JENIS-JENIS ORANG ALIM
*****
Ketahuilah anda bahawa bagi orang ' Alim itu terbahagi kepada empat (4) bahagian:
Pertama : 'Alim Berkata-kata , iaitu :
Orang yang mendengar sesuatu hukum di mana-mana sahaja, lalu ia pun mengambilnya dan membawanya ke serata tempat dengan dalil yang berabuk-rabuk.
Maka orang seperti ini tidak ada ilmu sama sekali lantaran dia mengambil ilmu itu hasil daripada apa yang didengar daripada orang lain saja dan membawa kata-kata itu ke sana ke mari.
*****
Kedua : 'Alim Cerita , iaitu :
Orang yang ada pengajian tetapi tidak faham. Apabila kitab-kitab itu dibacanya dan mengikuti sepanjang ceritanya, lalu orang bertanya kepadanya.
Tiba-tiba dia menjadi bengis dan berang dalam keadaan marah sambil berkata: "Kesemuanya itu kami yang lebih tahu, tidak layak untuk kami menjawab soalan kamu itu, bahkan tidak wajib ke atas kamu untuk memahaminya."
Akhir kesudahannya akan menimbulkan perkelahian dan perbalahan lantaran perlakuan sedemikian adalah dusta belaka. Ini kerana guru seperti ini berpelakuan pengelat dan penipu besar sebab dia sendiri tidak tahu menjawab soalan si bertanya itu.
*****
Ketiga : 'Alim Pelita , iaitu :
Orang yang memiliki pelbagai pengetahuan seperti tahu tentang ilmu Nahu, ilmu Saraf, Bayan, Tajwid, Fekah dan lain-lain yang diumpamakan seperti pelita yang mana terangnya itu dapat memberi manfaat kepada kita tetapi mendatangkan mudarat kepada pelita itu sendiri, iaitu sumbunya hangus dan minyaknya kering, bahkan keadaan pelita itu bertambah buruk.
Begitulah keadaanya yang memberi mudarat kepada dirinya sendiri lantaran kesemuanya itu bukanlah 'Alim yang sebenar-benarnya, tetapi kesemuanya itu menjadi perkakas alat senjata untuk mendapatkan ilmu yang sebenar-benarnya, sedang ilmu yang sebenar-benarnya itu sudah pun hanyut.
*****
Keempat : 'Alim Pendita , iaitu :
Orang yang amat mengerti dan memahami tentang perkara ilmu Zahir dan Batin. Bagaimana ia mengajar kepada orang lain, begitulah amalnya sendiri yang dinamakan 'Alimul-I'lan (pemberitahu) , iaitu 'Alim yang sebaik-baiknya.
'Alim Pendita inilah orang yang sudah mendapat petunjuk daripada Allah Taala sendiri. Sebagaimana firman Allah Taala dalam Surah Ibrahim ayat 4
"Allah Taala sendiri yang memberi petunjuk (jalan yang betul) kepada sesiapa saja yang Dia sendiri kehendaki ".
Firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah ayat 282
"Bertaqwalah kamu kepada Allah, Allah mengajar kamu (dengan keterangan ini).
*****
kitab "NAJMUL HUDA"
No comments:
Post a Comment