Monday, 26 March 2018

TIDAK MENJADI TUHAN YANG DIPERINTAH UNTUK DINAFIKAN.

PANDANGAN HATI DAN AKAL BERBEDA ANTARA ORANG YANG MENGAMBIL DALIL DENGAN ALLAH S.W.T DENGAN ORANG YANG MENGAMBIL DALIL ATAS-NYA. ORANG YANG MENGAMBIL DALIL DENGAN ALLAH S.W.T ITULAH YANG MENGENAL HAQ DAN MELETAKKANNYA PADA TEMPATNYA DAN MENETAPKAN TERJADINYA SESUATU DARI ASAL MULANYA. MENGAMBIL DALIL ATAS ALLAH S.W.T ADALAH KERANA TIDAK SAMPAI KEPADA- NYA. MAKA BILAKAH ALLAH S.W.T ITU GHAIB SEHINGGA MEMERLUKAN DALIL UNTUK MENYATAKAN- NYA DAN BILAKAN ALLAH S.W.T ITU JAUH SEHINGGA MEMERLUKAN ALAM UNTUK SAMPAI KEPADA-NYA. 
=========================================
Nur Ilahi yang menyinari hati memperlihatkan Allah s.w.t terlebih dahulu sebelum yang selain-Nya kelihatan. Akal pula melihat anasir alam dan kejadian- kejadian yang berlaku terlebih dahulu sebelum sampai kepada Tuhan yang mengatur segala urusan. Orang-orang hati melihat Wujud Allah s.w.t mengwujudkan alam dan apa yang berlaku di dalamnya dan orang-orang akal pula melihat wujud alam menjadi dalil kepada Wujud Allah s.w.t. Orang yang sampai kepada Allah s.w.t melihat bahawa Wujud Allah s.w.t adalah Wujud Hakiki dan Wujud Allah s.w.t menerangi wujud makhluk sehingga makhluk menjadi nyata. Orang yang pada peringkat mencari pula melihat Allah s.w.t itu ghaib dan jauh, dan jalan untuk mengenal Allah s.w.t adalah dengan cara mengenal ciptaan-Nya. Wujud makhluk menjadi bukti kepadanya tentang Wujud Allah s.w.t, kerana makhluk tidak terjadi dengan sendirinya. Perbincangan Hikmat 8 menyentuh golongan mencari dan golongan yang dicari. 
_______________________________________________________
Orang yang mencari menempuh jalan yang sukar-sukar sebelum bertemu dengan yang dicarinya. Contoh terbaik orang yang mencari ialah Salman al-Farisi yang Kisah Salman memberi gambaran betapa sukarnya jalan yang ditempuhi oleh orang yang mencari Allah s.w.t. Di samping mengharungi kehidupan yang sukar mereka juga menuntut ilmu, berguru ke sana ke mari, mencari dalil-dalil dan pembuktian bagi menambahkan pengetahuan tentang Tuhan. Mereka melihat alam dan kejadian di dalam alam sebagai bukti yang menunjukkan Wujud Allah s.w.t, dan mereka mengkaji alam untuk memahami tentang keesaan Allah s.w.t. Setelah mereka sampai kepada Allah s.w.t mereka melepaskan dalil-dalil lalu berpegang kepada makrifat yang diperolehi. 
_______________________________________________________
Golongan yang dicari menempuh jalan yang berbeda. Contoh orang yang dicari ialah Saidina Umar al-Khattab r.a. Pada awal perkembangan Islam di Makkah umat Islam menghadapi tentangan yang hebat dari puak Quraisy. Rasulullah s.a.w telah berdoa agar Islam diperkuatkan dengan salah satu Umar, iaitu Umar bin Hisyam (Abu Jahal) atau Umar al-Khattab. Umar al-Khattab ketika itu sangat keras menentang dan menyeksa golongan Islam, terutamanya yang lemah. Rasa bencinya terhadap agama baharu yang merombak adat dan kepercayaan datuk neneknya itu meluap-luap di hatinya. Apabila rasa kebencian itu memuncak beliau mengambil keputusan mahu membunuh Rasulullah s.a.w. Umar mencabut pedangnya sambil menuju ke tempat di mana Rasulullah s.a.w berada. Di tengah jalan Umar diberitahu bahawa adiknya sendiri telah pun memeluk Islam. Dia memikirkan bahawa lebih baik jika dia menguruskan masalah dalamannya dahulu sebelum membunuh Rasulullah s.a.w. Mendengar berita itu dia pun membelok ke rumah adiknya. Keadaannya seperti singa bengis. 
_______________________________________________________
Ditendangnya pintu rumah adiknya. Pada ketika itu adiknya sedang memegang lembaran yang ditulis dengan ayat al- Quran. Umar memukul adiknya dan merampas lembaran tersebut. Umar adalah seorang cendekiawan yang tahu membaca, dan arif tentang sastera puisi. Sebaik sahaja Umar membaca wahyu Allah s.w.t, tubuhnya menggeletar dan keluarlah ucapan dari mulutnya,” Ini bukan syair yang ditulis oleh penyair yang handal. Ini bukan karya manusia. Tidak ada yang dapat menciptakannya kecuali Tuhan sendiri”. Lalu Umar al-Khattab pergi menghadap Rasulullah s.a.w dan menyatakan keislamannya. Umar al-Khattab membaca ayat al- Quran, Kalam Allah s.w.t dan serta- merta dia melihat kebenarannya. Umar tidak memerlukan kepada alam dan makhluk sekaliannya sebagai dalil dan bukti. Kebenaran itu sendiri menjadi dalil baginya. Kalam Allah s.w.t sendiri yang menyampaikan Umar kepada-Nya. Allah s.w.t yang menerangi hati Umar dengan makrifat-Nya. 
_______________________________________________________
Makrifatullah yang menerangi makrifat alam sehingga alam itu dikenali melalui sumber iaitu Allah s.w.t sendiri. Orang yang mencari menyusur dari ranting ke dahan, turun ke batang lalu pergi kepada umbi sebelum menemui benih yang melahirkan pokoknya. Orang yang telah dibawa kepada Tuhan melihat dari asal mulanya, melihat benih yang darinya muncul pokok yang cukup lengkap. Perbezaan arah memandang menyebabkan terjadi perbezaan daya nilai dan daya rasa. Orang akal lebih cenderung kepada fahaman falsafah yang berdiri di atas kemanusiaan sejagat iaitu fitrah manusia. Keberkesanan hukum sebab-akibat membentuk formula-formula yang seterusnya melahirkan hukum logik yang dipegang oleh akal. Sukar bagi akal untuk melihat bahawa Allah s.w.t yang meletakkan dan menetapkan keberkesanan hukum sebab-akibat itu. Orang akal memerlukan masa untuk berfikir dan menimbang sehingga mereka melihat dan mengakui kerapian serta kesempurnaan hukum yang mereka pegang itu. Setelah sampai kepada pengakuan yang demikian baharulah mereka beralih memerhatikan apa yang datang dari Tuhan. Orang hati pula terus menyaksikan ketuhanan pada apa yang disaksikan. Mereka melihat perjalanan sebab dan akibat sebagai tadbir Allah s.w.t. 
_______________________________________________________
Mereka juga mengambil sebab dalam melakukan sesuatu tetapi ketika mengambil sebab itu hati memandang kepada Allah s.w.t, meletakkan pergantungan kepada-Nya yang mentadbir sebab musabab itu, bukan bersandar kepada sebab semata-mata. Jika sebab gagal menghasilkan akibat menurut hukum logik, orang hati melihat kekuasaan Allah s.w.t mengatasi segala sebab. Orang akal yang berhadapan dengan keadaan yang demikian sering diganggu oleh kekeliruan dan mereka mencari formula baharu untuk mengembangkan logik. Walaupun terdapat perbezaan cara memandang tetapi tidak seharusnya berlaku berselisihan di antara dua golongan tersebut. Satu golongan harus menghormati daya nilai dan daya rasa golongan yang satu lagi. Walau bagaimana pun orang akal harus sedar bahawa mereka sedang bergerak ke arah daerah orang hati kerana iman, ikhlas, berserah diri, takwa dan lain-lain nilai baik dalam agama adalah nilai hati yang mengeluarkan niat
_______________________________________________________
Di zaman Nabi ada segelintir AHLI SYARIAT munafik yang datang menemui Nabi untuk bertanya beberapa soalan agama. Tujuan kedatangan mereka sebenarnya bukan untuk beriman kepada Nabi, tetapi sekadar untuk tahu apakah Nabi bisa menjawab persoalan mereka, dan sekadar untuk menguji dengan ego keakuan.
_______________________________________________________
Misalnya ada yang meminta-minta dalil dan fakta demi menyakinkan mereka bahwa Nabi pernah pergi dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa lalu naik ke Langit dan pulang ke rumahnya hanya tak sampai pun dalam satu malam. Sedangkan pernyataan dari hal Masjidil Al Aqsa itu sahih namun hati mereka tetap terhijab dari melihat cahaya hakiki... "kebenaran telah terhijab disebalik keakuan diri mereka"
_______________________________________________________
AHLI SYARIAT sering meminta dalil namun ketika dihuraikan dengan ilmu hakikat... hati mereka masih tertutup rapat... karna pintu kaabah sirri (hati) tetap tertutup, dan tidak sering dibuka. Demikianlah juga, memang ada segelintir KAUM SYARIAT yang tidak akan mengimani Yang Haq selagi tidak ada dalil dan faktanya yang dapat memuaskan akal mereka. Seolah-olah akal mereka itulah Tuhan mereka yang haq. Maka di manakah sebenarnya letak kekuatan dan kesahihan iman itu ketika akal hanya diletakkan diketinggian bukit Thursina tidak diketinggian alam melepasi Sidratul Muntaha?
_______________________________________________________
Bagaimana memenuhi hasrat akal bagi mengimani Tuhan yang Zat-Nya Ghaib Mutlak, Malaikat yang halus tiada berjirim dan berjisim, Nabi-nabi yang tak pernah dilihat oleh mata kecuali pengkhabaran berita yang sudah menjadi sejarah, hari akhirat serta syurga dan neraka yang ilusi dan khayal disisi akal, kitab Lauhul Mahfuz yang mencatat Qada dan Qadar yang tidak pernah terlihat dengan indera... kecuali dikhabarkan oleh Rasul-Nya dan diyakini dengan hati tanpa dalil yang nyata dimata akal
_______________________________________________________
"Aku dengar...aku taat..." penyataan keimanan yang tidak memerlukan dalil apapun. Percaya kepada perkara-perkara Ghaib menjadi syarat beriman kepada alam hakikat disebalik alam syariat yang kelihatan nyata... namun itulah ada sesuatu disebalik sesuatu.
_______________________________________________________
Sesungguhnya bukan dalil dan kenyataan mengenai Yang Haq itu tidak ada, tetapi ada manusia yang masih gagal untuk memandang dalil dan kenyataan itu secara terang dan tersirat. Dalil yang cukup terang ialah bagaimana Allah menzahirkan tubuh dan nyawa mereka sendiri, Adakah sifat-sifat yang nyata pada dirimu itu tidak cukup untuk memberi bukti akan hak-hak Allah Yang Haq?
_______________________________________________________
Adakah engkau yang mentadbir dirimu... atau ada selain diri mu?
Apakah engkau yang tahu ketika tahumu... atau dipertahukan?
Apakah engkau yang hidup ketika hidupmu... atau diperhidupkan?
Apakah engkau punya kehendak ketika merasa berkehendak... atau diperkehendakkan?
Apakah engkau melihat... atau diperlihatkan? 
Apakah kata-kata itu lahir dari kalammu... atau engkau diperkatakan melalui anak lidahmu? 
Apakah engkau berupaya dengan kuasa dari sifatmu... atau diperkuasakan?
_______________________________________________________
Apakah penzahiran ribuan dari sifat-sifatmu... atau disifati oleh yang Maha Sempurna sifat-sifat-Nya,,, maka nikmat Tuhan yang manakah yang hendak engkau dustakan, Perhatikanlah dengan hati yang dalam... AGAR ENGKAU TIDAK MENJADI TUHAN YANG DIPERINTAH UNTUK DINAFIKAN.
_________________
(Tuak Lombok ilahi)

No comments:

Post a Comment