Saturday, 12 November 2016

TOKOH FAHAMAN WAHDATUL WUJUD Syekh Siti Jenar

TOKOH FAHAMAN WAHDATUL WUJUD
Syekh Siti Jenar
Biografi Syekh Siti Jenar masih menjadi kontroversi hingga saat ini, bahkan ada atau tidaknya beliau masih merupakan misteri. Sebuah bacaan menyebutkan bahawa beliau lahir pada tahun 1426 M di Cirebon dan meninggal pada tahun 1517 M. Bapa beliau bernama Syekh Datuk Shaleh dan beliau masih tergolong dalam keturunan Sayidina Ali bin Abi Thalib RA.
Syekh Siti Jenar memiliki sejumlah nama gelaran, beliau hampir memiliki satu nama di setiap tempat di mana beliau menjalankan dakwahnya. Nama yang sangat jelas, selain Siti Jenar, adalah Syekh Abdul Jalil dan Syekh Lemah Abang. Syekh Siti Jenar membesar di sebuah rumah Giri Amparan Jati, milik bapa saudara beliau. Rumah ini berada di atas Gunung Jati. Pada usia 15 tahun, Syekh Siti Jenar berhasrat untuk “turun gunung” demi melihat dunia luar.
Di sinilah perjalanan kerohanian Syekh Siti Jenar bermula. Syekh Siti Jenar berangkat ke Baghdad (Iraq) untuk memperdalam pengetahuan agama Islamnya. Dia berkenalan dengan seorang sufi masyhur, yang kemudian menjadi guru tasawuf beliau, yakni Syekh Ahmad Tawalud. Syekh Ahmad memiliki puluhan kitab ma’rifat yang merupakan peninggalan Syekh Abdul Mubdi al-Baghdadi. Syekh Siti Jenar diperbolehkan untuk tinggal di rumah Syekh Ahmad, dan dari sekian banyak kitab ma’rifat yang ada di rumah itu, beberapa di antaranya adalah kitab milik al-Hallaj, yang dipelajari secara sangat berhati-hati oleh Syekh Siti Jenar. Bukan hanya itu, kitab-kitab Ibnu Arabi dan al-Ghazali juga dipelajari sama berhati-hatinya. Syekh Siti Jenar juga melaksanakan perjalanan menuntut ilmu di India, dan kembali ke Ceribon pada tahun 1463 M.
Syekh Siti Jenar menjadikan Wahdatul Wujud sebagai pedomannya, namun sama sekali bukan sebuah keputusan yang benar bahawa beliau membelakangkan syariat. Kembalinya dia ke Cirebon membawa dia kepada suatu posisi dalam Wali Songo, beliau menjadi salah satu penyebar agama Islam di Jawa, Indonesia. Sebagai salah satu anggota penyebar Islam, Syekh Siti Jenar diberi kepercayaan untuk mengajarkan Syahadat (Persaksian). Pemikiran Syekh Siti jenar yang didominasi oleh hakikat itu kemudian membawanya kepada sebuah penjelasan bagaimana mengalami hal tersebut, kerana Syekh Siti Jenar tahu betul bahawa para pelajarnya masih baru.
Ajaran Syekh Siti Jenar memang sangat kuat dengan hakikat dan tasawuf yang pada saat itu boleh dikira baru, kerana para wali, meskipun menguasai hal yang sama, tetapi sama sekali tidak mengajarkan hal tersebut. Ini dapat difahami, kerana tugas yang diberikan adalah berbeza-beza. Apa yang harus diajarkan lagi jika tugas yang diberikan adalah mengajarkan Syahadat? Sebuah hadis menyebutkan bahawa “Awal dari Agama adalah mengenal Allah.” Dan ini merupakan titik tolak Syekh Siti Jenar, bahawa jika mereka tidak ma’rifat maka mereka sebenarnya tidak menyembah Allah, melainkan menyembah tuhan khayalan semata-mata. Menyedari hal ini, Syekh Siti Jenar kemudian mengajarkan kepada para pengikutnya tentang hakikat ketuhanan, baik dari sumber-sumber yang dipelajarinya, mahu pun dari hasil perjalanan kerohaniannya. Ini dikatakan oleh para wali dan pemerintah setempat sebagai jalan penyesatan, namun sekali lagi, ini tidak benar.
Sunan Kalijaga sendiri memahami apa yang diajarkan oleh Syekh Siti Jenar, hanya saja Sunan Kalijaga keberatan jika manunggaling Kawula Gusti diwejang kepada para pelajar yang masuh “bodoh” itu. Syekh Siti Jenar menolak apa yang disebut-sebut oleh para wali sebagai “sesat” itu. Kerana dia tahu benar bahawa apa yang dia ajarkan itu penting, demi benarnya arah peribadatan para pelajar. Lucunya, apa yang dialami oleh al-Hallaj kembali terulang, dengan alasan politik, Syekh Siti Jenar akhirnya dihukum penggal. Misteri kematiannya juga sampai saat ini belum terlerai dengan jelas.
Para pejabat kerajaan Demak Bintoro menjadi gelisah, mereka khuatir jika ajaran Syekh Siti Jenar ini menimbulkan pemberontakan terhadap pemerintah. Salah satu murid Syekh Siti jenar adalah Ki Ageng Pengging yang menjadikan Wahdatul Wujud Sebagai kesedaran kerohanian dan bukan spekulasi falsafah semata-mata.
Dari apa yang telah dipaparkan secara singkat di atas, sudah barang tentu Wahdatul Wujud merupakan salah satu kesedaran kerohanian yang ditemukan atau terangkat ke permukaan hati melalui perjalanan kerohanian, dan bukan hasil pemikiran semata-mata. Ada pun upaya untuk menyatakannya dengan kata-kata dan fikiran bukanlah sebuah alasan untuk mengatakan bahawa Wahdatul Wujud adalah spekulasi falsafah. Meskipun demikian, apa yang menjadi salah jika para ahli pemikir, baik muslim mahu pun yang non-muslim, menemukan sesuatu yang sama melalui pemikiran? Bukankah ilmu dan akal mereka juga merupakan rahmat Allah? Bukankah Allah memerintahkan kepada manusia untuk merenungi, memikirkan, mentafakkurkan apa yang ada di langit dan di bumi? Dan Allah tidak merendahkan mereka yang non-muslim; surat al-Maidah ayat 69 menyatakan hal tersebut.
Hanya saja, keimanan merupakan faktor yang menyebabkan percanggahan antara kita dan mereka, tetapi persoalan ilmu lain lagi ceritanya; ilmu, amal dan iman tidak dapat disamakan. Mereka memiliki ilmu, namun tidak memiliki iman dan amal, maka ilmunya bermanfaat. Yang penting untuk saya sampaikan bahawa Wahdatul Wujud bukan merupakan hasil spekulasi para sufi dengan falsafah Yunani tentang kewujudan. Wahdatul Wujud merupakan hasil atau buah dari perjalanan kerohanian, dan bila perlu saya akan mengatakan bahawa para sufi seperti al-Hallaj, Ibnu Arabi, AbuYazid al-Busthami, Syekh Siti Jenar, al-Ghazali, dan lain-lainnya, merupakan para ilmuan Islam yang dalam istilah kita disebut mutakallimin atau pakar ilmu kalam.
Hasil pemikiran mereka merupakan ilmu, namun sekali lagi, Wahdatul Wujud bukan ditemukan melalui berfalsafah tetapi berhakikat dan bertarikat. Ada pun istilah yang nantinya dirumuskan seperti Fana’, Baqa’, Ittihad, Hulul, Manunggaling kawula lan Gusti, merupakan istilah untuk menerangkan apa yang mereka alami; pengistilahan dan pengkonsepan itu menjadi penting kerana jika tidak maka tidak ada cara lain untuk mengajarkannya kepada umat.
Akan tetapi kenyataan jadi lain, ketika para pembaca dan peneliti Wahdatul Wujud lebih menitik beratkan pada proses konsepsinya yang terkesan dengan falsafah, mereka tidak memperhatikan dan tidak menyedari bahawa konsep-konsep tersebut merupakan penzahiran untuk pengalaman kerohanian para sufi tersebut. Ibaratnya mereka tidak melihat plot cerita dengan baik, sehingga mereka hanya menyalahkan seorang pendakwah dengan “falsafah”nya tanpa melihat asal-usulnya sebagai sebuah kesedaran kerohanian.
Sangat penting untuk disedari bahawa mula-mula para sufi melakukan apa yang diistilahkan dengan takhalli atau penyucian jiwa, sebahagian menyebutnya tazkiyatunnafs. Kemudian tahalli, yakni menghiasi diri dengan amal soleh. Takhalli bagi para sufi adalah zuhud dan tahalli adalah bertarikat. Bertarikat dan berzuhud merupakan asas dari kehidupan sufi. Mereka berzuhud demi menolak segala sesuatu selain Allah, dan bertarikat demi mendekatkan diri kepada Allah, dengan melalui amal soleh tentunya. Akan tetapi tingkatan beramal mereka bukan pada tahap menggugurkan kewajipan semata mata, melainkan kerana cinta dan kerinduan kepada Allah. Sebagai hasilnya adalah tahalli, atau ma’rifat.
Apa susahnya bagi Allah untuk mengilhamkan sebuah pertemuan manis bagi hambaNya yang melakukan pekerjaan berat dan getir ini? Para sufi Wahdatul Wujud, termasuk rakan saya sendiri, mengalami hal ini dengan awal lumpuhnya segala ilmu bahkan diri sendiri sirna, dengan kata lain terlempar pada tahap bawah sedar lebih ke bawah lagi di mana kesedaran insaniyah sirna dan kesedaran ilahiyah menjadi nyata. Bagaimana menjelaskannya jika kita tidak merumuskan apa yang dirasakan dalam sebuah konsep? Celakanya, banyak orang di dunia ini hanya melihat konsep yang mirip falsafah dan tidak mempertimbangkan asal-usul dan alasan untuk konsep tersebut. Memang benar bahawa anda harus mengalaminya barulah anda memahami konsep tersebut, jika tidak kami sampaikan maka itu akan menjadi ilmu yang tidak kami amalkan.
Hilangnya kesedaran insaniyah bukan serta merta menaik taraf status kita dari hamba menjadi Tuhan, tetapi merasa hadirnya Tuhan di dalam diri dan bukan di luar diri. Ingatlah, bahawa Tuhan memilih hati hambaNya sebagai tempat bersemayam; dengan catatan sudah bersih dari segala sesuatu selain dia. Akan tetapi persemayaman ini sifatnya "time release", "reciprocal", atau sistem lepas, atau berlawanan. Maksud saya adalah kesedaran ilahiyah ini menjadi nyata saat kesedaran insaniyah lebur atau hilang. Ketika sang sufi kembali kepada kesedaran insaniyahnya, maka kesedaran ilahiyah itu pun segera ghaib. Dengan demikian, Wahdatul Wujud bukanlah hasil spekulasi falsafah, seperti yang dilakukan oleh para ahli falsafah Yunani yang berfikir keras tentang konsep wujud seperti postulat Cartesian cogito ergo sum, tetapi Wahdatul Wujud merupakan hasil penyatuan upaya hamba dan kasih sayang Tuhan. Tidak selalu sempurna dalam menjelaskan fenomena Wahdatul Wujud, kerana hanya pengalamanlah yang akan menjadi penjelasan sejati.
Pada tahap ini, saya harap anda sudah memiliki gambaran secerah cahaya mengenai konsep fahaman Wahdatul Wujud yang telah saya sampaikan. Saya harap anda dapat duduk dengan tenang dan merenungi apa yang telah saya sampaikan. Saya juga memohon ampunan kepada Allah dan rahmatNya agar kita semua boleh mendapatkan pencerahan sejati. Kesimpulan akan selalu berada di tangan anda sebagai pembaca. Amiin²

No comments:

Post a Comment