KEAJAIBAN YANG BERLAKU SEBELUM KELAHIRAN BAGINDA NABI MUHAMMAD SAW.
1. Ketika Nur Muhammad SAW masuk ke dalam rahim Siti Aminah, ALLAH SWT memerintahkan para malaikat supaya membukakan pintu Syurga Firdaus dan memberitahu semua penghuni langit dan bumi. Tanah-tanah di sekitar kawasan tersebut yang kering menjadi subur, pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat. Begitu juga haiwan-haiwan di darat dan laut sibuk bercakap mengenainya. Angin dari utara mengkhabarkan kepada angin selatan dan angin timur mengkhabarkan kepada angin barat mengenai berita bakal munculnya penghulu tujuh petala langit dan bumi.
2. Semasa Baginda Rasulullah SAW berada di dalam kandungan bondanya Siti Aminah, beliau tidak berasa susah seperti yang dialami oleh ibu-ibu hamil yang lain. Kehamilannya disedari melalui berita daripada malaikat yang datang kepadanya ketika beliau sedang tidur. Malaikat mengatakan bahawa beliau telah mengandungkan seorang Nabi dan penghulu kepada seluruh umat manusia. Selain itu, Kehamilannya juga ditandai dengan haidnya terputus dan berpindahnya cahaya dari wajah Abdullah ke wajahnya.
3. Peperangan tentera bergajah yang disebut dalam Al-Quran menerusi surah al-Fil datang menyerang kota suci Makkah. Dinamakan tentera bergajah kerana pasukan tentera yang ingin meruntuhkan Kaabah itu disertai oleh beberapa ekor gajah. Mereka dikatuai oleh Raja Habsyah di Yaman, bernama Abrahah as-Sabah al-Habasyi yang menunggang seekor gajah besar bernama Mahmudi.
Apabila mereka hampir sampai ke tempat tersebut, tiba-tiba kesemua gajah itu berhenti dan berundur dengan izin ALLAH SWT. Lalu datang sekumpulan burung Ababil menyerang dan menghancurkan mereka sepertimana yang tersebut dalam Al-Quran. Peristiwa ini amat menakjubkan dan diriwayatkan dalam kitab-kitab sejarah.
4. Siti Aminah turut mengalami mimpi yang menakjubkan. Beliau menadah tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat turun dari langit. Ia umpama kapas putih yang terapung di angkasa. Kemudian malaikat tersebut berdiri di hadapannya lalu berkata, "Khabar bahagia untuk saudara wahai bonda daripada seorang Nabi. Putera saudara itu menjadi penolong dan pembebas bagi seluruh manusia, namanya Ahmad."
5. Katika Baginda SAW dilahirkan, bondanya menyaksikan cahaya keluar daripada tubuh badan Baginda SAW. Cahaya tersebut menyinari sehingga Istana Busra di Syria. Ia kelihatan seperti anak panah bagaikan pelangi sehingga dapat dilihat dari jauh. Ada juga pendapat mengatakan bahawa cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia. Hal ini dapat dijelaskan oleh sumber-sumber Arab paling awal yang menyatakan bahawa suatu cahaya akan terpancar dari rahim Siti Aminah apabila Baginda SAW dilahirkan. Cahaya tersebut keluar terang-benderang dari rumah Siti Aminah sehingga ramai orang Arab datang ke rumahnya untuk menyaksikan peristiwa luar biasa itu.
6. Bau wangi-wangian bak kasturi menusuk ke hidung sehingga membangkitkan rasa damai ke dalam sanubari mereka yang berada di situ. Baginda Nabi SAW berada dalam keadaan terbaring dengan kedua belah tangannya mengangkat ke langit seperti sedang berdoa.
Kemudian Siti Aminah turut melihat awan turun menyelimuti dirinya sehingga beliau mendengar suatu seruan, "Pimpinlah dia mengelilingi bumi timur dan barat, supaya mereka tahu dialah yang akan menghapuskan segala perkara syirik."
7. Para malaikat memandang Baginda SAW sehingga Baginda SAW yang masih kecil itu bersendawa lalu menyebut, "Alhamdulillah" dan para malaikat pun menjawab, "Yarhamkallah." Semua alam maya seolah-olah tertumpu pada Baginda SAW kerana terpesona dengan keindahan dan cahaya yang luar biasa daripadanya. Setiap mata yang memandangnya berasa kagum. Ummu Aiman yang berada di situ berasa sangat takjub lantas jatuh cinta dan tidak malu untuk menyusukan Baginda Nabi SAW.
8. Selepas itu, awan tersebut lenyap daripada pandangan Siti Aminah. Sesetengah riwayat menyatakan bahawa Nabi SAW dilahirkan dalam keadaan memandang ke arah langit sambil meletakkan tangannya ke tanah sebagai tanda ketinggian martabatnya daripada semua makhluk. Ada yang menyatakan bahawa Nabi SAW dilahirkan dalam keadaan matanya bercelak dan sudah dikhitankan.
Dikatakan juga pada malam kelahiran Baginda SAW, semua berhala yang terdapat di situ mengalami kerosakan dan kemusnahan. Ummu Aiman pun memanggil datuknya, Abdul Mutalib yang sedang tawaf di Kaabah. Belum sempat tujuh pusingan, Abdul Mutalib pun kembali dan melihat anak tersebut diletakkan di bawah belanga. Ini kerana mengikut adat orang Arab, tiada seorang pun boleh melihat anak yang baru dilahirkan kecuali setelah dilihat oleh bapanya terlebih dahulu. Oleh itu, bayi tersebut perlu ditutup daripada pandangan orang ramai.
9. Oleh sebab bapa Baginda Nabi SAW sudah lama wafat, maka datuknya yang melihat terlebih dahulu. Disebabkan keajaiban dan kuatnya cahaya yang terpancar daripada jasad mulia Baginda SAW yang masih kecil, serta merta belanga itu meletup kerana tidak dapat menanggung cahaya yang sangat hebat tanpa sempat diangkat oleh Abdul Mutalib. Alangkah terpesonanya datuk melihat cucunya yang begitu luar biasa. Maka jatuh cintalah datuk terhadap cucunya itu, lantas di bawanya ke Baitullah untuk disempurnakan tawafnya yang berbaki.
10. Menurut riwayat daripada Abu Mutalib,
"Ketika aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada ALLAH SWT. Lalu aku mendengar suara daripada dinding Kaabah berkata, 'Telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan yang Maha Mengetahui.'"
11. Selain itu, di tempat lain pula berlaku satu goncangan di Istana Kisra sehingga retak, manakala 14 tiangnya pula runtuh. Keadaan ini merupakan antara tanda-tanda keruntuhan kerajaan tersebut. Api di negara Parsi yang tidak pernah padam hampir selama 1000 tahun telah terpadam dengan sendirinya. Api tersebut merupakan api sembahan orang-orang Majusi yang dianggap sebagai Tuhan. Peristiwa itu amat mengejutkan orang-orang Parsi.
12. Pada malam kelahiran Baginda SAW, Tasik Sava yang dianggap suci telah tenggelam ke dalam tanah. Setelah Baginda SAW lahir, tembakan bintang kerap berlaku sebagai tanda pengetahuan syaitan dan jin mengenai perkara ghaib sudah tamat.
"Ya ALLAH, Ya Rahman Ya Rahim. Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya kami tidak sanggup kehilangan kekasihmu ini. Ya ALLAH, jangan Engkau pisahkan kami sama ada di dunia mahupun di akhirat dengan Baginda SAW. Sesungguhnya kami di sini sangat mencintai kekasihMu, Saidina Rasulullah SAW..." Dengan berkat selawat, setiap doa, hajat dan permintaan dimakbulkan.
Allahuma sholi 'ala sayidina
Muhammad nabiyil umiyi wa'alihi wa shobihi wa salim.
اللَّهُــــــــمّ صَــــــلے و سَلّـــــم علَےَ سيدنا مُحمَّــــــــدْ وعلــــــــى الـــــــه وصـحبه و سَلّـــــم
Amin Allahuma Amiin.
Dipetik dari buku "BERCINTA DENGAN RASULULLAH SAW (Seolah-olah Kamu Melihatnya)."
[Penulis: Mohammad Suhair Asyaraf dan Kata Pengantar: Ustaz Iqbal Zain al-Jauhari.]
No comments:
Post a Comment