RAYUAN PEMBUKAAN SEMULA MASJID DAN SURAU SECARA BERPERINGKAT
1) Saya nama yang tertera di bawah merayu kepada Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, Pihak berkuasa agama Islam Persekutuan dan Negeri agar mempertimbangkan dengan segera permohonan melonggarkan sekatan menunaikan solat Jumaat dan solat fardu berjamaah di masjid-masjid di Malaysia secara berperingkat. Saya maklum buat masa ini kebenaran terhad telah diberi kepada 3 orang bagi menunaikan solat fardu berjamaah dan 12 orang bagi solat fardu Jumaat. Perkara tersebut telah berjalan dengan lancar dan tidak menimbulkan masalah besar dari segi kawalan dan pematuhan SOP yang ditetapkan.
2) Solat fardu Jumaat perlu dibenarkan sekurang-kurangnya untuk 40 orang dengan menambahbaik SOP sedia ada. Kebanyakan masjid mempunyai ruang yang luas boleh menampung ratusan atau ribuan Jemaah. Bentuk dan struktur bangunan masjid umumnya lebih baik dari keadaan pusat membeli belah atau pasar. Kerajaan telah membenarkan urusniaga berjalan di pasaraya dan pasar basah. Keadaan orang ramai di dalam pasaraya bergerak kesana kemari, berebut memilih barangan tertentu, sentuhan sesama pelanggan kerap berlaku . Pelanggaran SOP juga sering berlaku, seperti sentuh menyentuh sewaktu di kaunter bayaran, tempat menimbang dan membungkus.
Saya berpandangan kawalan dan pematuhan SOP lebih mudah buat di masjid kerana ia merupakan ruang terbuka dan penjarakan sosial lebih mudah diatur berbanding di pasaraya. Sehingga kini tidak kedengaran peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 kluster pasaraya.
3) Masjid dan pusat ibadat perlu dibuka segera, meskipun secara beransur dan berhemah. JK Kariah, JK masjid dan ahli jamaah perlu dididik dan bertanggungjawab menguruskan keselamatan ahli jamaah. Saya percaya tidak ada sesiapa pun yang mahu dirinya dijangkiti Covid-19. Menggunakan alasan Kluster Masjid Seri Petaling atau Jamaah Tabligh sebagai alasan menghalang masjid dibuka kepada umum untuk tujuan ibadah adalah tidak berasas kerana; peristiwa hitam Masjid Seri Petaling berlaku sebelum PKP dikuatkuasakan, ia berlaku sebelum orang ramai tahu dan menyedari bahaya Covid-19 dan kepentingan penjarakan sosial.
4) Saya sedar bahawa orang awam yang tidak menunaikan solat Jumaat dan solat fardu berjamaah di masjid tidaklah menanggung sebarang dosa kerana alasan darurat dan memelihara nyawa. Namun demikian, darurat perlu diukur mengikut ukuran yang semasa yang sesuai. Kerajaan perlu mengeluarkan rakyat yang cukup syarat dari zon rukhsah (kelonggaran menggantung Jumaat) ke zon yang lebih baik seberapa segera. Andainya pasaraya, pasar basah dan pelbagai aktiviti ekonomi boleh beroperasi maka masjid dan tempat ibadat juga perlu dibenarkan beroperasi dengan syarat penjarakan sosial dilaksanakan.
5) Aidil Fitri telah berlalu. Rentasan negeri, solat Aidil Fitri secara normal, ziarah menziarahi dan sebagainya tidak dibenarkan sama sekali atau amat terbatas. Namun demikian realiti menunjukkan berlaku juga beberapa kes pelanggaran SOP berkenaan, bahkan sering kelihatan penjarakan sosial tidak dipatuhi di pusat-pusat membeli belah, pengangkutan awam dan sebagainya. Kita bersyukur sehingga kini Aidil Fitri tidak menjadi punca penularan semula Covid-19. Penularan ketara kini berpunca dari kes-kes import PATI. Media sosial memaparkan umat Islam di Thailand, Pakistan, Bangladesh dan Amerika telah menunaikan solat Aidil Fitri dan solat Jumaat di tempat terbuka. Beberapa perkara dan aspek tertentu yang baik dari mereka boleh dijadikan panduan bagi memperkemaskan SOP sedia ada.
6) Tidak dapat dipastikan bilakah masanya negara kita dan dunia akan bebas sepenunya dari Covid-19. Mungkin berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Hanya Allah boleh menentukan. Meskipun begitu, menutup masjid, surau dan pengajian agama serta aktiviti berkaitan dan menunggu bebas sepenuhnya dari Covid-19 adalah tidak munasabah. Masjid dan surau perlu dibuka kepada umum seberapa segera walaupun secara New Normal (jaminan penjarakan sosial, pemakaian mask, membawa peralatan sendiri, berwuduk di rumah dan sebagainya). Dalam kerajaan berusaha menjaga kepentingan nyawa menurut maqasid Syariah, ianya hendaklah selaras dengan kewajiban menjaga kepentingan Agama Islam. Adalah dibimbangi langkah mengutamakan kepentingan ekonomi dan nyawa menyebabkan kepentingan Agama tertinggal jauh kebelakang. Insya Allah selama mana kita memelihara hak-hak Allah, selama itulah Allah akan memelihara kita.
“Peliharalah Allah, Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah, kamu akan dapati Allah ada di hadapanmu…” Maksud hadis riwayat Tirmizi.
7) Sebagai rakyat Malaysia dan umat Islam, saya amat bangga dengan keupayaan dan terkehadapannya negara Malaysia dalam usaha menangani penularan Covid-19. Syabas dan terima kasih kepada semua Frontliners yang terlibat. Dalam masa yang sama saya juga merayu kepada MKN, KM, dan pihak berkuasa Agama Islam Persekutuan dan Negeri, agar memberi pertimbangan bagi membuka semula masjid dan pusat ibadah lain kepada orang awam. Semoga kebimbangan, kesusahan dan pengorbanan Frontliners berkaitan penularan semula Covid-19 bagi gelombang kedua tidak berlaku. Juga didoakan agar Allah memberikan ganjaran yang sebaiknya kepada mereka di dunia dan akhirat. “Ya Allah kami hanya mampu berusaha, Engkaulah yang berkuasa menghapus dan mengangkat wabak ini dari kami, negara kami dan dunia seluruhnya.”
Salam hormat dari saya
DATO’ ASAD BIN AWANG
Diharap pembaca memberi komen sokongan dan memanjangkannya hingga sampai kepada pihak yang bertanggungjawab.
Setengah orang cuba menutup mulut masyarakat dari bertanya dan membuat perbandingan dalam masalah Jumaat dengan berhujah kamu bercakap diluar bidang kamu. Untuk membuat perbandingan dan bertanya mengapa bilangan Jumaat tidak boleh dibuka dan ditingkatkan dengan SOP tertentu tidak memerlukan ilmu kedoktoran dan pentadbiran aras tinggi. Maklumat-maklumat covid19 bukan tidak sampai pengetahuan masyarakat bahkan transperent.
Maka akal akan berfikir dan mulut mula bertanya. Memang ada sisi tidak wajar dalam urus tadbir. Maka tidak perlu memperbodohkan orang yang bertanya kalau memang akal kita disempitkan dengan pemikiran satu hala.
Yang bertanya,ada hak untuk bertanya selagi mereka tidak menyeru kepada kekacauan dan keganasan. Supaya pihak yang menjadi wasitoh dan orang tengah diantara rakyat dan ulil amri akan mengambil kira suara-suara yang bersiponggang ini.
Kita akan terus bertanya tanpa ada kata nista. Abaikan sipengecam sepertimana mereka tidak kisah dengan orang lain.
No comments:
Post a Comment