Monday, 1 October 2018

YANG MAHA MEMBINGUNGKAN

YANG MAHA MEMBINGUNGKAN
________________________________________
Tuhan bukan itu dan bukan ini. Tetapi Tuhan juga itu dan juga ini. Tuhan itu bukan segala hal tetapi Tuhan itu adalah segala hal. Tuhan itu bukan segala perkara tetapi Tuhan itu adalah segala perkara. Tuhan itu bukan lelaki dan bukan wanita sekaligus lelaki dan wanita.
________________________________________
Jika engkau cuba untuk menyerupakan Tuhan dengan segala sesuatu, maka engkau telah membatasi-Nya, dan lagi engkau itu telah mengongkong kemutlakan-Nya dalam dimensi ruang dan waktu, kerana segala "sesuatu" itu pasti berada dalam dimensi ruang dan waktu.
________________________________________
Tetapi, yang harus engkau sedari juga, saat engkau mengatakan bahawa segala yang terlihat itu bukanlah Tuhan, maka engkau telah menyekutukan-Nya, kerana engkau itu telah menempatkan-Nya di luar daripada segala hal.
________________________________________
Malah, itu juga bererti yang engkau telah membataskan serta mengongkong kemutlakan-Nya dalam dimensi ruang dan waktu. Berapa luas ruang dan berapa lama waktu yang mampu menampung Tuhan?
________________________________________
Wahai sahabatku, hentikanlah kata-kata ini, kerana kata-kata ini pun sebenarnya membataskan dan juga mengongkong-Nya. Tidak ada ayat apa pun yang berkuasa dan mampu untuk menjelaskan tentang Diri-Nya.
________________________________________
Nikmatilah serta raikanlah kebingunganmu, kerana pengetahuan yang tertinggi sekali adalah tidak kenal. Angkat gelas arakmu dan bersoraklah, sehingga takdir itu sendiri akan membawamu ke dunia tanpa ruang dan waktu.

No comments:

Post a Comment