Saturday, 7 March 2015

maha besar


TERLEBIH PEDULI YANG KECIL SEHINGGA LUPA YANG "MAHA BESAR".
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
"Hati-hati bila lalu di bawah pokok ara di hujung kampung tu, ia keras dan berpenunggu. Sudah ramai yang disapa mesra penunggunya yang menyeringai taringnya."
"Chalet di tepi Villa Nabilah tu berpuaka. Ramai penyewanya terkena histeria. Semua orang bercerita tentang betapa ganasnya puaka tersebut. Saya rasa kita perlu elakkan menyewa chalet itu."
Itu antara dialog popular manusia yang kemaruk jin. Seakan jin sangat berkuasa sehingga mampu menggeruhkan hidup makhluk terbaik ciptaan Allah. Apakan daya, fitrah manusia memang sangat tertarik untuk mengetahui "rahsia alam jin."
Kisah alam jin juga sering saya gunakan sebagai "steroid" apabila pelajar kelihatan mengantuk untuk menghadam pelajaran. Ternyata ia memang berkesan. Dengar sahaja cerita makhluk api ini, mata pelajar segera terbeliak, fokus minda tertumpu tajam seakan tidak mahu terlepas walau sedikit pun maklumat mengenai jin yang saya terangkan. Bukan itu sahaja, jin atau hantu sangat bagus untuk melonjakkan rating dan populariti sebuah cerita.
Walau bagaimanapun perlu dipahat kemas di hati setiap Muslim, terlalu peduli berkaitan jin juga tidak bagus. "Di sana keras, di sini berpuaka, di atas sana berpenunggu, di belakang ada PUTARANGGAS."
Terlalu risau dengan kewujudan makhluk halus akan menyebabkan minda kita mundur dan iman semakin menipis. Sepatutnya kita perlu lebih takutkan TUHAN JIN atau ALLAH YANG JAUH LEBIH BERKUASA dari jin dan syaitan. Inilah akidah yang benar.
Kalau kita gerunkan jin kerana ia makhluk ghaib, LEBIH UTAMA KITA GERUNKAN ALLAH YANG JUGA GHAIB DARI MATA ZAHIR. Bahkan jin dan syaitan sendiri sangat gerunkan Allah:
وَإِذْ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ وَقَالَ لَا غَالِبَ لَكُمُ الْيَوْمَ مِنَ النَّاسِ وَإِنِّي جَارٌ لَكُمْ ۖ فَلَمَّا تَرَاءَتِ الْفِئَتَانِ نَكَصَ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ وَقَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِنْكُمْ إِنِّي أَرَىٰ مَا لَا تَرَوْنَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ ۚ وَاللَّهُ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: "Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu". Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), Syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: "Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksaNya" (al-Anfal [8:48]).
Juga firman Allah:
كَمَثَلِ الشَّيْطَانِ إِذْ قَالَ لِلْإِنْسَانِ اكْفُرْ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِنْكَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبَّ الْعَالَمِينَ
Ertinya: (Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: "Berlaku kufurlah engkau!" Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: "Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang menguasai seluruh alam!" (al-Hasyr [59:16]).
Usahlah terlalu mengambil kisah tentang jin dan syaitan kerana dibimbangi Tawhid kita kepada Allah akan tercalar seolah jin jauh lebih berkuasa memberi mudarat atau manafaat. Kegerunan melampau kepada kuasa jin seakan ditipu dengan bonus rm 50 oleh agen gores dan menang sehingga terpaksa "berhabis rm 5000 membeli paksa" barangan yang tak diingini pun. Kuasa si Jin mungkin kurang dari 50 hp, manakala kuasa Allah bukan hanya 5000 hp tetapi tidak terbatas.
Jika dikata tempat itu berpenunggu, si penunggu hanyalah makhluk penumpang di bumi Allah. Umpamanya kita lebih takutkan penghulu kampung kecil sedangkan kita bernaung di bawah "RAJA WILAYAH." Sepatutnya kita menggertak si penghulu kampung yang kecil itu agar jangan sombong bermaharajalela kerana kita datang dengan watikah sang RAJA WILAYAH. PENGHULU ITU PASTI KECUT PERUT BILA MENGETAHUI KITA INI ORANG RAJA.
Orang yang tinggi sukatan imannya sangat digeruni oleh jin syaitan. Sepatutnya kita isi iman biar penuh melimpah di dada untuk mengusir syaitan sejauh mungkin seperti Sayyidina 'Umar al-Khattab:
إِيهٍ ابْنَ الْخَطَّابِ ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا لَقِيَكَ الشَّيْطَانُ قَطُّ سَالِكًا فَجًّا إِلا سَلَكَ غَيْرَ فَجِّكَ
Ertinya: Wahai Ibn al-Khattab, demi Zat yang jiwaku berada dalam tanganNya, tidaklah syaitan bertemu dengannmu di suatu jalan melainkan ia akan mengambil jalan yang lain dari jalanmu (Sahih al-Bukhari).
Menutup bicara, ingin saya tegaskan memohon perlindungan atau gerunkan jin, syaitan, puaka, penunggu, putaranggas dan sebagainya adalah sama seperti seorang banduan meminta bantuan dari seorang banduan lain. Bantuan tak tercapai, bahkan menjadikan teman banduan kita semakin sombong:
وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
`Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat (al-Jinn [72:6]).
Selepas ini jika berasa risau diganggu oleh jin yang nakal, segera ingat dan mohon keteguhan serta bantuan kepada Pemilik jin. Sudah pasti kenakalan si jin akan dikekang oleh Allah dan kekal lah kita sebagai makhluk terbaik di alam ini.
Like ·  · 

No comments:

Post a Comment