Friday, 4 June 2021

fb

 SULTAN SEMEMANGNYA BAYANGAN ALLAH

1. Saya merujuk kepada posting JAKIM pada 3hb Jun bertajuk 'Larangan Menghina Sultan'. Ianya berbentuk poster yang dipetik dalamnya hadis dari Abi Bakrah RA yang bermaksud
"Sultan (Pemerintah) merupakan bayangan Allah di bumi. Barangsiapa yang memuliakannya maka Allah memuliakannya dan barang siapa yang menghinanya maka Allah akan menghinanya. (Riwayat al- Baihaqi)
2. Walaupun hadis ini berstatus 'daif' dari sudut istilah disiplin ulum al hadis namun ia boleh dipakai dari sudut galakkan, kata nasihat, teguran dan amaran dalam bab Fadhail al A'mal. Namun para pakar rujuk ilmu hadis seperti ibn Daqiq al Aid (1228 m-1302 m) dan Ibn Hajar al Asqalani ( 1372 m-1449 m) meletakkan 3 syarat iaitu, ia bukan hadis maudhu (direka-reka), tidak bercanggah dengan prinsip syariat secara keseluruhan (al kulliy) dan tidak sampai ke tahap meyakininya sebagai wajib(thubut).
3. Hadis ini sebenarnya adalah teguran keras kepada pemerintah dan mereka yang mempunyai kekuasaan ke atas kepentingan rakyat (Sultan) kerana kiasan sebagai 'bayangan Allah' adalah ingatan untuk menegakkan keadilan, berbuat ihsan dan menolong mereka yang memerlukan. Bayangan Allah adalah kiasan bahawa Sultan atau pemerintah tidak boleh melakukan kekejian dan kemungkaran serta melampaui batas (surah al-Nahlu: 90). Sandaran kepada bayangan Allah sebagai satu kemuliaan jika ia dilaksanakan dengan sifat amanah dan sebaliknya satu kekesalan jika mengkhianati amanah ini.
4. Memuliakan Sultan/ Pemerintah atau menghinanya perlu dilihat dalam nilai pemerintahan yang lebih besar ditetapkan oleh Syariat iaitu menegakkan Keadilan dan membuat Islah dalam kehidupan rakyat. Mana-mana tindakan Sultan/Pemerintah yang memudaratkan seperti tidak menegakkan kebaikan dan gagal menghindari kemudaratan, maka wajib ditegur sebagai memenuhi tuntutan afdhal al jihad (semulia jihad) iaitu menegur atas kebenaran terhadap Sultan/Pemerintah yang zalim dan melampaui batas.
5. Dalam konteks realiti, pemerintah hari ini perlu diletakkan atas kayu pengukur Tujuan Syariat dalam pemerintahan (Maqasid al Hukm) untuk kita menghayati hadis di atas. Antara Maslahat/ Kepentingan Utama hari ini adalah untuk 'menyelamatkan nyawa 30 juta rakyat Malaysia'. Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat menegur Sultan/Pemerintah supaya memastikan kerja pemerintah menyelamatkan nyawa ini tercapai. Segala teguran yang diizinkan oleh undang-undang dari rakyat tidak boleh dianggap sebagai 'menghina' Sultan/Pemerintah. Kenyataan umum hadis perlu diperincikan dengan cara khusus berkenaan syarat dan peranan Sultan/Pemerintah dalam nas-nas lain yang mengiringinya.
6. Selain itu Kepentingan Umum (Maslahah Aamah) bagi menjayakan Tujuan menyelamatkan nyawa rakyat ialah membuka ruang kepada cara meningkatkan keberkesanannya melalui syura. Ruang ini boleh disampaikan melalui sistem demokrasi berparlimen yang berfungsi seperti termaktub dalam perlembagaan negara. Menafikan ruang bersuara dan bersyura melalui wakil-wakil rakyat di Parlimen adalah satu keterhalangan terhadap usaha menyelamatkan nyawa rakyat. Hadis ini menegur Sultan/Pemerintah agar tidak bersikap Kukubesi (Istibdad) yang dicegah keras oleh Syariat Islam dengan menutup ruang syura melalui Parlimen. Menegur supaya negara tidak diheret ke arah nilai-nilai kukubesi bukanlah satu tindakan menghina pemerintah bahkan ia adalah tanggungjawab ummah untuk berbuat demikian.
7. Kaitan Sultan/Pemerintah dengan hari akhirat dalam hadis ini adalah bertujuan samada mahu memuliakan institusi ini mahupun menghina institusi ini di atas kesan kebaikan atau kesan keburukannya kepada bilangan rakyat yang ramai. Memuliakan Sultan/Pemerintah adalah bersyarat dengan mereka patuh kepada nilai besar prinsip Syariah bukan ketaatan buta kepada Sultan/Pemerintah tanpa prinsip. Begitu juga menghinanya ialah dengan menafikan kebaikan dan memfitnah dasar kebaikan yang dibawa sehingga menimbulkan permusuhan dan kebencian. Kedua-dua nilai mulia dan hina ini ada kaitannya dengan konsep balasan/ganjaran di hari akhirat.
8. Hari ini kerajaan PN sebagai Sultan/Pemerintah telah melakukan berbagai perkara yang menafikan tujuan utama sebuah pemerintahan ditegakkan, PN menafikan suara rakyat di Parlimen, tidak fokus menyelamatkan nyawa, memerintah dengan sogokan untuk kompromi kuasanya termasuk saiz kabinet yang besar, tawaran GLC dan usaha membeli ahli parlimen untuk kekal berkuasa. Segala tindakan ini melahirkan kerosakan kepada sistem politik negara dan sekaligus menjejaskan fokus dasar selamatkan nyawa 30 juta rakyat Malaysia. Gagal memelihara demokrasi dan memerintah tanpa mandat rakyat kesannya membawa kemudaratan kepada kestabilan sistem politik negara.
9. Setiap pihak yang menyokong kerosakan ini samada secara bersengkongkol mahupun menjadi penyokong kerosakan telah mengkhianati ruh dan semangat hadis ini yang perlu dibaca bersekali dengan hadis lain seperti hadis 7 golongan mendapat bayangan perlindungan Allah di hari akhirat iaitu antaranya Sultan/Pemerintah yang Adil. Begitu juga hadis lain seperti;
'Akan datang kepada mu pemimpin-pemimpin setelah aku, barangsiapa yang bersamanya dan membenarkan pembohongannya dan menolong mereka di atas kezaliman yang mereka lakukan, (siapa yg berbuat demikian) bukanlah dari kalangan aku dan aku bukan dari kalangan mereka dan mereka tidak akan bersama ku di perigi syurga nanti...... (hadis Sahih dalam Sunan Tirmizi riwayat Ka'ab ibnu Hajrah)
Saya tidak tahu apa motif JAKIM membuat posting hadis bertajuk 'Larangan Menghina Sultan'. Tetapi sebagai memberi keadilan kepada ruh dan semangat hadis, saya terpanggil membuat komentar berpandukan pada kerangka besar teras Maqasid Syariah dan Tujuan Besar sesebuah pemerintahan itu berfungsi dalam kacamata Syariat Islam.

No comments:

Post a Comment