah anak bulan yang menentukan ramadan itu, terletak di atas langit?
Ramadan itu, adalah bemaksud rahmat, nikmat dan barokah, apakah yang dikatakan nikmat, rahmat dan barokah itu, duduknya hanya pada anak bulan yang letaknya diatas langit?. Sekiranya tidak ada anak bulan, apakah tidak ada Ramadan dan apakah tidak ada nikmat, rahmat dan barokah Allah?. Cuba jawab pertanyaan saya, apakah Ramadan (nikmat,, rahmat dan barokah Allah) itu, hanya duduk pada bulan atau hanya duduk diatas langit?.
Manakah maksud dan apakah erti yang dikatakan jika sekiranya terlihat anak bulan, maka wajiblah kita berpuasa. Bilamana terbitnya anak bulan wajib berhari raya dan haram berpuasa!. Cuba tuan-tuan tanya diri sendiri, apakah maksud kelihatan anak bulan dan apakah maksud terbit anak bulan, anak bulan yang mana?. Apakah maksud itu, tertakluk atau terletak pada anak bulan yang diatas langit?. Maksud, makna atau erti anak bulan yang diatas langit itu, adalah hanya sekadar kiasan atau hanya sekadar perumpamaan atau tamsil semata–mata..
Bulan atau anak bulan yang sebenarnya, bukan bermaksud, bererti atau bukannya yang terletak pada bulan bintang yang diatas langit!. Adapun maksud bulan atau anak bulan itu, adalah merujuk kepada diri kita sendiri.. Tubuh, badan, jasad atau diri kita sendiri inilah yang dikatakan anak bulan Ramadan. Anak bulan yang diatas langit, yang menjadi rujukan oleh pehak ahli falak (ilmu feqah) itu, adalah semata-mata kiasan, tamsil, ibarat atau semata-mata “perumpamaan” pada ilmu syariat (feqah atau dalil akli). Atau lebih tepat lagi, bolehlah kita katakan bahawa tamsil (perumpamaan) atau kiasan anak bulan diatas langit itu, adalah berupa dalil untuk dikias dan diletak atas diri kita (perumpamaan itu, untuk diletakkan pada batang tubuh kita), bukannya untuk diletak atas langit atau diletak pada bulan bintang.
Yang hendak dipersoalkan kelak (dialam barzakh), bukan bulan, bukan bintang dan bukan langit!. Saya sedar, yang hujah atau kata-kata saya ini, tidak akan disenangi dan tidak diterima oleh golongan feqah (golongan syariat). Namun saya perjudikan nasib tubuh badan saya, meniti diatas mata pedang, demi menegak kebenaran makrifatullah. Saya tidak gentar dengan mata pedang golongan feqah, kerana sememangnya nasib ulamak-ulamak yang berilmu makrifat itu, penghujungnya akan mati dihujung pedang atau di tali gantung!. Saya sudah lama bersedia…
Berjuang dijalan Allah, apa lagi dalam ilmu makrifat itu, yang ilmunya tidak ramai diketahui umum, sememangnya selalu menerima kritikan, tohmahan, sindiran, tidak kurang dengan tuduhan dan berbagai cacian. Harapan saya agar kebenaran ini, akan diterima akhirnya, tetapi sesudah ketiadaan saya. Sekiranya saya gugur atau kecundang, namun saya amat-amat berharap, perkembangan dan pembangunan ilmu makrifat ini, tidak boleh disekat, dihalang dan tidak boleh berhenti setakat ini. Ayuh anak bangsa ku, mari kita sama-sama perjuangkan ilmu makrifat, warisan ilmu datuk nenek kita dari zaman berzaman. Sebagaimana tidak boleh disekat atau dibendung aliran air sungai, sebegitulah tidak boleh dibendungnya kebangkitan ilmu makrifat dimata dunia, sudah sampai masanya, ilmu makrifat itu dijulang, dijunjung dan diletak pada tapak yang tinggi dan tidak lagi boleh disorok–sorok.
Hari ini, fahamlah kita bahawa, maksud, erti, makna dan perumpamaan anak bulan itu, adalah diri kita. Setelah kita nampak anak bulan (diri kita), hendaklah kita berpuasa. Berpuasa itu, adalah bermaksud “berpantang mengaku adanya diri”. Sesudah kita berpantang, dalam ilmu feqah mengatakan selama sebulan (30 hari), adapun maksud Ramadhan pada fahaman ilmu makrifat itu, bukan 30 hari (satu bulan) tetapi selama-lamanya selagi ada bulan dan bintang dan selagi hayat dikandung badan. Maksud bulan Ramadhan itu, bukan terletak pada bulan atau bukan terletak pada bintangnya tetapi bulan Ramadan itu, adalah terletak pada maksud “rahmat, nikmat dan barokah Allah”. Adapun nikmat, rahmat dan barokah Allah itu, tertakluk kepada sepanjang bulan (12 bulan setahun). Setelah kita melihat maksud Ramadhan, sampailah pula giliran kita, apakah itu maksud terbit atau kelihatannya anak bulan.
Untuk menentukan hari raya, hendaklah kita pastikan yang anak bulan itu, “terbit” terlebih dahulu, setelah terbitnya anak bulan, barulah boleh kita menyambut puasa. Manakala untuk menyambut hari raya, hendaklah kita tentukan yang anak bulan itu “kelihatan” terlebih dahulu. Untuk menentukan puasa, kita dikehendaki melihat anak bulan sehinggga terbit. Manakala untuk menentukan hari raya pula, kita dikehendaki melihat anak bulan sehingga kelihatan. Persoalannya disini, apakah maksud yang tersirat disebalik perkataan “terbit” anak bulan dan apakah maksud perkataan “kelihatan” anak bulan?.
Untuk memahami maksud yang tersirat disebalik puasa dan yang tersirat disebalik hari raya, kita hendaklah terlebih dahulu faham apakah maksud perkataan terbit dan apakah erti perkataan kelihatan, inilah kunci untuk memahami ilmu makrifat!, dalam kaedah, jalan atau cara kita mentafsir apakah maksud sebenar Ramadan!.
Maksud terbit anak bulan itu, adalah merujuk kepada mula terbitnya pengetahuan kita kepada wujudnya diri kita (mula berfikir yang diri kita ini ada). Sesudah kita mula insaf, yang diri kita ini milik Allah, hak Allah dan kepunyaan Allah, itulah yang dikatakan maksud, makna dan erti terbit anak bulan. Iaitu bermaksud terlihat adanya diri, sesudah terlihat adanya diri, maka mulalah timbul (kelihatan) keinsafan didalam diri kita, bahawa yang diri kita itu, sebenarnya bukan hak kita, bukan milik kita dan bukan kepunyaan kita!. Sehubungan dengan itu, timbul, terbit atau terlihatlah keinsafan kedalam hati kita bahawa diri kita ini, wajib kita serahkan kembali diri kita kepada tuannya yang asal. Penyerahan diri kita kepada tuan yang asal (Allah) itulah yang dikatakan “puasa“. Puasa itu, ertinya berpantang mengaku diri.
Berpuasa itu, adalah penyerahan diri atau berpantang mengaku adanya diri, berpantang mengaku adanya aku. Setelah kita mengaku yang diri kita ini tidak ada dan tidak memiliki apa-apa, itulah ertinya puasa. Serah mulut dengan kata-katanya, serah mata dengan penglihatannya, serah telinga dengan pendengarannya, serah tangan dengan kekuatannya, serah kaki dengan berdirinya dan serah alat sulit dengan kemahuan dan kehendaknya., itulah puasa. Puasa bukannya dengan menjaga mulut dari mengumpat, mata supaya lihat Quran, mulut untuk mengaji dan sebagainya. Itu puasa pada fahaman feqah, adapun puasa pada fahaman ilmu makrifat itu, mengembalikan segala sifat kepada Allah.
Adapun bilamana “kelihatan” anak bulan, maka hendaklah kita berhari raya dan haram berpuasa!. Kenapa haram berpuasa pada hari raya!. Sedangkan jika ikut logik akal, apa salahnya jika kita berpuasa pada hari raya, mungkin dengan cara itu, lebih menunjukkan yang bahawasanya kita itu alim dan taat kepada Allah, sehingga orang lain sedang berhari raya bergembira bersuka ria dengan makan minum, namun bagi kita yang ingin menunjukkan taat dan alim kita kepada Allah, apa salahnya jka kita berpuasa pada hari raya, sayangnya kenapa tidak dibolehkan didalam Islam?. Ini pasti ada muslihat disebaliknya!. Persoalannya disini, apakah muslihat itu?.
Muslihat hukumnya haram (tidak boleh) berpuasa pada hari raya itu, adalah kerana sebab “sudah kelihatan” anak bulan. Tetapi semasa “sudah terbitnya” anak bulan, kita diharamkan berpuasa dan diwajibkan berhari raya!. Terbit anak bulan ertinya kita kena berpuasa (haram berhari raya), manakala kelihatannya anak bulan, ertinya kita kena berhari raya (haram berpuasa)!. Apakah muslihatnya?……………………………………
Muslihat disebalik maksud berpuasa (terbit anak bulan) itu, adalah bermaksud kita terlihat adanya diri kita (anak bulan “diri kita”), diri kita itulah maksud terbit anak bulan. Bilamana kelihatan adanya diri (bilamana kelihatan terbit anak bulan), hendaklah kita berpuasa, iaitu dalam erti kata hendaklah kita menyerahkan diri kepada Allah, jangan sampai terlihat lagi adanya diri. Mengikut ilmu falak (kaji bintang), anak bulan atau bintang kecil, semasa mengelilingi bulan, anak bulan semasa itu berkedudukkan bersebelahan bulan (seumpama bulan sabit kecil bersebelahan bulan).
Untuk lebih faham, cuba tuan-tuan ambil piring kecil (anak bulan atau bintang) mengelilingi pinggan besar bulan). Letakkan pinggan besar menutup piring kecil, biar piring kecil itu, berkedudukan dibawah pingggan besar seperti bulan sabit (seumpama bulan sabit dikereta ambulan) atau seperti bulan sabit (seumpama lambang pandu puteri). Piring itu, kelihatan terkeluar sedikit bersebelahan pinggan besar, piring kecil (anak bulan) terletak dibawah pinggan besar. Jika tuan–tuan betul-betul nak belajar erti ramadan sebenar, saya mahu tuan-tuan benar-benar buat apa yang saya sarankan, baru beroleh berkat dan beroleh ilmu faham. Bilamana piring itu sedikit kelihatan,, maka tandanya puasa.
Manakala setelah piring kecil mengelilingi pinggan besar, iaitu setelah terlindung piring kecil oleh pinggan besar, itulah yang dikatakan terbitnya anak bulan, iaitu setelah anak bulan (piring kecil) benar-benar terkeluar atau terselindung disebalik pinggan besar (ibu bulan), setelah bulan benar-benar terbit dengan nyata (tenggelam anak bulan didalam ibu bulan (tenggelam disebalik bulan), maka wajiblah berhari raya dan haram berpuasa.
Ertinya disini, haram lagi kita mengaku yang kita itu kita, diri itu diri dan aku ini aku!. Hendaklah kita berhari raya atau bebaskan diri kita dari mengaku diri itu kita. Hendaklah kita lepaskan diri (anak bulan) dan bebaskan diri (anak bulan) kedalam bulan (ibu bulan). Ibu bulan atau bulan itu, etinya hendaklah kita lepaskan atau hendaklah kita bebaskan diri kita kepada Allah. Iaitu tenggelamkan diri kita dalam ibu bulan iaitu Allah Taala.
Setelah anak bulan (diri) kita sudah binasa, lenyap, tenggelam, karam serta binasa dalam wajah Allah, maka disitu hukumnya haram lagi mengaku adanya aku (tidak lagi kelihatan anak bulan). Setelah tidak lagi kelihatan diri (anak bulan), yang jelas kelihatan semasa itu, adalah hanya Allah (ibu bulan). Setelah kelihatan atau setelah nyata ibu bulan, maka berhari rayalah kita (haram berpuasa)!.
Bilamana kelihatan ibu bulan, kita tidak lagi boleh mengaku yang aku itu bersifat gagah, aku kuat, aku cantik, aku lawa, aku kaya, aku untung, aku besar, aku menang, aku budiman, aku rajin, aku taat, aku alim dan sebagainya. Perkataan aku (anak bulan) itu, hendaklah kita hilangkan, padamkan, tengelamkan dan marilah diketika itu, sama-sama kita biarkan diri kita karam dalam wajah Allah. Biarlah Allah sahaja yang kaya, yang cantik, yang gagah, yang kuat, yang untung, yang taat, yang rajin dan yang alim.
Inilah yang dikatakan tenggelamnya anak bulan (diri) dalam ibu bulan (Allah). Maka itulah yang dikatakan berhari raya dan haram berpuasa. Haram sudah diketika itu, kita mengaku aku, maka berhari rayalah kita. Setelah berhari raya, haram sudah kita mengeluh, kecewa, patah hati, merajuk, mengumpat, mencela, mengeji, mengata orang dan sebagainya. Setelah kita berhari raya, sungguhpun kita rugi dalam perniagaan, sungguhpun dicaci orang, bilamana kereta berlaku kemalangan, hutang tidak dibayar orang, wang ringgit hilang dicuri orang, rumah terbakar, isteri dicerai suami atau suami ditinggal isteri, kita jangan mengeluh, malahan berterima kasih (bersyukur).
Bilamana berhari raya, kita tidak boleh marah apabila kereta kita dilanggar orang, sebab apa kita tidak boleh marah, kita tidak boleh marah itu, adalah sebabnya sebelum orang langgar kereta kita, sesungguhnya Allah sudah terlebih awal dan terlebih dahulu melanggar kereta kita semasa dan diketika dalam Luh Hul mahfuz. Bermaknanya disini, perkara perlanggaran kita itu, adalah sesuatu perkara yang bukan baru, malahan perkara perlanggaran itu, sesungguhnya perkara yang sudah siap tertulis, siap ditetapkan, siap tercatat, termaktub dan sudah siap ditentukan sedari awal oleh Allah Taala sejak diazali lagi (jadi buat apa nak marah). Inilah maksud berhari raya (haram berpuasa) setelah anak bulan diri tenggelam dalam ibu bulan (Allah).
Setelah kita berhari raya (anak bulan tengelam dalam ibu bulan), hati kita akan jadi lebih tenang, tenteram, sejuk, damai, aman, pemurah, pemaaf,, tidak pendendam, sabar dan ikhlas dalam mengerjakan sesuatu atau menerima sesuatu dugaan atau musyibah.
Adapun kebanyakan orang sekarang, berpuasa hanya pada lapar dan dahaga semata-mata (iaitu puasa yang paling ringan dan puasa yang paling kecil). Adapun puasa yang paling besar dan paling berat itu, adalah puasa berserah diri kepada Allah Taala. Tidak kira bulan januari atau disember. Berpuasa sepanjang bulan, sepanjang tahun dan sepanjang hayat…
No comments:
Post a Comment