Thursday, 13 April 2017

Ws

[ Para Habaib - Sesatkah Mereka? : Satu Penjelasan ]

Sebagaimana telah maklum bahawa bumi Nusantara kita ini telah diberkati Allah dengan keberadaan sejumlah besar Habib-Habib dan keturunan-keturunan Junjungan Nabi kita ﷺ yang mulia, dan umumnya di Malaysia dan Indonesia, mereka-mereka ini adalah daripada keturunan al-Imam Ahmad bin ‘Isa al-Muhajir yang terkenal dengan gelaran para Habaib dan as-Saadah al-Ba ‘Alawi.

Golongan habib-habib ini pada asasnya berpegang pada jalan kesufian atapun tariqat yang dinamakan طريقة السادة آل باعلوي (Thariqah As-Sadah Al-Ba'Alawi). Ianya adalah suatu tariqat sufi Islam Sunni yang terkenal, yang didirikan oleh Imam Muhammad bin Ali Ba'alawi, ataupun bergelar, Al-Faqih Al-Muqaddam (lahir di Tarim, Yaman, 574 H/1178 M, dan wafat 653 H/1256 M) sejak kurun ke-6 Hijrah lagi.

Tariqat ini kemudian semakin berkembang dengan pesat di tangan Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad. Penyebarannya yang terbesar adalah di Yaman, selain itu, ia juga tersebar di Indonesia, Malaysia, Singapura, Kenya, Tanzania, India, Pakistan, Hijaz, dan Emirates yang merupakan wilayah diaspora bangsa Arab Hadramaut.

Ajaran tariqat As-Saadah Al-Ba'Alawi bila ditinjau berdasarkan mazhab fekahnya adalah bermazhab As-Syafi'iyah. Sedangkan bila ditinjau dari mazhab aqidahnya, maka bermazhab Sunni Al-Asy'ariyyah(Nisbah kepada Imam Abul Hasan al-Asy'ari).

Pengajaran keilmuan berdasarkan aturan tariqat (metodologi) As-Sadah Al-Ba'alawi ialah mengajarkan berbagai ilmu-ilmu keislaman, yang kini telah berkembang sepanjang sejarahnya dan mencakupi pelbagai cabang ilmu keislaman. Berbagai-bagai institut pengajian, ma'ahad dan rubath tariqat ini, setelah bertahun-tahun menjalankan pengajarannya secara terus-menerus sehingga ke hari ini, telah melaksanakan cara-cara yang sistematik dalam mengajarkan ilmu-ilmu tersebut, yang selain itu juga mengajarkan mengenai pentingnya pendidikan melalui keteladanan dan penyucian jiwa (at-tarbiyyah fi at-tazkiyah).

Sepertimana yang ditempuh dan dijalankan oleh para salafus soleh, dalam tariqat ini, mereka mengajarkan Al-Qur’an dan As-Sunnah kepada masyarakat, dan sekaligus memberikan tauladan dalam pengamalan ilmu dengan keluhuran akhlak dan kesungguhan hati dalam menjalankan syari'ah Allah Ta'ala.

Mereka menerangkan dengan terperinci, bahawa tariqat As-Saadah Bani Alawy ini diwariskan secara turun temurun oleh datuk moyang (salaf) mereka : dari datuk kepada ayah, kemudian kepada anak-anak dan cucu-cucunya. Demikian seterusnya mereka menyampaikan tariqat ini kepada anak cucu mereka sehingga saat ini. Oleh kerana itu, tariqat ini dikenali sebagai tariqat yang kekal dan tidak akan terputus disebabkan penyampaiannya dilakukan secara ikhlas dari hati ke hati.

Dari situlah dapat diketahui, bahwasanya tariqat ini berjalan di atas landasan Al-Quran dan As-Sunnah. Sememangnya, Tariqat Ba'Alawi ini menitikberatkan pada keseimbangan antara ibadah mahdhah, iaitu muamalah(hubungan) dengan Allah, dengan ibadah ghoiru mahdhah, yakni muamalah dengan sesama manusia yang dikuatkan dengan adanya majlis-majlis ta’lim yang mengajarkan ilmu dan adab serta majlis-majlis zikir, selawat dan adab. Dengan kata lain, dakwah tariqat ini berasaskan untuk mengislah hubungan vertikal (hubungan makhluk dengan Khaliqnya) dan hubungan horizontal (antara sesama manusia).

Al-Habib Abdurrahman bin Abdullah bin Ahmad Bilfaqih Ba’alawi pernah ditanya, “Apa dan bagaimanakah tariqat Sadah Al Ba ‘Alawi itu? Apakah cukup didefinisikan dengan ittibâ’ (mengikut) Quran dan sunnah? ”

Beliau pun menyampaikan jawapan ringkasnya seperti berikut:

“Ketahuilah, sesungguhnya tariqat Sadah Al-Ba‘Alawi merupakan salah satu tarekat kaum sufi yang asasnya adalah ittibâ’ (mengikuti) Quran dan sunnah, intinya adalah sidqul iftiqôr (benar-benar merasa perlu kepada Allah) dan syuhûdul minnah (menyaksikan bahwa semuanya merupakan kurnia/nikmat Allah)."

Berkata Al-Habib Muhammad bin Husin bin Ali Ba’bud: "Sesungguhnya asas tariqat para salafuna as sholeh dari Bani Alawy iaitu adalah Al-Kitab dan As-Sunnah, dan yang membuktikan perkara tersebut adalah perjalanan hidup mereka yang diredhai oleh Allah dan sifat-sifat mereka yang terpuji. Secara umumnya, intisari tariqat mereka adalah seperti berikut :

1. Menjaga waktu-waktu yang diberikan Allah dan memanfaatkan waktu tersebut untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada-Nya.

2. Selalu terikat dan hadhir dalam majlis-majlis ilmu dan majlis yang dapat mengingatkan diri kepada Allah.

3. Berakhlak dengan adab-adab yang tinggi, menjauhi kemasyhuran, dan meninggalkan hal-hal yang tidak berguna.

4. Membiasakan diri dalam membaca zikir terutama zikir-zikir Nabawiyyah sesuai dengan batas kemampuannya, seperti amalan-amalan zikir yang disusun oleh Al-Imam Abdullah bin Alwi Alhaddad.

5. Ziarah kepada para ulama dan awliya baik yang masih hidup ataupun yang telah meninggal, selalu ingin bermaksud menghadiri majlis-majlis yang penuh dengan zikir khususnya yang mengingatkan diri kepada Allah dan Nabiﷺ, dengan syarat bahawa perkumpulan-perkumpulan tersebut bebas dari perbuatan-perbuatan mungkar yang ditegah oleh agama.

Rujukan:

Al-Manhaj As-Sawiy Syarh Ushul Thariqah As-Sadah Al-Ba'Alawi, karangan: Al-Habib Zain bin Sumaith, cet. Dar al-Fath.

Al-'Alam An-Nibros, karya Al-Imam Abdullah bin Alwi Al-Atthas, cet. 'Isa al-Halabi.

Nafaaisul 'Uquud fii Syajaroh Aal Ba'bud, karya Al-Habib Muhammad bin Husin bin Ali Ba'bud, (manuskrip).

~C&P~

No comments:

Post a Comment