AKU miskin hina papa dhaif lemah, tidak berdaya dan tidak punya apa-apa. Yang Kaya Raya, Yang Gagah Perkasa, Yang Kuat dan Berdaya dan memiliki segala-galanya ialah Yang Maha Kaya dan Maha Kuat itu juga. Itulah Allah SWT.
Hidup AKU kembali ke hidupNya. Gerak AKU kembali kepada gerakNya. Diam AKU kembali ke diamNya. Sifat AKU kembali ke sifatNya. Nama AKU kembali ke namaNya. Amalan AKU kembali ke amalanNya. Wujud AKU kembali ke wujudNya.
Memang benar, AKU itu akan kembali kepadaNya, laksana cahaya kembali ke matahari, seperti ombak kembali ke laut. Tempat kembali itulah tempat AKU sebenar.
Sebagaimana tersebut dahulu, AKU itu adalah ROH. Itulah diri. ROH ini tidak tertakluk kepada ruang dan waktu. Ia bukan tua dan bukan muda. Tua dan muda itu hanya bagi jasmani dan keadaan dunia ini sahaja. Semua ROH adalah sebaya sahaja. Nabi Adam AS sebaya dengan Nabi Muhammad SAW. Kita sebaya dengan Datuk moyang kita. Begitulah sebagainya. Tiada tua dan muda bagi ROH. ROH tercipta serentak sekaligus sahaja.
Kemudian ROH itu dilahirkan ke dunia melalui rahim ibu dengan badan kita sebagai sangkar atau sarungnya. Ia dilahirkan ke dunia menurut masa yang telah ditentukan. Siapa yang ditakdirkan lahir dahulu dialah yang tua dan siapa yang lahir kemudian dialah yang muda.
Dari segi rohaniah atau kebadanan ada tua dan ada yang muda, tetapi dari segi ROH sebaya sahaja.
AKU juga tidak tertakluk kepada tempat. AKU bukan Barat dan bukan juga Timur. Bukan juga dari Utara dan bukan juga dari Selatan. AKU tidak tertakluk kepada arah dan tempat.
AKU juga bukan tertakluk kepada bangsa. AKU atau ROH bukan berbangsa itu dan bukan berbangsa ini. Bangsa-bangsa itu hanya wujud dalam dunia nyata ini. Di alam AKU tidak ada bangsa-bangsa.
AKU adalah ma’lum dalam ilmu Allah, wujud dalam wujud-NYA. AKU adalah penzahiran sifatNya. Demikian AKU tenggelam dalam Yang Maha Aku (iaitu ALLAH SWT).
No comments:
Post a Comment