Thursday, 14 May 2015

pendapat

KHAMIS, 14 MEI 2015 @ 8:26 PM Mat Sabu pertahan tindakan ceramah Kit Siang MAT Sabu (kanan) bersama Kit Siang. - Foto Nik Abdullah Nik Omar KOTA BHARU: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mempertahankan tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang berceramah mengenai pelaksanaan hukum hudud dalam ceramah perdana di sini, Ahad lepas dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang boleh diterima. Beliau boleh menerima kandungan ceramah berkaitan hudud yang disampaikan oleh Kit Siang kerana dia bukan orang Islam. "Bila seseorang yang nak ceramah kita tidak tahu apa yang dia hendak cakap...ia bukan macam seminar atau forum kita nak bagi tajuk. "Itu (kenyataan Lim Kit Siang) kita serah kepada orang untuk membuat pertimbangan sebab dia bukan orang Islam, kira tidak apalah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini. Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, turut berceramah pada ceramah perdana anjuran PAS Kawasan Kota Baharu itu. Katanya, beliau tidak terkejut dengan kenyataan yang diberikan penasihat DAP itu kerana terdapat lagi pihak yang mempertikaikan pelaksanaan undang-undang Islam itu. Pandangan Mat Sabu itu bertentangan dengan PAS Kelantan yang menyifatkan tindakan Kit Siang sebagai sesuatu yang bertentangan dengan pendirian kerajaan negeri Kelantan. Semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata tindakan Kit Siang yang menyentuh isu hudud pada ceramah berkenaan sebagai tidak wajar. "Kita memang tahu dia sebelum ini sudah menolak hudud, namun tidak sepatutnya dia bersuara secara terbuka di rumah kita. Dia sepatutnya menghormati Kelantan," katanya. PAS Kelantan turut meminta PAS kawasan Kota Baharu memberi penjelasan segera berhubung menjemput Kit Siang dan tujuan ceramah itu diadakan. Akhbar melaporkan dalam ceramah berkenaan, Kit Siang menjadikan dua buah negara iaitu Jordan dan Mesir sebagai contoh kerana mempunyai lebih 90 peratus penduduk beragama Islam namun sehingga kini tidak melaksanakan undang-undang Islam. Kit Siang dilaporkan berkata sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, semua parti yang berada dalam pakatan pembangkang mesti berpegang kepada janji asas yang sudah dipersetujui bersama. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/54827

No comments:

Post a Comment