Saturday, 12 November 2016

Maqam-Maqam Wahdatul Wujud

Maqam-Maqam Wahdatul Wujud
Yang dimaksudkan dengan Maqam adalah tingkatan atau wilayah yang akan dan harus dilalui oleh seorang sufi Wahdatul Wujud. Yang saya sebutkan dan jelaskan di sini hanyalah Maqam yang mashyur sahaja.
TAKHALLI
Takhalli merupakan tingkatan di mana insan, kerana beriradah kepada ilahi, melakukan proses penyucian diri, dengan cara bertaubat, berpuasa, menyucikan diri jasmani, menekankan keinginan jasmani, menjauhkan fikiran dari kesenangan duniawi, dan membersihkan hati dari sifat-sifat mazmumah (tercela). Di dalam diri insan terdapat empat belas “gudang” yang mula-mula berisi kejahatan dan kegelapan; tujuh pada jasad dan tujuh pada ruh. Keempat² belasnya harus dibersihkan dan kelak diisi dengan perbuatan suci yang mahmudah (terpuji). Tujuh pada jasad adalah: mata, telinga, hidung, mulut, tangan, kaki, dan kemaluan. Ketujuh² ini harus disucikan dengan cara bertaubat atas segala perbuatan yang keji dan mungkar.
Untuk menyucikan ini, setelah bertaubat haruslah menggunakannya di jalan yang ditentukan oleh syariat Islam. Tujuh pada ruhani adalah titik-titik halus (lathifah atau lathaif) yakni: lathifatul qalbi, lathifatul khafi, lathifatul akhfa, lathifatur ruh, lathifatus sirri, lathifatun nafsi, lathifatu kullu jasad. Semua lathifah ini harus dicuci dan mencucinya harus dengan berzuhud. Zikir merupakan pencuci lathifah, khususnya hati, sebagai mana Rasulullah bersabda:
“Segala sesuatu ada pencucinya, dan pencuci hati adalah zikir."
”Zikir yang diutamakan adalah istighfar dan tahlil."
TAHALLI
Setelah insan bertakhalli, saatnya dia harus bertahalli, iaitu menghiasi diri dengan amalan-amalan mahmudah (terpuji). Secara jasmani dia harus bersedekah, baik kepada orang lain, kepada alam semesta, mahu pun kepada dirinya sendiri. Semua itu harus terprogram dalam kehidupan insan secara teratur, terencana, dan bertujuan yang jelas. Dalam bertahalli ini, seorang insan bukan hanya mencintai amalan fardhu, tetapi juga amalan sunnah. Allah mencintai insan bukan dengan amalan fardhu, tetapi amalan sunnah.
Insan harus menekan hasrat duniawinya dengan cara berpuasa dan zuhud lillahita’ala . Di waktu siang dan malam hanya mengingat Allah, bersunyi diri, hanya mencari keredhaan Allah, menyeru dalam hati Ilahi Anta Maqsuudi, Waridhaka Mathluubi. "Hanya Allah yang dimaksudkan dan keridhaanNya yang dicari." Lisannya selalu basah dengan La ilaha illallah, dan hatinya selalu berdetak Allah-Allah, serta nafasnya naik turun mengikuti irama zikir Hu..., dan Allah..., setiap langkah kakinya disertai dengan Syahadat ini, pandangannya dijaga dari yang haram, telinganya, lisannya dan segalanya. Kemudian insan juga melakukan perjalanan spiritual tarikat dengan cara berzikir dan berzikir di waktu dan jangka waktu yang ditetapkan oleh tarikat masing-masing.
MAHABBAH
awalnya insan harus menghadirkan cinta dan kerinduan kepada Allah. Bagaimana mungkin seseorang melakukan perjalanan secara berhasil jika dia melakukannya tanpa kerinduan terhadap apa yang dia cari. Cinta kepada Allah akan melahirkan cinta Allah kepada insan. Biasanya orang yang menjalani hal ini hanya sekadar mencari tahu saja, sudah pasti kegagalan yang akan dicapai, bahkan tidak sedikit yang mengalami gangguan kejiwaan.
Cinta adalah persiapan awal untuk melakukan perjalanan dan kerinduan akan senantiasa menjadi motif pencarian dari tahap ke tahap. Cinta dan kerinduan kepada Allah bukan hanya pembuka perjalanan bertahalli, tetapi juga akan senantiasa hadir di pertengahan dan di akhir perjalanan insan bertahalli. Pada maqam ini, insan berzikir, istighfar, dan ya Rahman ya Rahim...
MUJAHADAH
Ini adalah tahap di mana insan berupaya keras, berjuang melawan segala sesuatu selain Allah yang menghampiri hati dan fikiran. Biasanya ini adalah pengaruh dari semakin banyaknya kesibukan dunia yang menjebak kita. Dalam situasi ini, kita benar-benar boleh mengukur sedalam apakah kita terjebak dengan dunia, semakin keras pejuangan kita, adalah petanda bahawa ikatan dunia yang menjebak kita semakin keras, tebal, dan dalam. Fikiran insan akan seperti seekor burung yang bertenggek dari satu dahan kesibukan dunia ke dahan ingatan dunia yang lain.
Hanya rahmat Allah saja yang boleh membuat insan berjaya melalui maqam ini. Insan harus senantiasa berusaha untuk menepis segala sesuatu selain Allah, sementara itu Allah pun belum dikenal, maka dengan demikian insan hanya dapat menepis segala-galanya kerana Allah "laisa kamistlihi syai’un", tidak serupa dengan apa pun jua. Sang insan menahan lapar, haus, lelah, mengantuk; perjuangan jasad, hati, dan akal. Insan tetap berjuang sambil berzikir "La ilaha illallah"... Ketika bayang-bayang apa pun muncul dalam hati dan fikirannya, insan berlindung dengan menyebutkan "a’udzu billahi minka" (aku berlindung kepada Allah dari engkau).
Jika seorang insan telah terlepas dari maqam ini, petandanya adalah ketika tidak ada sesuatu apa pun yang hadir, dan ini hal ini sangat sukar saya gambarkan dengan kata-kata. Namun bila-bila pun insan boleh saja terjatuh lagi dan harus bermujahadah lagi. Ini merupakan pintu masuk ke wilayah fana yang paling sulit, sangat sulit. Hal yang paling sulit untuk dilakukan dalam ber-Wahdatul Wujud, adalah menepis segala sesuatu dan tinggallah diri sendiri saja, mencari Allah.
MURAQABAH
Di maqam ini, insan sudah tidak lagi menyedari hal lain selain dirinya dan Allah saja, dia berupaya untuk mendekat kepada Allah dengan hakikat-hakikatnya, dengan ilmu dan ma’rifat yang dia miliki, disertai dengan zikir "Ya Allah.. Ya Allah"... Pada saat ini, insan hanya menyedari bahawa Allah lah yang dia tuju, hakikat Allah. Setelah melalui perjalanan yang keras.
Cinta dan kerinduan tidaklah boleh surut, haruslah lebih bersemangat lagi. Hati merasa dituntun oleh Allah dan inilah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Inilah jalan yang dicari dan dipilih oleh insan, untuk memenuhi panggilan Allah dalam surat al-Maidah ayat 35. Dan sebagai hasil dari upaya kerasnya, insan akan berjumpa dengan Allah (al-Insyiqaaq: 6). Akan tetapi, masih terdapat hijab antara Allah dan insan; hijab inilah merupakan hakikat yang membezakan antara Allah dan insan.
MUKASYAFAH
Pada tahap ini, hijab tersingkap, Allah membuka hijab itu dengan rahmatNya, sehingga insan dapat (seolah-olah) melihat Allah dengan melalui NurNya. Inilah ihsan yang Rasulullah maksudkan, seolah-olah engkau melihatNya, dan jika tidak maka Dia melihat engkau. Cahaya itu semakin lama semakin dekat, besar, dan terang. Insan melihat Nur. Lisan telah mati, hati dan akal berzikir tanpa nama, hanya menunjuk pada Dia ( Hu..., atau ada sufi lain mengatakan Hua...).
MUSYAHADAH
Di maqam ini, insan melakukan persaksian (syahadah) yang sesungguhnya, seperti insan mengakuiNya ketika berada di Alam Arham, di mana Allah bertanya “Alastu birabbikum", dan insan menjawab "BalaaSyahidna...” Yang saya temukan adalah “Syahidna ala anfusana watsabataindanaa, Anta Khaliiquna, wa Anta Rabbuna, wa La ilaha illa Anta...” Ini adalah persaksian sesungguhnya kepada Allah, di mana hanya ada Allah dan insan, hamba yang terpilih.
MUKAFANAH
Pada tahap ini, saya tidak mampu menjelaskan apa-apa lagi, melainkan menyebutkan bahawa inilah saatnya lumpuh segala ilmu dan makrifat, lumpuhnya kesedaran insaniah, dan lebur ke dalam hakikat ilahiyah dan.... (.) Sekali lagi, tidak ada lagi yang dapat dibicarakan oleh kata-kata di sini.. Dan inilah puncak tertinggi perjalanan spiritual, Wahdatul Wujud.. Saya memohon ampun kepada Allah kerana telah membuka rahsiaNya, demi mengembalikan iman pada tempatnya.. Amiin²
Admin Ana Al-Haq

No comments:

Post a Comment