Wednesday, 9 November 2016

MATAHARI BUKAN CAHAYA,

"MATAHARI BUKAN CAHAYA, MANAKALA CAHAYA PULA BUKAN MATAHARI.. TETAPI KEDUA-DUANYA ITU, TIDAK LAIN DARI MATAHARI"
Sesungguhnya sifat matahari agak berlainan daripada sifat cahaya, tetapi ianya tidak lain dan tidak bukan daripada matahari juga. Cahaya itu hanya sifat menumpang, sebagaimana kita yang menumpang belas kasih dari sifat Allah. Tanpa rahman dan rahim cahaya wajah Allah, siapalah kita di alam ini.
Inilah seni dan tingginya kiasan serta perumpamaan perkara matahari dengan perkara cahaya.
Bagi yang belum faham dan bagi yang belum jelas, berdirilah di hadapan sekeping cermin dan tiliklah wajah diri sendiri di hadapannya dan ambillah iktibar dari itu.
Paras rupa siapakah yang terzahir dan yang terbayang di permukaan cermin? Jika tidak wajah diri sendiri!
Tidakkah bayang yang ditilik itu, sama dengan wajah diri yang menilik! Jika kita mengerti untuk mengambil iktibar dari kaedah bayang di dalam cermin itu, tahulah kita siapa diri kita jika diperbandingkan dengan Allah.
Gambar rupa bayang yang di dalam cermin itu, tidak lain dari rupa paras diri kita yang menilik, sebegitu jugalah sifat Allah, jika kita pandai untuk memperbandingkan dengan sifat diri kita.
Apakah dengan terzahirnya bayangan di permukaan cermin, bererti kita juga telah masuk ke dalam sekeping cermin. Adalah menjadi perkara mustahil anggota tubuh yang sebenar ini boleh masuk ke dalam sekeping cermin yang nipis.
Apakah bayang wajah kita di permukaan cermin itu boleh diraba atau dipegang? Apakah wajah muka dan tubuh badan kita di dalam cermin itu boleh berkuasa, bergerak atau bersuara?
Pembalikan cahaya di permukaan cermin itu, sekadar bayang dan tidak memiliki apa-apa. Begitulah perumpamaan diri kita dengan Allah.
Diri kita ini, tidak ubah seumpama pembalikan bayangan di permukaan cermin. Wajah yang terpapar atau yang terzahir di dalam cermin itu, bukan merupakan diri kita yang sebenar, tetapi ia juga tidak lain dari diri kita.
Walaupun bukan diri yang sebenar (sekadar bayang), ianya tidak lain dari rupa paras diri kita sendiri yang sebenar. Tidak mungkin wajah yang ditilik itu, tidak sama dengan wajah yang menilik. Tidak mungkin wajah yang di dalam cermin, mengeluarkan rupa yang bukan wajah orang yang melihat. Mustahil wajah yang dipandang itu, terbayang selain wajah kita yang menilik!
Wajah Allah itu, merupakan wajah sekalian alam. Sebagaimana wajah Allah, sedemikianlah wajah makhluk. Sebagaimana wajah makhluk, itulah wajah Allah.
Wajah Allah itu, meliputi wajah sekalian alam. Bilamana wajah sekalian alam sudah karam di dalam wajah Allah, itulah makanya menjadikan yang menilik itu akan sama dengan wajah yang ditilik, manakala yang ditilik itu tidak lain dan tidak bukan dari wajah yang menilik jua. Sifat Allah, akan tetap sama dengan wajah Nya.
Wajah Allah itu, merupakan wajah makhluk, oleh itu bilamana kita melihat wajah makhluk, bererti kita telah melihat wajah Allah.
Begitulah dengan wajah Allah, Biarpun wajah Allah yang asli itu tidak dapat kita lihat, tetapi dengan memandang pembalikan bayangan wajah Allah pada wajah makhluk itu, membuatkan kita dapat memandang Allah melaluinya. Kita ini bukan Allah, hanya sekadar pembalikan bayangan wajahnya yang asal.
Bilamana terlihat wajah makhluk, di situlah terpandang wajahnya Allah. Bayangan wajah Allah di dalam cermin alam itu, bukannya diri Allah yang sebenar, tetapi wajah itu tidak lain dari wajahnya yang sebenar jua.
Demikian juga perumpamaannya sifat diri kita bila dibandingkan dengan sifat Allah Ta'ala. Diri kita ini adalah bayangan wajah Allah. Inilah kaedah ilmu makrifat, dalam menyuluh jalan menuju Allah dan merintih kaedah mengenal diri.
Dengan melalui perumpamaan sebeginilah, mudah-mudahan kita semua mendapat faham. Inilah corak pemikiran orang-orang makrifat dalam mencari dan mengenal Allah melalui diri kita sendiri.
Firman Allah :
25. Surah Al-Furqan
"Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? - bagaimana Ia membentangkan bayangnya dan jika Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu.."
Firman di atas, tidak ada lain tujuannya, melainkan bagi membuka pintu hati, mata hati, akal fikiran dan minda kita supaya ayat-ayat suci Al-Quran itu hendaklah dilihat dalam bentuk memberi kiasan atau simbolik ke atas diri dan hendaklah dirujuk kepada diri kita sendiri, barulah sifat dan wajah Allah itu, dapat kita pandang dan lihat melaluinya.
Kita boleh mentafsir ayat-ayat suci Al-Quran dalam berbagai bentuk atau kaedahnya, tetapi walau bagai mana pun bentuk atau kaedahnya, ia hendaklah dirujuk, dikiaskan, didalil dan dirujukkan kepada diri sendiri. Barulah ilmu itu, akan membimbing kita kepada jalan mengenal diri dan Allah.
Setelah ianya dikias dan diterjemahkan kepada diri kita sendiri, di sini barulah kita akan dapat mengenal diri disebaliknya. Setelah mengenal diri di sebalik diri, barulah kita nampak apa yang tersurat di sebalik tafsiran ayat-ayat suci Al-Quran yang tersirat.
Simbolik atau perbandingan itu hendaklah dituju, ditafsir dan dikiaskan ke atas diri kita sendiri. Setelah sifat Allah itu dikiaskan dan diibaratkan ke atas diri sendiri, barulah sifat Allah dapat kita lihat, pandang dan kenal dengan lebih jelas dan lebih dekat, tafsiran isi Al-Quran itu hendaklah dilihat dalam bentuk yang boleh mengembalikan diri kepada Allah. Dari kefahaman dan keinsafan itu, akhirnya membawa diri kita kepada jalan mengenal diri dan mengenal Allah Ta'ala.
Dalam melihat dan mentafsir ayat-ayat suci, kita hendaklah melihat dengan cara lebih rasional, agar ia dapat membuka minda kita ke arah melihat Allah dengan lebih jelas melalui diri.
Di sebalik tafsiran ayat-ayat suci, hendaklah kita lihat dalam konteks isi yang tersirat di dalamnya. Bilamana kita nampak yang tersirat di sebalik yang tersurat itu, insyaAllah kita akan nampak Allah melaluinya. Hendaklah kita baca dan lihat ayat-ayat suci itu ke arah yang lebih menjurus kepada ilmu rasa, dari itu kita akan dapat nampak Allah di sebalik diri kita sendiri.
Pembelajaran ilmu mengenal diri melalui bayang itu, semua ilmunya menjurus kepada membinasakan sifat diri kepada diri asal iaitu roh. Yang akhirnya membawa kita kepada jalan mengenal Allah Ta'ala. Segala firman Allah, hendaklah ditafsir, diletak, dikias dan dijurus kepada diri kita sendiri.
Itulah cara atau kaedahnya, jika kita berhajat dan bercita-cita untuk mencari jalan mengenal diri dan mengenal Allah. Amiin²
Admin Sheikh Al-Islam

No comments:

Post a Comment