ILMU LADUNI
Ketahuilah oleh anda bahawa salah seorang daripada sahabat saya telah menceritakan kepada saya mengenai seorang alim yang mengingkari ilmu Laduni;
Walhal telah menjadi pegangan buat sekalian pemimpin Tasawuf dan ahli Hakikat, bahawa ilmu Laduni adalah lebih kuat dan tepat berbanding segala ilmu yang didapati dengan usaha, seperti kaedah belajar dan mengkaji.
Seolah-olah orang itu tidak tahu tentang cara untuk mendapatkan ilmu dan tidak tahu pula tentang kerja 'Jiwa Insani', kemurniannya dan cara penerimaannya berupa sesuatu yang datang daripada alam ghaib dan ilmu alam Malakut.
Orang itu berpendapat bahawa apa yang dikatakan ilmu itu hanyalah berkaitan ilmu Fekah, tafsir Quran dan ilmu Kalam sahaja, bagaikan sudah tidak ada lagi ilmu di sebelah sananya, dan ilmu ini hanya boleh diperolehi dengan belajar dan mengkaji sahaja.
Bagaimana orang itu boleh mengetahui ilmu tafsir, sedangkan Al Quran adalah suatu lautan besar yang mengandungi segala sesuatu, dan bukanlah semua makna dan hakikat tafsirnya ada disebut di dalam kitab terkenal dalam kalangan orang ramai, malahan tafsir yang sebenar itu bukanlah seperti apa yang diketahui oleh orang itu.
Sesungguhnya dia sudah menyimpang daripada kaedah hakikat, kerana dia menganggap bahawa ilmu itu hanyalah ilmu Fekah dan ilmu Kalam sahaja, seolah-olah segala ahli tafsir tepi jalan ini tidak mengetahui segala bahagian ilmu, perinciannya, tingkatannya, hakikatnya, kenyataannya, serta batinnya.
Memang sudah menjadi adat bahawa orang yang jahil dalam sesuatu perkara akan mengingkari perkara yang tidak diketahuinya itu, malahan orang ini nampaknya tidak pernah merasai minuman Hakikat dan Makrifat.
No comments:
Post a Comment