KOTA BHARU - Penuntut Perubatan Universiti Zagazig, Mesir, Muhammad Syafiq Abdullah Hashim yang parah akibat kemalangan di negara itu, September lalu, kini hampir 90 peratus sembuh, berkat amalan membaca al-Quran.

Bapanya, Abdullah Hashim Omar, 69, berkata, walaupun pakar dan pegawai perubatan yang merawat anak ketujuh daripada lapan beradik itu meminta dia dan isteri, Nor Hayati Mahmood, 59, bersedia kehilangan Muhammad Syafiq, namun mereka tidak pernah putus asa berdoa dan berikhtiar.

“Tidak ada apa yang dilakukan, selain membaca al-Quran sepanjang masa, di samping melakukan solat sunat dan hajat memohon kesembuhan buat Muhammad Syafiq.

“Naluri saya dan isteri begitu kuat mengatakan anak kami akan kembali seperti sebelumnya. Alhamdulillah, ALLAH SWT makbulkan doa kami dan seluruh dunia yang turut berdoa untuk Muhammad Syafiq,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Ketereh, semalam.

Abdullah Hashim yang juga pesara guru Yayasan Islam Kelantan (Yik) berkata, hampir dua bulan menemani anaknya yang koma akibat kemalangan itu, hanya al-Quran menjadi peneman setianya dan isteri.

“Bukan sahaja kami, malah pakar dan pegawai perubatan yang bertanggungjawab merawat anak kami turut terkejut dengan perkembangan positif ini kerana mereka sendiri tidak pernah meletakkan keyakinan untuk Muhammad Syafiq sedar,” katanya yang juga guru al-Quran.

Menurutnya, anaknya itu sedar daripada koma pada 30 Oktober, jam 4.15 petang (waktu Malaysia), namun Muhammad Syafiq tidak mengenali orang di sekeliling termasuk ibu bapa dan rakannya.

Sementara itu, Muhammad Syafiq berkata, fikirannya kosong ketika pertama kali membuka mata selepas ‘tidur’ dalam tempoh panjang, malah dia mengambil masa beberapa hari untuk mengenali ibu bapa dan rakan, sebaliknya mengenali jururawat dan doktor yang merawatnya.

Dalam kejadian 4 petang (waktu Malaysia) 4 September lalu, Muhammad Syafiq parah, manakala tiga rakannya, Muhammad Miftahuddin Sufiyan, Muhammad Aizuddin Abdul Razak dan Shukri Muslim Maulana Mahamad Anuar cedera selepas tayar teksi yang dinaiki, dalam perjalanan pulang ke Zagazig dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah meletup sebelum kenderaan itu terbabas di Jalan Bilbis, Kaherah.

Muhammad Syafiq mengalami pendarahan dalam otak dan retak tulang belakang, koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sepanjang tempoh berkenaan sebelum dibenarkan pulang pertengahan November lalu, dan kembali ke Malaysia, kelmarin.