Monday, 20 May 2019

Nafsu vs AKAL


Nafsu vs AKAL
Benda yang paling susah untuk 'dijinakkan' adalah EGO / NAFSU. Ia seperti haiwan liar yang sentiasa mengikuti kita tanpa sedar, Semakin besar EGO itu, semakin susah untuk 'dijinakkan'. Inilah benda yang akan membuatkan hidup seseorang tidak akan tenang walaupun luarannya tampak gembira.
Dari EGO ini, terbitnya segala sifat negatif. Kebencian, dendam, merasakan diri yang paling betul, tidak boleh ditegur, tidak mahu menerima nasihat. Dalam hatinya penuh dengan rasa benci pada orang lain sehingga perasaan itu memakan dirinya sendiri tanpa dia sedar. NAFSU.
Sebab itu, dalam semua agama ada mengajar manusia untuk membersihkan diri supaya keluar dari kesengsaraan dan hidup dalam ketenangan, kedamaian dan kebahagiaan.
Saya yakin, semua manusia masih lagi dikawal oleh EGOnya. Walaupun mungkin mereka orang yang berilmu, tapi masih belum mampu untuk menjinakkan EGOnya sendiri. Buktinya? Masih berlaku pertelagahan, pertelingkahan, pergaduhan tentang sesuatu perkara sedangkan ianya boleh menjadi damai andai kata kita semua meraikan perbezaan itu. Kerana setiap orang lain pemahamannya dan lain tingkatnya dalam perjalanan kehidupan masing-masing.
Jinakkanlah EGO kamu dengan membuang segala sifat negatif dalam diri. Gantikanlah kebencian dengan kasih sayang. Tidak rugi pada kita untuk meletakkan EGO paling bawah sekali. Ianya akan membuat kita lebih bersifat terbuka, menerima, bertolak ansur,dan memahami. Sekiranya kita membiarkan EGO kita itu menjulang tinggi duduk di paling atas, maka kita sendiri telah mencipta 'neraka' kita sendiri. Kita telah menyeksa diri kita sendiri kerana kita melawan fitrah diri manusia iaitu BERKASIH SAYANG.
Bila hati penuh benci, semua yang dilihat adalah kebencian. Bila hati penuh dengan kasih sayang, semua yang dilihat adalah kebahagiaan dan kedamaian.
Pilihan di tangan kita. Mahu hidup di syurga atau neraka?
Kita mungkin menang. Tapi hakikatnya KALAH DALAM MENANG.

No comments:

Post a Comment