Thursday, 27 April 2017

Ws

SALAH FAHAM GELAR DULI YANG MAHA MULIA : ADAKAH SYIRIK?

Ini jawapannya.

Maka adalah pula, pacal pacal yang tiadalah diketahui adakah sudah cukup barang diajar, berembuk akan hal gelaran "Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda", dikatakan syirik kerana gelar Yang Maha Mulia itu adalah sifat Tuhan yang tiadalah layak dipakai makhluk, adanya. Tiadakah pernah diajarkan, apakah gerangan makna gelaran "Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda", hinggakan pacal yang sejengkal kailnya itu bersilat lidah bagaikan buntat nak jadi gemala?

Adapun "Duli" itu maknanya "debu". Makanya "Duli Yang Maha Mulia" itu maknanya Raja yang bertakhta itu walau seluas manapun jajahan takluknya, hanyalah ibarat debu di sisi Tuhan Yang Maha Mulia. Adapun "Paduka" itu maknanya "selipar" manakala "Baginda" itu ialah baginda Rasulullah SAW.

Makanya "Seri Paduka Baginda" itu maknanya Raja yang berkuasa itu, meskipun segunung emas sepuluh mutu banyak hartanya, hanyalah selipar pelapik kaki kepada Baginda Rasulullah, utusan Tuhan Yang Maha Mulia.

Dari itu moleklah diperingatkan pesan Abdullah Munsyi dalam hikayatnya;

"Bahawasanya barang siapa hendak belajar bahasa bangsa bangsa lain, maka seyogianya hendaklah diketahui bahasanya sendiri dahulu. Hal yang demikian supaya memberi faedahlah baginya bahasa yang hendak dipelajarinya itu, adanya."

No comments:

Post a Comment