Wednesday, 20 December 2017

DIKIR BARAT

PAK LEH TAPANG PENGASAS DIKIR BARAT
.......................................................................
Dikir barat selalu dilihat sebagai sebuah persembahan kesenian tradisi yang mula bertapak di kelantan.Tetapi tidak banyak yang menyedari bahawa dikir barat adalah satu cabang kesusasteraan kerana di dalamnya ada puisi tradisional iaitu pantun.Dalam kata lain dikir barat menjadi pemangkin kepada penyuburan seni kesusasteraan genre pantun tanpa disedari dalam masyarakat.seni berpantun dalam dikir barat pula sangat unik kerana dilakukman secara spontan.Seni berpantun inilah yang mendukung dikir barat sbagai satu seni tradisi yang popular hingga kini.Bagaimanapun tidak banyak yang tahu tokoh yang mula-mula mencipta dan mempopularkan dikir barat dalam direktori seni dan budaya negara.Tentunya kita tidak boleh melupakan Pak Leh Tapang begitu saja.Jasanya sangat besar terutama dalam seni dikir barat.
Siapa Pak Leh Tapang?Allahyarham Pak Leh Tapang adalah pengasas dikir barat telah kembali ke rahmatullah pada 17 Mac 2006 ketika berusia 79 tahun.Pak Leh Tapang atau nama sebenarnya Hj Mat Salleh bin Hj Ahmad yang mula berdikir sejak tahun 1940-an dulu.Beliau dilahirkan pada tahun 1927 di kg Tapang Panji Kota Bharu Kelantan.Mendapat pendidikan awal di sekolah melayu Rambutan Rendang Kota Bharu hingga lulus darjah enam sebelum perang dunia kedua.Kemudian meneruskan pelajaran agama di pondok tok guru Hj Wan Ismail Tapang.beliau berminat dalam bidang seni dan bergerak secara aktif dalam pasukan rebana kampung Tapang,bermula sebagai tukang cipta pantun yang akhirnya dikenali sebagai dikir barat pada tahun 40 an.Istilah tukang karut dalam dikir barat juga adalah idea Pak Leh sendiri.
Orang yang mula-mula meniru pantun-pantun yang dibawa oleh Pak Leh Tapang ialah Dollah dari kampung Belimbing Pulau Tebu,Nilam Puri, Kota Bharu kemudian ditiru pula oleh Wahid.Selanjutnya ditiru oleh Zakaria,Na’amat dunia yang meneruskan pantun-pantun itu, ditiru pula oleh Awang Ikan Duyung,Seman Wau Bulan,Husin Keling dan berlarutan hingga ke generasi hari ini.Pantun-pantun mengarut dikir barat diucapkan secara spontan.Sebelum Pak Leh Tapang memperkenalkan dikir barat , istilah dikir sudahpun popular dalam kalangan masyarakat seperti dikir rebana,dikir yadah dan rebana kercing.Allahyarham pernah menjelaskan sebab-sebab dinamakan dikir barat kerana pada awal tahun 40-an ada orang-orang kelantan yang berhijrah ke Thailand untuk mencari pekerjaan di sana.justeru itu orang-orang inilah yang membawa balik ke negeri Kelantan irama dan seni kata dari Thailand lalu dinamakan lagu barat.
Tetapi pantun-pantun karut yang ada di dalam dikir barat adalah ciptaan Pak Leh Tapang sendiri mengikut idea spontan.sekitar tahun 50-an beliau diundang bukan sahaja oleh masyarakat kampung malah oleh ketua-ketua jabatan dan orang-orang kenamaan, pelbagai persatuan dan badan amal dengan tujuan memungut derma. Pak Leh berdikir ke segenap pelusok negeri.Malah pernah juga diundang oleh Paduka Raja Nik Mahmod(ayahanda kepada allahyarham Tan Sri Ahmad Kamil) .Sewaktu Paduka Raja Nik Mahmod menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1963,allahyarham diundang membuat persembahan di Kuala lumpur bersempena 10 tahun kemerdekaan.pada tahun 1998, allahyarham diminta membuat persembahan di dalam istana Balai Besar,Kota Bharu bagi meraikan keberangkatan tiba sultan Terengganu. Pak Leh Tapang julung-julung kalinya memperkenalkan nama-nama tok juara dikir barat sekitar tahun 50-an melalui perlawanan dikir barat.
Dengan adanya perlawanan itu, berkembanglah dikir barat di negeri Kelantan.antara kumpulan dikir barat yang wujud pada masa itu ialah kumpulan Husin Pulau Tebu,Kumpulan Pak Badol(tok juaranya ialah Awang Lubuk Nibong),kumpulan Bukit Akar(tok juaranya ialah Abd Rahman Bukit Akar), kumpulan Dollah Teluk Kemunting(tukang karutnya Mamat Pengkalan Petah)dan kumpulan Binjai(tukang karut Dolah Kulat Malam).Dikir barat berkembang juga ke Selatan Thailand seperti wujudnya kumpulan Awang Kampung Kersik, Patani, Kumpulan Ku Mat Lukla(Pak Ku Mat),kumpulan Jusoh Jabi, Sudin Jah Kerian, Nik Andak Jah Erong. Pak Leh Tapang pernah berdikir di hadapan pembesar-pembesar Jepun sewaktu penjajahan Jepun, bertempat di Pantai Cinta Berahi(Pantai Cahaya Bulan),pada pukul 10 pagi.
Beliau juga diundang berdikir semasa majlis perasmian stesen radio Wakaf Che Yeh(RTM Kota Bharu),pada 6 november 1994 yang dirasmikan oleh menteri penerangan allahyarham Datuk Senu Abdul Rahman juga pada pukul 10 pagi.Pak Leh pernah memberitahu tentang lahirnya tukung karut wanita yang bermula sekitar tahun 60-an terdiri daripada Che Jah dari kampung Ana, Natrah pula dari kampung Teluk Kemunting, dan Himah dari Perupok Bachok Kelantan.Allahyarham juga menjelaskan perubahan lagu-lagu dikir barat oleh tok juara dibawa oleh kumpula Awang Lah Jangga Barat dengan lagu asli dikir barat kemudian diubah suai oleh kumpulan Husin Pulau Tebu dengan membawa irama lagu makyung.seterusnya,diubahsuai oleh kumpulan Zakaria Pulau Belanga degan irama lagu dikir laba dan kemudian diubah suai pula oleh kumpulan Jusoh Kelong dengan irama lagu padang pasir dan irama lagu hindustan.
Pak Leh Tapang menjelaskan mengenai fahaman atau cara berpantun dalam persembahan dikir barat.Allahyarham tidak menggunakan perkataan lucah atau menghina sesiapa.kerana itu allahyarham amat kesal dengan perkembangan mutakhir ini kerana ada kumpulan dikir barat tanpa malu-malu berpantun dengan perkataan lucah kononnya untuk melahirkan kelucuan atau menarik perhatian khalayak.Pak Leh Tapang mengudurkan diri dalam dikir barat pada tahun 1968.Beliau pernah dilantik menjadi pengadil dikir barat dalam pertandingan dendang rakyat pada tahun 1972 dan 1974.Bagi mengenang jasa sumbangan seni budaya warisan bangsa ,beliau pernah dianugerahkan surat kepujian oleh mahaguru silat gayong malaysia,Meor Abdullah Rahman di Shah Alam,Selangar pada tahun 1967.Pada tahun 1993 dianugerahkan Pingat Setia (PS) daripada Sultan Kelantan.Dikir barat masih hidup malah begitu subur ke seluruh rantau,namun tokoh iaitu pengasasnya Pak Leh Tapang telah pergi buat selama-lamanya.Allahyarham meninggalkan sejarah serta khazanah seni budaya yang tidak ternilai harganya.kita semua sebenarnya sangat terhutang kepadanya.
SUMBER : SUDUT SASTERA MINGGUAN MALAYSIA
, AHAD 26 MAC
Advertisements
Categories: DIKIR BARAT
COPY : BLOG SHARIMI MUHAMAD

No comments:

Post a Comment