TOKOH FAHAMAN WAHDATUL WUJUD
Ibnu Arabi
Ibnu Arabi merupakan salah seorang sufi termasyhur di zamannya, di Andalusia (Sepanyol). Beliau lahir di kota Mursiyah pada tahun 560 H (1165 M) dan meninggal dunia pada tahun 1240 M. Nama asalnya adalah Abu Bakr Muhammad bin Ali, dan panggilan akrabnya adalah Ibnu Arabi.
Hasil pencarian jati diri dan pengalaman mistiknya, menyimpulkan sebuah kesedaran kerohanian, yang kelak mendapatkan tentangan keras sebagaimana yang dialami oleh al-Hallaj, yakni tidak ada yang maujud selain Allah.
Ibnu Arabi menegaskan bahawa Allah adalah kenyataan dari segala sesuatu. Hal ini kemudian ditafsirkan sebagai kekeliruan mistik, padahal yang dimaksudkan dengan “Allah adalah kenyataan dari segala sesuatu” adalah bahawa Allah yang menjadikan segala sesuatu itu nyata, sehingga Allah-lah kenyataan mutlak yang harus difahami.
Perumpamaan yang boleh diambil dari Wahdatul Wujud Ibnu Arabi adalah bahawa segala sesuatu ini dapat terzahir kerana cahaya dan udara, cahaya membuat segala sesuatu terlihat dan udara membuat segala sesuatu terdengar. Kita akan menolak bahawa cahaya dan udara merupakan kenyataan mutlak, namun kita tidak menolak bahawa keberadaan cahaya dan suara untuk “menyatakan” segala sesuatu adalah mutlak sifatnya.
Begitu juga dengan Allah SWT, sudah barang tentu Allah Maha Nyata (Ad-Zaahir), manakala keberadaanNya membuat nyata segala sesuatu (termasuk diri anda) maka apakah anda keberatan untuk menerima pandangan Ibnu Arabi di atas? Titik Wahdatul Wujud Ibnu Arabi terletak pada kemesraan Allah dan segala kewujudan yang ada di dunia ini.
Hanya saja saya perlu meluruskan pandangan anda tentang hal ini, bahawa yang dimaksudkan dengan “tidak ada yang maujud kecuali ujud Allah” adalah bahawa Ujud Allah merupakan kemutlakan yang wajib untuk menyatakan segala yang maujud. Jika Allah tidak ada, maka kita tidak ada.
Untuk mengatakan bahawa pepohonan merupakan Ujud Allah itu sangat naif, kesedaran kerohanian tidak demikian, tetapi sesungguhnya yang membuat pepohonan itu berwujud adalah adanya kewujudan Allah, sekaligus kewujudan dan kita yang mengamati dan menyaksikan kenyataan pepohonan tersebut. Ini bukanlah ramalan falsafah, ini merupakan misal-misal bagi anda yang suka salah faham dan salah tuduh.
Segala sesuatu yang ada di alam semesta ini merupakan misal tentang kekuasaan Allah, bagi orang-orang yang berfikir. Tidak benar bahawa Ibnu Arabi menemukan bahawa “wujud selain Allah adalah wujud bayangan”, kerana sesungguhnya dengan Ujud Allah maka wujud selainnya menjadi berwujud, Bukankah segala sesuatu berasal dari kehendakNya? Sehingga yang ada itu hanya berasal dari kehendak dan kehendak berasal dari yang Berkehendak.
Jika kita hanya wujud bayangan, maka tidak dikenakan hukum apa pun, kerana bayangan hanya mengikuti gerak Ujud Allah. Tetapi Wujud merupakan kenyataan Ujud. Alam semesta, termasuk manusia, merupakan kenyataan Ujud Allah; dengan kata lain, Wujud selain Allah merupakan bukti nyata Ujud Allah. Ada pergerakan pemahaman Wahdatul Wujud antara al-Hallaj dan Ibnu Arabi, jika al-Hallaj menemukan bahawa Allah mengambil tempat pada diri manusia ketika manusia tersebut fana’, maka Ibnu Arabi menemukan bahawa bukan hanya manusia, tetapi alam semesta.
Namun Ibnu Arabi menegaskan pada aspek “kenyataan” dan bukan aspek “penempatan” sebagai mana Hulul-nya al-Hallaj. Al-Hallaj menegaskan kesedaran, iaitu kesedaran dalaman kerohanian seorang hamba dalam keadaan fana bahawa Allah adalah satu-satunya Ujud; sedangkan Ibnu Arabi menegaskan bahawa Ujud Allah merupakan kenyataan mutlak bagi Wujud selain Allah.
No comments:
Post a Comment